Monday 19 August 2019 By: Naemah

YANG PALING SEMPURNA UNTUK AKU



Entah berapa kali aku bersyukur di sepanjang usia pernikahan ini. Bersyukur kerana dikurniakan seorang suami seperti kamu. Entah, mungkin hanya boleh dibilang dengan jari, syukur yang tak pernah sepadan, berbanding nikmat yang tak terhitung banyak.

Mungkin dalam kebanyakan masa aku seperti tidak menghargai. Dari hanya kamu satu-satunya yang menjadi teman dalam hidup, sehingga ke hari ini ditambah lagi dengan 4 cahaya mata, penghibur dan pelengkap kehidupan. Banyaknya peranan yang telah kau mainkan dalam membentuk dan mencorakkan kehidupan ini. Tanpa aku sedar, apalagi syukur dan berterima kasih.

Sesekali aku disapa dan disentak rasa, bahawa tak mungkin ada yang lebih baik darimu-untuk aku. Aku yang tak pernah memilihmu, tetapi Allah yang menghadiahkan dirimu untukku. Aku yang dulu penuh dengan pengharapan untuk memiliki cinta dan bahagia, lalu bersamamu aku dihadiahkan segala rasa indah ini. Meski di celahannya onak dan ujian.

Benar jika mahu diingat satu persatu, takkan termampu aku senaraikan setiap budi baikmu. Yang sentiasa berusaha untuk ikhlas melayani dan menyayangi, yang sedaya mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa, yang sedaya mungkin berusaha untuk membahagiakan, dan memenuhi setiap tuntutan dan keperluan.

Denganmu aku tak banyak bersusah, itupun banyak yang aku keluhkan kononnya ‘susah’. Bersamamu keperluanku sentiasa cukup, yang tak cukup itu mungkin hanya yang berbentuk ‘kehendak’ yang boleh aku pejam mata dan cuba lupakan. Adanya dirimu menjadikan kerjaku sangat mudah, lantaran dirimu yang sentiasa bersedia untuk membantu. Cukup dengan kembalinya dirimu ke pangkuan, sering aku rasakan hidup ini sempurna, anak-anak mendapat perhatian dan kasih sayang. 

Mungkin tak mampu aku senaraikan semua. Tapi aku perlu akui kau punya banyak kebaikan dan keistimewaan di hatiku. Dan sebagai manusia aku tak menuntut kesempurnaan darimu. Aku sedar setiap kita punya kelebihan, dan kekurangan. 

Jangan risau sayang. Apa yang kurang atau tak mampu kamu ‘beri ‘ atau kamu ‘jadi’, aku berlapang dada atas segalanya. Cukup aku tahu kamu sudah berusaha sesungguhnya, menjadi yang terbaik untukku dan anak-anak. 

Suamiku yang tercinta, kamu yang paling sempurna untukku. Paling sempurna di hatiku. Terima kasih untuk segala-galanya. Mendekat usia 9 tahun pernikahan, aku sedar cintamu tak pernah berubah. Sentiasa ada, sentiasa dirasa. Biar banyak mana diuji dengan sikapku, dengan bermacam ujian dalam rumahtangga, masih kau setia bersama cinta dan berusaha menunaikan hak dan tanggungjawab.

Terima kasih tak terhingga suamiku. Allah saja yang mampu membalasnya. 

Janjiku untuk juga berusaha menjadi yang lebih baik. Berusaha untuk membuatmu bahagia. Moga bahagia sentiasa untukmu. Moga Allah sentiasa redha pada setiap langkah dan hela nafasmu.

آمين

0 comments:

Post a Comment