Wednesday, 9 April 2025 0 comments By: Naemah

SETAHUN MENGAMBIL SUNTIKAN PERANCANG KELUARGA



Merancang keluarga ada banyak kaedahnya. Salah satunya adalah kaedah suntikan/depo-yang aku nak kongsikan dalam blog ni. 


Untuk info yang lebih terperinci tentang kaedah suntikan ni boleh ke laman web yang membincangkan hal berkenaan, antaranya; 

APA ITU SUNTIKAN PERANCANG KELUARGA?


Secara ringkasnya, perancang keluarga kaedah suntikan ini diambil sekali dalam tempoh 3 bulan. Maknanya setiap 3 bulan kena pergi klinik cucuk perancang ni. 


Di sini aku just nak share pasal pengalaman sendiri yang memilih kaedah ini sebagai perancang keluarga. Sebagai pemerhatian dan rujukan diri sendiri jugalah, atau untuk mereka yang mencari info dari pengalaman orang lain :)



Tempoh penggunaan kaedah suntikan.


Suntikan pertama diambil pada 6/5/2024 ketika usia Nuha 2 bulan lebih, dan yang terkini pada 8/4/2025, usia Nuha dah setahun lebih. Dalam tempoh setahun ni dah terima 5 suntikan iaitu pada bulan Mei, Julai, Oktober, Januari dan April.


Ya, kali pertama ambik perancang. Sebelum lahirnya anak kelima, tak pernah ambil pun. Memilih untuk menggunakan kaedah perancang keluarga atas saranan doktor, sebab usia dah 40 (2025), dan kencing manis pula. Ringkasnya, sebab berada dalam kategori berisikolah, disarankan untuk ambik perancang keluarga supaya taklah ‘tiba-tiba’ mengandung lagi. 



Alasan memilih perancang keluarga kaedah suntikan/depo.


Sebelum tu agak confuse juga nak guna kaedah yang mana satu. Masa pregnant doktor dan misi dah terangkan satu persatu tentang kaedah yang ada. Kat buku pink tu pun ada sebagai rujukan, antara nak baca dengan tak nak je.


Akhirnya pilih kaedah suntikan sebab rasanya lebih mudah. Hanya perlu ke klinik 3 bulan sekali untuk terima suntikan. Tak seperti kaedah pil perancang (kena beringat setiap hari) dan kaedah lain yang rasanya ‘berat’ untuk dicuba. Sebelum tu memang ada bertanyakan pengalaman orang lain juga, dan tak lupa mencari info di internet. Dan yang sebenarnya, was-was nak ambik perancang ni. Entahlah… 


Dan ye, akhirnya memilih kaedah suntikan buat pertama kalinya selepas melahirkan 5 anak.



Kesan ketara: Haid tidak teratur


Dari pembacaan dan penerangan, sedia maklum yang antara kesan pengambilan perancang ini akan menjadikan haid tak teratur. Ada yang datang haid tak henti (panjang tempoh), ada juga yang tak datang langsung. Pun begitu, ada juga haid datang normal macam biasa. Kata doktor, semua tu boleh jadi. 


Untuk aku yang sebelum ini haid sangat teratur, setiap bulan period datang dalam tempoh 6-7 hari, selepas mengambil perancang, kitaran haid dah jadi tak betul. Haid pertama datang pada 27/5/2024 sehingga 7/6/2024 (12 hari)-selepas suntikan 6/5/2024. Tempoh masanya lebih panjang berbanding kebiasaan, tapi darah yang keluar tak banyak (tak heavy), macam hari ke 3-4 haid biasa. Hujung-hujung hanya spotting saja. Tapi tulah, tempoh masanya panjang. 


Dari satu suntikan nak ke suntikan seterusnya, purata kitaran haid 2 kali, dalam tempoh 12-15 hari. Dan ada juga sekadar spotting (sehari semalam) sahaja. Begitulah, tak tentu. Tapi bila dihitung-hitung balik, period dah jarang datang sebenarnya. Alhamdulillah puasa hari tu pun dapat puasa penuh sebulan. Ianya tak pernah terjadi, kecuali pregnant. 


Mula tu stress juga nak hadap period yang lama nak habis, tapi bila dah biasa rasa boleh terima dah. 



Berat badan naik mendadak?


 Ni tak tahu kesan dari pengambilan perancang atau tidak, dari suntikan pertama, berat 62.1 kg sampai ke suntikan kelima ni, berat dah jadi 64.5 kg. Dekat 3kg naik berat ni. Mendadak tu takdelah.


Rasanya tak ada kaitan dengan perancang (walaupun ada yang kaitkan berat badan dengan pengambilan perancang). Seingat aku, setahun lepas aku masih menjaga diet, tak makan berlebihan. Tapi makin lama (entah kenapa ye) selera makan tak mampu dikawal. Dah tak ada sukatan makan nasi, kuih dan biskut manis pun makan tanpa bersalah (air manis masih mampu dikawal). 


Ya, sebelum ni jaga diet sebab nak turunkan bacaan hba1c (kencing manis), tapi lama kelamaan diet entah ke mana. Berat badan pun perlahan-lahan naik. Selera makan ni.. ada kaitan dengan pengambilan perancang ke?? WallahuA’lam. 


Apapun, bab makan ni kalau diri sendiri tak nak disiplin dan jaga, tanggunglah akibatnya. Tak perlu salahkan perancang atau apa-apa. Betul tak?



Kesan sampingan lain;


Rasanya tak ada kesan lain yang ketara sepanjang setahun ni. Atau mungkin diri yang tak peka pada tubuh sendiri. Apa-apa, just ingat faktor umur jelah kan :b 



Tetap dengan kaedah suntikan atau tukar kaedah lain? 


Untuk masa sekarang, teruskan saja dengan kaedah suntikan. Setahun dah ambik suntikan ni, rasanya tak ada masalah untuk diri ini. Masalah haid tak teratur bukan masalah sangat, takdelah sehingga confuse darah haid atau istihadah. Masalah berat badan juga, itu sesuatu yang perlu diperbetulkan dengan disiplin diri dalam berdiet. Bukan dengan menukar kaedah perancang keluarga. 


Apapun untuk seterusnya, perlu dengar nasihat doktor yang memantau. Setakat ni tak ada masalah, teruskan saja. 


Tamat dulu catatan pengalaman setahun mengambil perancang keluarga-kaedah suntikan/depo.


Semoga apa pun ikhtiar,tetap memberikan kebaikan kepada diri, bukan sebaliknya. 







Tuesday, 8 April 2025 0 comments By: Naemah

REALITI AKU; SEORANG SURI RUMAH



Hakikatnya, pada ketika aku rasa aku tak buat kerja sangat, siapa pula yang sediakan hidangan makan pada setiap kali waktu makan, basuh pinggan mangkuk, periuk kuali, basuh, jemur dan angkat baju, settle hal uniform dan pakaian sekolah anak-anak, itu semua rutin yang memang tak boleh tinggal. Benda besar, tapi ‘mungkin’ dianggap kecil. Kerja yang tak boleh tak dibuat, kerana akibatnya teruk dan buruk. 


Tapi pada ketika aku rasa banyak kerja yang dah aku buat, tapi kenapa sepertinya keadaan di rumah tetap tak sempurna? Kurang kekemasan, banyak kain baju bertimbun tak berlipat, lantai sekejap bersih tak lama kemudian kotor dan melekit, keadaan dapur pun tunggang langgang lagi, sana sini masih sakit mata ni memandang. Pendek kata, tetamu janganlah dah nak sampai baru maklumkan nak datang. Akan seperti kipas kudunglah aku perlu pulun mengemas demi nak jaga ‘aib’ diri. Walaupun tetamu ‘mungkin’ faham…


Begitulah, keadaan di rumah dan kerja-kerja di rumah yang tak pernah sempurna walaupun ‘hanya’ seorang suri rumah. Tak mampu nak kejar semua walaupun pada ketika semangat dan rajin tu datang ‘lebih’ dari hari biasa. Takkan termampu nak pulun buat semua hingga sempurna.


Jelouse juga bila buka sosial media tengok decor rumah orang yang cantik dan kemas, dapur bersih dan rapi, teringinnya nak seperti itu. Tapi tak pernah menjadi seperti itu.Setakat ni boleh berangan sajalah. Sebab pada kebanyakan masa, jika cantik dan kemas di bahagian ini, di bahagian lain pula bersepah dan tak tersusun.


Kesibukan harian, hanya mampu tumpukan pada hal yang wajib dan berulang. Memasak, membasuh, menyapu, dll yang kerjanya juga mengambil masa dan perlu diulang setiap hari. Malahan berkali-kali sehari. Apatah lagi bekerja ‘bersama’ si kecil.


Ya, fahamlah aku bahawa tumpuan aku hanya pada hal yang sama dan berulang setiap hari. Habis masa kat situ. Habis tenaga kat situ. Sekarang dengan anak kecil yang asyik nak ikut ‘sekaki’, makin berlambaklah kerja yang tak terbuat. 


Dan perlu aku perakui juga, ada ketika datang mood ‘malas’ aku, rasa nak baring dan pegang hp saja. Kerja-kerja tu.. ah biarlah dulu. Buat yang wajib-wajib je dulu. Nak malas-malas, sehari dua boleh la. Itupun nanti nak kena hadap lambakan kerja yang belum selesai di kemudian harinya. Bayangkan kalau dilayan ‘malas’ tu lama-lama. Double triple penatnya nanti. 


Begitulah .. realiti seorang aku. Suri rumah yang tak sempurna sebagai suri rumah. Yang rasa banyak lagi kena perbaiki diri. 


Suri rumah lain bagaimana pula ye? 

Sunday, 6 April 2025 0 comments By: Naemah

SEJENAK SYAWAL DI KAMPUNG



Alhamdulillah hari Rabu, 3 Syawal (jam 5 pagi) bertolak balik ke kampung untuk meraikan Syawal bersama keluarga tercinta. Alhamdulillah perjalanan amat lancar. Singgah solat Subuh di Bentong dan bersarapan di Raub.


Jam 12 tengahari tiba di rumah mek (Jeli). Beraya sekejap dengan mek, dan makan tengahari yang cik sediakan. Selepas zohor bertolak pula ke rumah nenek (Kota Bharu). Jalan sedikit sesak menuju ke KB, Alhamdulillah tiba di rumah nenek jam 5 petang. 


Kat rumah nenek masih ramai, walaupun ada yang dah membawa ‘arah’ masing-masing. Maklumlah raya, berkunjung sana sinilah semuanya. Berada di rumah nenek selama 2 hari, dan Alhamdulillah berkesempatan jumpa semua, bersalaman dan bermaaafan, saling berbagi duit raya pada anak-anak saudara. Selepas itu satu demi satu keluarga pulang dan menuju haluan masing-masing, dan yang tinggal hanya yang memang stay dengan nenek.


Balik semula ke rumah mek. Satu demi satu rumah abang-abang dijejak. Alhamdulillah dapat jumpa semua juga (adik beradik jelah. Anak-anak saudara ramai yang dah balik ke rumah masing-masing). Pun syukur juga, diberi kesempatan untuk ‘beraya’ dengan ahli keluarga yang ada. 


Hari ke-5, dah masanya untuk pulang ke rumah. Cuti sekolah berbaki sehari saja. Tak boleh lama-lama di kampung. 


Jam 3 pagi (Ahad), bertolak meninggalkan rumah mek. Alhamdulillah perjalanan lancar pada 2 jam pertama. Sedikit sesak selepas itu, berhenti solat Subuh di Kuala Lipis dan sarapan di Benta, dan meneruskan perjalanan. Alhamdulillah, tidaklah sesak mana, kecuali selepas tol Bentong, pun tak lama juga, makin lama trafik makin lancar dan akhirnya tiba juga di rumah jam 10.30 pagi.


Alhamdulillah. Boleh dikatakan perjalanan yang dipermudahkan olehNya. Dilindungi dan dirahmati tiap masa. Syukur pada Allah, dapat juga ‘balik kampung’ beraya walaupun sedikit terlewat. Walaupun tak dapat sama-sama rasa kemeriahan 1 Syawal. Tak mengapalah. Ada hikmahnya.


Syawal masih panjang. Semoga dapat sempurnakan puasa 6 pula, insya Allah. Anak-anak pula, akan meraikan Syawal di sekolah masing-masing pada hari dan tarikh yang telah ditetapkan. Semoga anak-anak akan menikmati kemeriahan Syawal bersama guru dan kawan-kawan pula. 

:)


Secebis kenang-kenangan;




















Monday, 31 March 2025 0 comments By: Naemah

CERITA RAYA KITA (2025)




1 Syawal tahun ini jatuh pada 31/3/2025. Genap 8 hari abi di Sarawak. Dan tahun ini kita beraya di Semenyih tanpa abi, dan tanpa keluarga besar kita. Tak mengapalah. Sudah takdir dan kehendakNya.


Ummi cuba untuk jadikan hari raya ini ‘bermakna’ untuk anak-anak walaupun masing-masing asyik merungut ‘tak best’ sebab tak dapat balik kampung. Yelah, sepatutnya tahun ni giliran beraya di rumah nenek (keluarga abi). Raya yang pastinya cukup meriah di sana, dengan berkumpulnya semua anak cucu nenek (10 anak+menantu+cucu). Tapi tahun ni, hanya kita yang tak dapat pulang. Nak buat macamana…


Pagi raya ini ummi kejutkan bangun Subuh, awal tadi ummi dah siap masakkan nasi beriani, semalam pula dah siapkan rendang ayam, tambah dengan menu dendeng daging yang abi masak (dan frozenkan), nasi impit dan lemang (tempah). Dah cukup meriah dah meja makan kita.


Bersiap dengan pakaian raya dan sarapan bersama. Abi video call dari kapal, tengah breakfast roti canai dan belum selesai kerjanya. Dapatlah bercakap sekejap dengan abi. Kemudian bergambar seadanya, dan menuju ke surau untuk solat sunat hari raya. Kat Surau ada kawan tadika Suri; Jasmin dan Khaira. Bukan main menyembang mereka bertiga.


Selesai solat, ummi bawa ke Family Mart belanja makan kat situ. Rumah jiran-jiran sepertinya tertutup rapat (balik kampung). Tiada aktiviti kunjung mengunjung seperti di kampung. Dan tiada yang bertamu ke rumah. Hari raya yang sepi. Last-last anak kembali kepada handphone, ipad dan tv. Dah lapar, makan juadah raya kat meja tu. Begitu sajalah seharian berlalu. Ada ketikanya kecoh juga, main dan ‘berperang’ sesama sendiri.


Family di kampung berkongsi gambar raya di group whatsapp. Memang meriah kat sana, berkumpul ramai-ramai. Tak mengapalah, meriah tu bukan untuk kita tahun ni. Tahun depan kita akan raikan lebih baik, insya Allah. Yang penting kita kena reda dengan takdir Allah.


Bersyukur atas hadirnya Syawal. Masih lagi kita lengkap satu keluarga bersama kesihatan yang baik. Walaupun abi jauh, tetapi insya Allah tak lama lagi abi juga akan kembali. Dan insya Allah, kita juga akan pulang ke kampung untuk habiskan baki cuti sekolah yang tinggal beberapa hari lagi.


Anakku, biar ‘begini’ Aidilfitri kita tahun ini, semoga ia tetap menjadi kenangan yang manis buat kalian. Syukuri saat masih bersama-sama, berpakaian baru, menikmati juadah raya, dan segalanya yang kita nikmati hari ini bersama. Syukur apa yang ada, dan usah difikir apa yang tiada. Sama-sama kita mencipta ketenangan hati.


Selamat hari raya buat semua. Semoga diterima segala amalan kita. Ameen.



Kenangan raya 2025



Juadah hari raya.




Breakfast



Solat di Surau Istiqamah



Jasmin, Suri dan Khaira





Family Mart



Berenam saja


Gambar keluarga pada 21 Ramadan sebelum abi terbang ke Sarawak.



Thursday, 27 March 2025 0 comments By: Naemah

CERITA PUASA MEREKA




Ummi sekadar nak mengimbas kisah puasa 3 hero ummi, Anas, Mussaab dan Miqdad. Yang kini dah besar semua, dah tak perlu dipujuk dan diajak puasa lagi bila tibanya Ramadan. 


Sebelum sampai ke tahap faham akan kewajiban berpuasa ini, sudah tentulah semuanya bermula dengan fasa mencuba dan terpaksa, hingga akhirnya biasa dan sepenuhnya rela.


Anas bermula puasa pertamanya pada usia 7 tahun. Pada usia sebelumnya tak pernah cuba untuk berpuasa. Mungkin anak sulung yang tiada abang kakak di atasnya, maka tiada contoh dan motivasi untuk berpuasa. Ummi dan abi pun tak pernah ajak apalagi paksa puasa sama-sama.


Naik darjah satu barulah Anas mula berpuasa. Alhamdulillah tahun pertama berpuasa, berjaya berpuasa sebanyak 27 hari. Dan tahun seterusnya barulah berpuasa penuh hinggalah kini dah besar panjang. Tiada alasan untuk tidak berpuasa. Dan tahun lepas juga, Anas dah cuba berpuasa sunat sesekali. Alhamdulillah.


Mussaab pula mula berpuasa pada usia 6 tahun. Awal sikit dari Anas. Yalah, dia ada abang yang boleh dijadikan contoh dan penguat semangat untuk berpuasa. Lagipun masa tu Mussaab bukan suka makan sangat. Maka puasa bukanlah masalah besar untuk Mussaab mencuba. Ditambah lagi pada tahun tersebut diuji dengan covid dan PKP. Setiap hari duduk rumah je, tak dapat pergi sekolah. Lagi senang nak latih Mussaab puasa. Mussaab berjaya puasa sebanyak 25 hari pada tahun pertamanya mencuba. Alhamdulillah. Dan tahun seterusnya lebih mudah, dan mampu berpuasa penuh bersama abang dan adik. 


Miqdad pula, mula berpuasa pada usia 6 tahun juga dan berjaya puasa penuh pada tahun pertama mencuba. Alhamdulillah, walau hari-hari ke sekolah (tadika) Miqdad mampu bertahan. Apalagi 2 abang di atas juga berpuasa bersama, makin semangat Miqdad nak cukupkan puasa sebulan. Dan rekod buat Miqdad, dari 6 tahun hingga 9 tahun (usia sekarang), Miqdad berpuasa penuh tanpa tinggal sehari pun (hari ni dah 27 Ramadan). Alhamdulillah.


Saban tahun menyaksikan anak-anak semakin menerima Ramadan dan cukup bersedia untuk menghadapinya, alangkah senangnya hati. Dari hanya puasa dengan menahan lapar dan dahaga, upgrade kepada solat terawih, tadarus (kat sekolah), dan praktikal amalan-amalan baik yang seharusnya disemai dan dipupuk lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini. 


Alhamdulillah, terawih tak tinggal tahun ni (Anas 2 malam tak ke surau sebab kurang sihat). Walaupun abi di laut, tetap berjalan 3 beradik ke surau yang tak jauh dari rumah. Itu juga pesan abi, agar tak tinggal solat terawih di surau walaupun abi tiada di rumah. Alhamdulillah semua akur. Walaupun excitednya lebih pada moreh :b


Ummi tak dapat nak gambarkan rasa ini. Hero ummi dah besar semua ya. Teringat masa sorang demi sorang nak dilatih berpuasa dulu. Cepat sungguh masa berlalu. Walaupun kini, tetap ada cabaran lebih-lebih lagi bab nak kejut bangun sahur. Bukan sekali dua, kadang nak habis waktu baru bangkit teguk air.


Bab puasa untuk 3 hero ni, kiranya dah selesai. Semua dah faham akan kewajipan berpuasa bila tibanya Ramadan. Seterusnya , dan akan tiba masanya perlu melatih 2 puteri pula. Suri pada awalnya semangat nak berpuasa. Awal-awal Ramadan bangun sahur bila dikejut. Di sekolah pun tak join makan. Tapi bila tamat waktu sekolah, mengadu lapar dahaga pula. Bila dah hari-hari begitu, alamatnya memang tangguh dululah latihan puasa Suri. Pun begitu, separuh hari tu pun dikira berjaya juga la untuk Suri yang berusia 6 tahun. Takpelah, tahun depan cuba lagi. Insya Allah. 


Kini sudah hampir ke penghujung Ramadan. Alhamdulillah Allah kurniakan kesihatan buat anak-anak semua dan dapat menjalani ibadah puasa dengan baik. Masih terkurang sana sini, dan masih perlu diperbaiki dalam banyak hal. Semoga Allah tunjukkan jalan, lenturkan hati dan tetap berusaha ke arah kebaikan biarpun Ramadan semakin meninggalkan.


Semoga dapat bertemu Ramadan yang akan datang. Semoga prestasi Ramadan kita akan lebih baik pada setiap tahunnya. 

Ameen. 



PUASA PERTAMA ANAS


PUASA PERTAMA MUSSAAB


PUASA PERTAMA MIQDAD