Thursday 24 May 2018 By: Naemah

PULANG UNTUK MERAIKAN HATI YANG MERINDU




Alhamdulillah sudah 8 hari berpuasa di bulan Ramadhan. Alhamdulillah diberikan kesihatan dan kemampuan untuk melaksanakan rukun Islam yang satu ini :)

Hari ini kami sekeluarga berada di kampung. Sudah 2 hari berbuka di rumah ibuku. Insya Allah esok akan ke rumah ibu mertuaku pula. Ini juga kali pertama kami balik ke kampung di bulan Ramadhan ini. Bukan apa, saja nak berbuka bersama orang tua kami yang pastinya sentiasa menanti kepulangan kami :) 2 hari Anas dan Mussaab terpaksa ‘bercuti’ dari sekolah pada minggu ini. Insya Allah next week kehadiran penuh :)

Kerana kekerapan balik ke kampung, kami jadi ‘biasa’ dengan perjalanan jauh. Penat ya, penat. Tapi balik kampung seperti satu kewajiban buat kami setiap bulan. Anak-anak juga sentiasa excited bila diajak balik ke kampung :)

Sepanjang perjalanan lebih kurang 7-8 jam, bukannya hal yang mudah bersama anak-anak kecil kami. Tapi Alhamdulillah, ia dipermudahkan oleh Allah. Cabaran tetap ada, especially jika perjalanan di siang hari. Hai. Kadang-kadang pening nak melayan setiap ragam mereka. Tetapi kami tetap mengambil yang positifnya. Alah bisa tegal biasa. Setiap ragam tu akan jadi kenangan yang tak mungkin berulang, setelah masing-masing dah semakin dewasa :)

Yang pasti, musafir kami sekeluarga penuh dengan keseronokan. Seronok bergelak tawa bersama, bercerita dan saling menasihati, belajar tolak ansur dan melatih sabar, bergurau senda, dan saling rapat dan dekat, sepanjang perjalanan yang ‘panjang’ kadang tak terasa jauhnya. Kerana dah biasa. Kerana Allah permudahkan setiap masa. Alhamdulillah.

Untuk kami, ketika anak-anak masih kecil inilah peluang untuk sering balik ke kampung. Tak pasti jika anak-anak sudah masuk ke sekolah rendah, dan seterusnya yang lebih tinggi, adakah mungkin kami berpeluang lagi untuk kerap balik ke kampung? Tak pasti. Tetapi mendoakan agar akan sentiasa mudah dan ada jalan untuk sering dekat dengan ibu kami yang telah tua. 

Faktor ‘masa’ dan ‘komitmen’ sering menjadi penyebab anak-anak sukar untuk pulang bertemu ibubapa yang merindu. Semoga tidak pada kita. Semoga sentiasa ada jalan dan peluang buat kita. Semoga kita tak dirasakan ‘jauh’ dalam hati mereka yang melahirkan dan membesarkan. Semoga sentiasa ada petunjuk dan pertolongan. Semoga akan sentiasa dekat untuk meraikan hati yang sering merindui anak-anaknya. Insya Allah.

















0 comments:

Post a Comment