Sunday, 3 January 2021 0 comments By: Naemah

TAKDIR YANG TERSUSUN SEMPURNA




Perkenalkan aku, seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan agama sejak dari kecil (bermula dengan keluarga) kemudian menyambung pengajian di peringkat menengah di sekolah agama sehingga SPM. Alhamdulillah cemerlang akademik dan agama di dalam semua peperiksaan. Dengan keputusan 9A2B aku diterima masuk ke Pusat Matrikulasi UIA (pilihan pertama) mengambil jurusan ekonomi dan sains pengurusan (juga pilihan pertama). 


Kenapa ekonomi? Kenapa bukan bidang agama? Entahlah. Ketika itu aku rasakan aku mahu ‘lari’ dari bidang tersebut dan mahu buktikan aku akan cemerlang dalam bidang yang selain agama. Mungkin kerana abang-abang dan banyak ahli keluarga yang bergelar ustaz dan ustazah, aku rasa nak jadi yang ‘selainnya’ walaupun sebenarnya aku pun tak tahu aku nak jadi apa sebenarnya. Asal bukan ustazah! Itulah yang aku rasa masa tu agaknya.


Alhamdulillah, aku cemerlang dalam bidang yang aku pilih. CGPA setiap sem 3.5 ke atas. Sehinggalah aku ambil double degree pada tahun ke-3, CGPA drop ke 3.4 pada semester terakhir. Sedikit frust, tapi pujuk juga hati, rezeki setakat tu je. Aku patut bersyukur, at least dapat pegang 2 degree tanpa extent tahun pengajian (dan masa tu tak sampai 10 orang pun yang berjaya buat double degree ekonomi dan ilmu wahyu). Alhamdulillah. Orang kata, dengan 2 degree yang aku ada, peluang lebih cerah ke alam kerjaya. 


Tapi.


Selepas tamat pengajian aku ditakdirkan bertemu jodoh dengan seseorang yang tak pernah ku kenal dan tahu latar belakang kehidupannya. Dari perkenalan ringkas melalui adiknya (juga kawanku) aku dapat tahu dia berbeza dari aku dari segi latarbelakang pendidikan. Dia bukan dari aliran agama sepertiku. Sekolah menengahnya di sekolah cina (katholik) (tingkatan 1 hingga tingkatan 3), dan menyambung ke sekolah teknik (tingkatan 4 dan 5). Kemudian menyambung pengajian di Akademi Laut Malaysia dan bekerja sebagai pelaut. 


Tapi apa yang mendetikkan hati untuk terima dia? Ya, kerana ‘agama’ juga. Pengenalan serba ringkas tentang dia ketika itu aku pandang serius bila adiknya memberi keyakinan tentang ‘agama’nya. Mengenal peribadi adiknya yang juga sahabat di zaman kampus, dan tahu serba sedikit tentang latarbelakang keluarganya, bertambah positif aku pada peribadinya yang insya Allah soleh! Berpandukan istikharah dan restu keluarga, kami bersatu tanpa berkenal-kenalan sedikit pun meski di waktu tempoh pertunangan selama 6 bulan. Tawakkal sungguh! 


Genap 10 tahun melayari bahtera bersama. Aku bersyukur padaNya atas kurniaan jodoh yang aku kira sangat membahagiakan ini. Sangka aku (sebelum bertemu jodoh), suamiku pasti dari background yang sama dengan aku juga. Dari keluarga ustaz-ustazah, dari sekolah agama, walaupun mungkin bukan ustaz. Tapi realitinya ternyata berbeza. Latar belakang pendidikan, ya, bukan dari aliran agama. Dalam 10 adik beradiknya, hanya yang bongsu (rasanya) yang mengambil aliran agama. Mereka adik beradik ada yang jadi guru dan pensyarah (akademik), ada doktor dan ahli farmasi, ada engineer dan akauntan (kawan aku), dan dia sendiri sebagai ahli pelayaran. 


Tapi ternyata, asuhan ibubapa mertuaku menjadikan mereka semua ini hidup ‘beragama’. Yang perempuan menutup aurat sempurna dan pandai menjaga maruah diri. Yang lelaki penuh dengan kelembutan dan tinggi rasa hormat pada orang lain. Mereka 10 beradik walaupun berbeza (sudah semestinya) tapi setiap mereka mempunyai identiti dan peribadi yang menyenangkan. At least, aku rasa setiap mereka menghormati antara satu sama lain termasuk ipar duai. 


Ternyata jodoh pilihan Allah ini melengkapkan kehidupanku. Dia ‘imam’ yang terbaik untukku dan anak-anak. Alhamdulillah.


Begitulah rahsia hidup ini. Takdir Allah kadang tak terjangka dek akal. Kita menyangkakan yang lain, tapi Allah mentakdirkan yang selainnya.


Aku bersyukur atas takdir yang Allah aturkan untuk kehidupanku-walaupun jauh dari apa yang mungkin aku atau orang sangkakan sebelum ini.


Aku pelajar cemerlang sejak sekolah, mungkin orang ingat aku akan bekerjaya hebat. Hakikatnya aku hanya seorang suri rumah sepenuh masa. Tak sempat nak rasa pun gelaran wanita berkerjaya. Jauh sekali nak sandang jawatan hebat. Tapi aku bahagia dengan pilihan dan takdir ini. Biarpun dunia harianku adalah anak-anak dan rumahtangga semata. 


Kalau dulu aku ingatkan suami orang ‘pejabat’ macam orang lain juga, keluar pagi balik petang. Tapi rupanya keluar berhari dan berminggu, barulah balik semula :D kalau boleh tak nak macam tu, tapi aku percaya ketentuan ini tetap yang terbaik untuk kami. Ia menjadikan masa bersama sentiasa berharga dan setiap pertemuan tak pernah menjemukan. 


Percayalah, hidup ini penuh dengan keajaiban dan hal yang tidak kita sangkakan. Kerana Allah sentiasa mahu berikan yang terbaik lebih dari yang kita mahu. Terima semua dengan redha dan syukur, setiap takdirNya adalah hadiah terindah buat hamba yang mahu berfikir dan berterima kasih. 


Aku terima semuanya 

Aku bersyukur atas segalanya


Alhamdulillah 


Friday, 1 January 2021 0 comments By: Naemah

PEMUDA YANG MENCINTAI MASJID

Entri pembuka tahun 2021
:)

Antara yang mendapat naungan Allah di hari kiamat nanti adalah ‘seorang pemuda yang hatinya terikat dengan masjid’- petikan hadis.


Situasi sebelum kemunculan covid-19: masjid-masjid beroperasi dan dibuka pada setiap 5 waktu solat. Ummat islam (yang hatinya terikat pada masjid) akan berusaha untuk mengunjungi masjid untuk solat berjemaah dan menghidupkan majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak masjid. Alhamdulillah.


Aku juga bersyukur dikurniakan seorang suami yang hatinya dekat dengan masjid. Mungkin dia kurang dikenali di kalangan ahli masjid (sebab jarang-jarang ada kat rumah) tapi bila ada di rumah, masjid akan menjadi destinasi wajib untuknya setiap waktu solat terutamanya solat subuh, maghrib dan isyak. Alhamdulillah. Malahan pada pandangan mata seorang isteri, dia paling kacak dan gagah perkasa di saat pulangnya dari masjid (terlebih nur gitu :b) Masya Allah. Bukankah pulangnya  dari rumah Allah itu membawa bersama rahmat dan berkat untuk dinikmati bersama anak isteri?  Dan aku sangat merindukan saat-saat itu untuk berulang lagi. Rindu sangat.


Situasi sekarang (selepas diuji dengan Covid-19): Masjid tak bebas beroperasi seperti dulu lagi. Pernah ditutup terus kepada para jemaah, kemudian dibuka dengan bersyarat- dan tak semua ‘terpilih’ untuk mengunjungi masjid. Apatah lagi kanak-kanak, masjid bukan lagi tempat mereka. Sudah berbulan lamanya anak-anak tak pijak masjid, tak menikmati solat berjemaah yang mana sepatutnya dari situ mereka dilatih untuk menjadi pemuda yang mencintai masjid.


Jauh di sudut hati, aku bimbang akan anak-anak lelakiku bila masjid tak lagi menjadi tempat untuk dikunjungi bersama abi mereka (seperti sebelum ini). Bimbang ‘masjid’ tak menjadi tempat yang akan melekat di hati mereka. Bimbang ia menjadi satu tempat yang asing pada mereka di kemudian hari. Nau’zubillah.


Hakikatnya amalan solat berjemaah masih boleh dididik di rumah. Namun bertambah gusarnya aku, bila situasi hari ini mengurangkan masa suami untuk bersama keluarga. Tak mampu untuk hidupkan solat jemaah setiap hari di rumah. Tambahan sekolah pun ditutup, pendedahan kepada solat berjemaah juga kian terbatas.( kalau kat sekolah Anas akan solat berjemaah setiap hari)


Yang perlu memainkan peranan kini, adalah aku! Perlu titik berat soal solat awal waktu, sempurna wuduk, pergerakan solat dan bacaan, saban waktu perlu ingatkan dan perhatikan. Namun perlu aku akui, sering juga aku terlepas pandang, acuh tak acuh mendidik bab solat, asalkan anak solat bila masuk waktunya itu dah cukup! Memang kekesalan sentiasa menghantui. Aku sedar, jika tak benar-benar mendidik, natijahnya nanti tak akan seperti yang diharapkan. Bak kata orang, melentur buluh biar dari rebungnya. Sama juga bab solat, jika tak dididik dari kecil, besarnya nanti akan semakin sukar.


Semoga Allah kurniakan aku kekuatan untuk mendidik anak-anak yang akan sentiasa teguh mendirikan solat. Semoga akan sampai masanya, anak-anakku juga, akan membesar menjadi pemuda yang mencintai masjid, yang terikat hatinya pada masjid. Insya Allah.


Permudahkan ya Allah!

آمين



Merindukan saat seperti ini


Friday, 25 December 2020 0 comments By: Naemah

JELI-KOTA BHARU-TUMPAT

Catatan (25/12/2020)


(15/12/2020-24/12/2020)

Genap 10 hari berada di kampung halaman. Alhamdulillah


Hari ni aku dan anak-anak ke Kota Bharu untuk berkunjung ke rumah ibu mertuaku. Kami pergi bersama abang dan ibuku yang memang berhajat nak ziarah mak yang baru keluar dari hospital dan nenek saudara yang juga sakit.


Bertolak jam 9 pagi dari Jeli, sampai di Kota Bharu sekitar jam 10.30 pagi. Tak semua ada, tapi agak meriah juga di rumah mak sebab ada cucu-cucu yang masih stay kat kampung (sebahagiannya dah balik ke rumah masing-masing). Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri dapat jumpa nenek dan sepupu yang dah lama tak bersua. Dapat main game sekejap dengan abang Aqil (hai game tak habis-habis).


Alhamdulillah keadaan mak baik, nampak cergas walaupun sebenarnya taklah sihat sangat. Jam 12 lebih, minta diri untuk balik. Singgah di Khalifa Suite Hotel (abang ada bilik kat situ), solat zohor dan meneruskan perjalanan ke Tumpat pula untuk ziarah keluarga di sana. Berada di sana lebih kurang 2 jam (3.30-5.30 petang), kemudian bertolak balik ke Jeli. Alhamdulillah sampai jam 7 petang.


Syukur di atas perjalanan hari ini walaupun penat (yela, sorang-sorang nak handle anak-anak). Syukur tetap semuanya dipermudahkan olehNya. 


Terima kasih buat abangku (dia yang ajak ziarah mak mertua aku sebenarnya sebab dia tahu suami aku lambat balik). Abang aku yang usianya dah 60 tahun, drive bawak adik dan anak-anak saudara dia jumpa family di sana. Memang terbaik abang aku! Selalu cakna dengan keadaan adiknya yang sorang ni. 


Suami di sana, dah tentu tahu tentang perjalanan isteri dan anak-anaknya hari ni. Dia pun (dalam keadaan sukar dan tak boleh balik jumpa mak dia) dah tentu bersyukur sangat bila aku dan anak-anak dapat ke Kota Bharu menjenguk ibunya. Insya Allah dah tak lama. Lebih kurang seminggu saja lagi, suamiku akan balik berjumpa isteri, anak-anak, maknya dan keluarga di sini. Insya Allah. Semoga Allah permudahkan. Semoga pertemuan kali ini tetap juga baik dan indah seperti selalunya.


Terima kasih ya Allah. Atas kehidupan hari ini. Yang seperti ini. Yang pastinya baik-kerana ia aturan dariMu. 








Wednesday, 23 December 2020 0 comments By: Naemah

SABAR MENANTI KEPULANGANMU



Catatan  (20/12/2020)


Sudah 20 hari bulan Disember. Hanya 1 hari aku dan anak-anak dapat bersama suami. Masih berbaki (mungkin) 10 hari lagi, sebelum dapat kembali bersua.


Aku dan anak-anak kini di kampung. Dah hampir seminggu. Balik tanpa dia. Alhamdulillah setelah lama tak balik kampung, akhirnya dapat balik bertemu keluarga yang dirindui. Tapi jauh di sudut hati, tetap merindukan suami yang jauh. Akan lebih seronok jika dia ada bersama.


Malam ini berkumpul ahli keluarga. Solat berjemaah, sessi tazkirah dan makan bersama. Dah lama tak rasa suasana meriah seperti ini. Hampir terlupa, masih berada di musim covid. Betapa lama tak rasa nikmat berkumpul sekeluarga. Semoga Allah memberkati dan merahmati penyatuan keluarga ini. Semoga dilindungi dari segala bentuk musibah.


Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri sudah pastinya antara yang seronok dengan suasana meriah malam ini. Dah lama tak berkumpul ramai-ramai, jumpa sepupu dan anak sepupu mereka. Detik seperti ini sentiasa dinanti. Alhamdulillah untuk kegembiraan anak-anak malam ini.


Berkongsi detik meriah dengan suami yang jauh melaui whatsapp. Hanya sendiri dia di hotel sementara menunggu untuk ke laut. Semoga baik-baik juga dia di sana. Walau ku tahu, dia juga dah tak sabar-sabar nak balik.


Tetapi hati.. bersabarlah. Masa itu kan terus berjalan tanpa henti. Yang ditunggu pasti akan tiba, dengan izinNya. Insya Allah akan menikmati detik pertemuan yang membahagiakan sekali lagi - Hadiah Allah buat yang menanti dengan penuh sabar dan redha.


Alhamdulillah 

Allah dah aturkan yang terbaik

Anugerah Allah adalah yang teragung

Syukur itu membawa bahagia




MINGGU TERAKHIR SESSI PERSEKOLAHAN




(Catatan 19/12/2020)


Alhamdulillah sekarang sudah pun berada dalam suasana cuti sekolah yang sebenarnya. Tamat sudah sessi persekolahan tahun 2020. Bermulanya cuti sekolah pada 18/12/2020. 


Pada minggu terakhir kami sekeluarga (kecuali suami) sudah berada di kampung. Anas meneruskan rutin membuat kerja sekolah di kampung. Mussaab pula, memang dah cuti awal, iaitu bermula awal Disember. Just hadir ke sekolah untuk hari graduasi. 


Seminggu terakhir ini agak mencabar sedikit, bila di kampung tiada line internet. Bukan tak ada langsung, tapi sekejap-sekejap saja. Samalah macam tak ada kan? Bukan setakat nak buat kerja, nak whatsapp pun susah. 


Tambahan pula Anas banyak kena jawab soalan online, dan nak kena hantar juga video hafazan, lagilah susah. Setiap hari kena ‘keluar’ cari line internet. Hari pertama guna wifi kat rumah abang, hari seterusnya ke Ayer Lanas, parking tepi masjid dan setllekan kerja Anas. Alhamdulillah. Selesai juga tugasan dengan jayanya. Tinggal satu je lagi belum selesai iaitu tugasan matapelajaran sains. Yang ni tak kena jawab online, tapi kena jawab soalan di buku aktiviti. Tapi, buku pula tak bawa balik. Tak ada cara lain, minta mak kawan Anas tolong snap gambar page yang perlu dibuat tu, dan hantar ke whatsapp. Belum buat pun lagi latihan, insya Allah malam ni atau esok. Sekarang ni tengah seronok main dengan sepupu. Memang dah lupa terus la pada kerja sekolah!


Alhamdulillah, lepas ni dah tak terima lagi tugasan setiap hari seperti sebelum ini. Ummi pun dapat berehat sekejap jadi guru sementara. Tapi ada kemungkinan tugas itu akan disambung lagi, andai covid-19 masih menghantui. Yalah, sampai ke hari ni kes harian masih tak kurang dari 1000 kes. Ya Allah. Moga ada sinarnya nanti. 


Bukan tak suka mengajar anak, dah cuba sedaya mungkin, dan seikhlas mungkin. Tapi anak-anak dah tentu rindukan suasana pembelajaran di sekolah. Guru di sekolah taklah segarang guru di rumah kan :D


Akur pada takdirNya. Aku juga seperti ibubapa yang lain. Ada sedikit kebimbangan dalam bab pendidikan anak-anak andai mereka tak mendapat dari apa yang sepatutnya. Namun redhalah, jangan overthinking sangat. Insya Allah, masa depan yang cerah untuk anak-anak semuanya. 

BALIK KAMPUNG AKHIRNYA

(Catatan 16/12/2020)


Alhamdulillah balik kampung juga akhirnya (pada 14/12/2020)-walaupun tanpa suami tercinta yang masih berkuarantin di Bintulu, Sarawak.


Pada mulanya memang nak tunggu suamiku balik, tapi memandangkan lambat lagi dia boleh balik, dan ada pula yang sanggup datang ambil kami, maka balik kampunglah aku bersama anak-anak. 


Nak dijadikan cerita, pada mulanya kakakku dan suaminya yang nak datang ambil kami. Tapi lepas tu abang sulung dengan abang no.3 pula yang katanya nak datang, tapi kemudian anak saudara yang datang ambil di Semenyih dan bawa ke rumahnya di Bentong, dan kemudian balik dengan abang sulung yang datang sampai Bentong bersama kakak, abang ipar dan ibuku. Semua buat keputusan last minute. Semuanya plan abang sulung yang katanya ‘tak lena tidur’ sebab fikir macam mana nak ambil kami anak-beranak balik.


Itulah abang aku. Time aku perlukan, memang dia akan sedia membantu. Dari aku kecil lagi. Sebab dia abang sulung, memikul amanah menjaga adik bongsu yang bergelar yatim sejak kecil. Yang sangat-sangat bertanggungjawab, yang jaga aku sebaiknya. Cuma bila aku dah kawin (ya, tugas dia dah selesai), dia dah serahkan semua tanggungjawab pada suamiku. Tapi tiapkali aku perlu, dia akan sentiasa ada dan berusaha untuk ada. Pada usianya sekarang, 60 tahun, masih cergas, masih sihat. Alhamdulillah.


Kini sudah hari kedua di kampung. Sebenarnya masih belum cuti sekolah. Minggu ni minggu terakhir. Anas masih perlu siapkan tugasan setiap hari. Sangat menjadi masalah bila di sini line internet tersangat lembap. Nak whatsapp pun susah. Apatah lagi nak buat kerja lain. 


Semalam dah ke rumah abang aku guna wifi kat rumah dia jawab quiz, hari ni nak kena hantar video hafazan, kena cari line internet juga. Insya Allah, akan dipermudahkan juga nanti.


Sekarang di musim tengkujuh. Hujan setiap hari. Anak-anak pun tak ada aktiviti sangat. Banyak main dalam rumah je. Semalam dapat juga main dengan anak sepupu mereka kat rumah pok long. Alhamdulillah. Dapat video call abi sekejap, sebab kat rumah mek memang tak dapat nak call langsung dah. 


Meneruskan hari-hari di sini. Setia menanti kepulangan suami tercinta. Semoga Allah pertemukan kembali. Semoga dipermudahkan urusannya di sana, dan urusan kami di sini. Aameen.








Sunday, 13 December 2020 0 comments By: Naemah

KESETIAANMU TIADA RAGU


Pada hari lahir suamiku (11-12-2020), seperti tahun-tahun lepas juga, FB akan remindkan pada ‘friends’ pada tarikh tersebut, maka ramailah yang tinggalkan ucapan di wall-kebanyakannya rakan kerja dia


Tiba-tiba ada rakan sekolah lama yang buat ucapan birthday. Amboi berderet ucapan dari ‘girls’. Dah tentulah aku baca satu persatu. Jelouse? Tak adalah sangat sebab pada umur sekarang, aku anggap mereka semua pun dah bergelar mak-mak orang kan? Kalau baru setahun dua kawin, harusss la jelouse :D suami pun perasan aku ‘like’ pada gambar kelas yang kawan dia tag tu. Dia siap tanya: ‘ummi jelouse?’ Hmmm.. kalau tanya lebih-lebih pasal ‘mereka’ kan, hati aku pula yang tak tenteram karang. 


Ya, aku isteri yang tak mahu mengorek kisah silam suamiku. Apatah lagi tentang hati dan perasaan yang satu ni. Tak pernah aku mahu tahu dari mulutnya sama ada dia pernah ‘jatuh cinta’  atau suka pada sesiapa. (Dia pun dah tentu tak suka soalan menjerat macam tu kan). Aku tahu ianya ‘normal’ pada semua orang untuk jatuh cinta pada sesiapa pun. Dan dia juga berhak untuk suka sesiapa pun sebelum aku. Tapi tak perlulah aku nak tahu atau korek kisah silam dia kan? Benda dah lepas.


Cukup 10 tahun ini, dia dah buktikan yang kesetiaan dia hanya untuk aku. So the past is past. Tak kiralah bidadari mana yang pernah mencuri hatinya (sebenarnya jelouse juga bila terfikirkan pasal tu). Cukup 10 tahun dia dah buktikan tak ada wanita lain dalam hatinya selain isterinya. Tak ada whatsapp atau apa-apa yang mencurigakan. Tak ada apa yang boleh buat aku syak dan tak percaya dia. Tak ada! 


Dia juga seorang yang sangat berterus-terang dan menjaga hati. Aku sedar apa yang tak sempurnanya tentang aku. Dia juga tahu. Nak dikira-kira, memang sangat banyaklah kurangnya. Tapi tetap dia ikhlas dan seadanya mencintai. 


Bila sebut bab cantik, aku sedarlah aku ni biasa-biasa je. Kerap juga aku puji orang tu cantik, orang ni cantik, depan dia. Yang selalu dia reply: ummi lagi cantik/ sayang lagi cantik, walaupun yang aku puji tu seorang Neelofa.Hehe.. bila dia reply macam tu takdelah pula aku nak perasan atau berbangga apa. Padaku masej yang dia nak sampaikan ialah, datanglah perempuan cantik manapun, dia tetap setia dengan aku, isterinya yang biasa-biasa ni. 


Masuk pula bab masak, aku ni asalnya tak pandai sangat memasak masa awal kawin dulu. Nak banding dengan dia, lagi sedap masakan dia. Tapi dia tak pernah nak complain yang menyakitkan hati. Apa yang aku masak, dia makan je. Tegur-tegur tu memang ada, tu pun dengan cara yang paling nak menjaga hati sebab dia tahu isterinya kuat sentap! Hihi. Cukup 10 tahun, dapur tu dah jadi ‘ofis utama’ aku. Nak cakap terer sangat memasak takdelah, tapi banyak la improve berbanding dulu :) dapat pula suami yang tak suka makan kat luar, sedap tak sedap semua dia hadap, tak pernah beri komen yang menyakitkan hati. 


Dan akhirnya, untuk hingga ke hari ini aku sangat bersyukur atas jodoh kurniaan Tuhan ini. Walau tak pernah mengenalinya sebelum diikat sebagai suami isteri, aku rasa sangat bertuah menjadi isterinya. Walaupun selalu kena tinggal (kerana kerjanya), banyak yang tak sempurna aku dan dia, namun cinta tetap mekar di hati. Kemesraan tetap ada sampai ke hari ni. Padaku, dia dah cuba yang terbaik untuk menjadi suami yang membahagiakan isterinya. Ya, aku tak perlu nak fikirkan kisah silamnya. Siapa yang pernah ada dalam hatinya. Cukuplah 10 tahun ini, dah dia buktikan akulah satu-satunya permaisuri di dalam hatinya.


Terima kasih suamiku :)