Saturday, 25 June 2016 0 comments By: Naemah

JUZUK AMMA: 3 SURAH TERAKHIR

JUNE 2016: ANAS ZAYDAN 4 TAHUN 5 BULAN

Sambungan kisah Update hafazan Anas 2016 

Sebagaimana yang telah aku catatkan sebelum ini, hafazan Anas sehingga penghujung tahun 2015 berakhir dengan hafazan surah al Ghasyiah ( 28 surah semuanya). Selepas itu hafazan terhenti di atas alasan alasan yang telah dinyatakan :)

Kerana tidak mahu segalanya terhenti setakat itu saja, berbagai cara dan kaedah dicuba untuk Anas meneruskan hafazannya.

Sehingga pertengahan 2016 ini, cuba fokuskan Anas pada 3 surah terakhir dari juzuk amma ( an Naba', an Nazi'at, dan 'abasa).

3 surah terakhir ini ayatnya dah pasti lebih panjang dari surah surah terdahulu dan pasti ada cabarannya dalam usaha menarik fokus Anas pada hafazan surah tersebut :)

Seperti yang aku nyatakan sebelum ini, aku tidak akan memaksa dia untuk menghafaz, tetapi sekadar untuk menarik dia untuk mendengar dan membaca. Semoga hafazan akan menjadi mudah di kemudian hari.

Antara langkah dan usaha:

(tapi tak berapa nak konsisten lagi, especially bila travel dan balik kampung)


1. Memperdengarkan bacaan surah tersebut setiap hari. 

Bacaan sheikh mishary al-afasy menjadi pilihan sejak dulu lagi. Bacaan juzuk amma diulang dengar SETIAP HARI di saat makan, main, belajar dan tidur mereka (Kecuali time mereka menonton video)

Apps mp3 bacaan juzuk amma oleh sheikh mishary 



2. Membaca mashaf bersama setiap malam 

BACA BERSAMA SAMA. 5 ayat sekali baca, sehingga bacaan lancar, kemudian tambah kepada 5 ayat seterusnya sehingga habis.

Al Quran yg digunakan



3. Mengeja ayat pada surah seterusnya 

Contohnya jika sekarang tengah membaca surah an Nazi'at, ayat yang perlu dieja ialah ayat dalam surah seterusnya iaitu surah 'abasa. Satu ayat sekali eja, sehingga betul dan sempurna dibaca. Beralih pula pada ayat seterusnya :)




4. Menulis ayat per kata di kertas A4

Yang ini baru cuba nak buat. Nampaknya Anas suka cara begini. Contohnya seperti sekarang sedang mengeja setiap ayat dari surah 'abasa, maka setiap perkataan di dalam surah ditulis besar2 di kertas A4 dan tunjuk satu persatu untuk dia eja dan sebut. Anytime boleh minta dia baca.

Ayat per kata. Tulisan tangan je :)



Begitulah antara caranya. Lebih kepada nak menarik minatnya untuk membaca al Quran. Mudah mudahan hafazan akan berjalan seiring. Kalau ikutkan, hafazan tu dah ada dalam kepala, cuma perlu lebih usaha dan fokus untuk melancarkan hafazan.

Hari ini, cara yang begini masih menjadi pilihan. Cuma perlukan konsisten saja untuk hasil yang lebih memuaskan. Dan mungkin ada cara lain lagi yang perlu difikirkan di masa akan datang :)

Kini 3 surah terakhir itu masih menjadi fokus untuk diajar dan dibaca bersama Anas. Tak kira berapa lama lagi, semoga Anas semakin mengenal dan lancar membaca al Quran dengan cara yang dia suka, dan ummi pun tak nak stress dan marah marah mengajar ;)

Semoga Allah permudahkan usaha untuk mendekatkan anak anak dengan al Quran.

DOA DI 10 MALAM TERAKHIR

21 Ramadhan 1437H
  
Sudah berada di 10 malam terakhir Ramadhan. Ramadhan yang cepat berlalu. Semoga dapat ditingkatkan lagi amal ibadah. Insya Allah.


Masuk hari ke-6 aku dan anak anak berjauhan dengan suami yang dicintai. Jauh di mata, dekat di hati. Semoga Allah sentiasa menjaga dia dan kami.

Di pengakhiran Ramadhan ini, semoga kita semua tidak mempersiakan hari hari yang berlalu. Jangan biarkan Ramadhan berlalu tanpa kita berusaha untuk mendapatkan keampunan dan keredhaan Allah, di samping berdoa meminta kepadaNya.

Rugi... sekiranya Ramadhan berlalu tanpa kita mendapat apa apa dariNya yang Maha Memberi.

Ku mohon keampunan dariNya, kerana aku hamba yang terlalu sering membuat dosa. Ku mohon keredhaanNya dalam menempuh hari hariku, ku Mohon bantu diriku untuk menjadi ibu yang lebih baik buat anak anakku, isteri yang lebih baik buat suamiku, yang penuh cinta dan kasih sayang, yang tenang dan penyabar, yang mampu mendidik dengan sebaiknya, yang sejuk dan tenang, di pandangan suami...

Ku mohon diberkati rumahtangga yang kami bina bersama, ku mohon dirahmati suamiku, diampuni segala dosanya, diberi kesihatan buatnya, dan dijadikan dia pemimpin yang terbaik buat kami dalam menempuh jalan keredhaan Allah. Jadikan dia, pasanganku dunia dan akhirat.

Kumohon diberkati anak anak kami, Anas Zaydan, Abdullah Mussaab, dan zuriat yang bakal lahir. Kurniakan mereka kesihatan tubuh badan dan akal yang cerdas, jadikan mereka anak yang soleh, mentaati Allah dan Rasul, mentaati kedua ibubapa, serta dekatkan mereka dengan al Quran dan petunjuk Allah. Berikan kelapangan dalam hidup mereka, mudah dan tabah menempuh ujian dunia, dan berikan mereka kebahagiaan dan kemuliaan dunia dan akhirat.

Ku mohon ampuni dosa kedua ibubapa kami, rahmati ibuku dan ibu mertuaku, ringankan segala beban yang mereka tanggung, tenangkan kehidupan mereka. Kasihani mereka sebagaimana mereka mengasihani kami. 
Tempatkan mereka di kalangan hambaMu yang beriman dan bertaqwa.

Ku mohon rahmati seluruh ahli keluarga kami, adik beradik dan saudara, rahmati kehidupan mereka, permudahkan urusan mereka, lapangkan kehidupan mereka, tunaikan hajat mereka.

Ku mohon dirahmati seluruh umat Islam di dunia ini. Berikan kemenangan kepada Islam, serta hancurkan musuh musuh Islam. Aameen..

Suamiku, hanya Tuhan mengerti kerinduan hati ini. Tiada yang lebih baik darimu buatku. Semoga Allah menjaga dan merahmatimu. Semoga Ramadhan yang masih berbaki ini juga membangkitkan lagi semangatmu untuk menambahkan amal dan ibadah diri. Meski dirimu dalam kesibukan bekerja. Semoga hatimu tak pernah lalai mengingati Allah dan memohon padaNya. Ku pasti kau juga tak jemu berdoa buat kami, dan buat keluarga kita.

Semoga cinta kita hingga ke syurga sayang :')
Friday, 24 June 2016 0 comments By: Naemah

RINDU DAN SETIA MENANTI

20 Ramadhan 1437

Masuk hari kelima berjauhan dengan suamiku. Masih dalam penantian. Dan masih menghitung hari.

Bukan tidak biasa berjauhan, tetapi kali ini perginya lebih lama dari biasa.

Namun kali ini terasa lebih tenang dan pasrah melepaskan dia pergi dan terus setia menanti kepulangannya.

Hati tetap merindu, namun aku yakin perpisahan ini satu ujian yang sebenarnya manis dari Allah.

Hati juga tak lepas dari kerisauan memikirkan dia yang jauh di lautan,  namun aku ada Allah yang pasti sedang menjaganya.

Anak anakku, kesian juga mereka yang ditinggalkan abi. Tapi anak anak pasti akan mengerti mengapa abi perlu pergi.

Anak anak juga, seperti sudah biasa dengan perpisahan ini. Mereka tahu perpisahan ini hanya sementara. Abi akan pulang, dan akan ada untuk mereka.

Benarlah, setiap hamba diuji dengan ujian yang berbeza. Ujian perpisahan suami dan isteri, bapa dan anak anak, juga satu bentuk ujian dariNya.

Kita diuji dalam bentuk yang berbeza, kerana tahap kekuatan kita juga tak sama. Allah sajalah yang lebih tahu. Dalam bentuk yang bagaimana pun ujian itu, jika Allah takdirkan ianya untuk kita, maka yakinilah hati... kita mampu menempuhnya dengan pertolongan dan petunjuk Allah. Insya Allah.

Semoga hati sentiasa tabah menempuh ujian berat atau ringan. Semoga sentiasa redha dan sentiasa bersangka baik pada Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Foto yg 'ditangkap' di laman facebook:
Suami dan rakan2 sedang berbuka puasa d atas bot
-gambar pengubat rindu :') -

Thursday, 23 June 2016 0 comments By: Naemah

SERONOK MEMBANTU MEK

230616/18 Ramadhan 1437H

Pagi ini Anas dan Mussaab melakukan aktiviti yang luar dari kebiasaan. Jika selalunya banyak menghabiskan masa di dalam rumah, hari ini berpeluh di luar rumah pula. Tiada sebarang permainan yang menarik, sekadar membantu Mek  mengangkut serai untuk dijual :D

Mek berpagian di balik rimbunan pokok serai yang berderet. Mencantas dan memotong setiap barang serai. Sikap rajin dan tekun Mek sejak dari dulu, yang tidak ummi warisi :b

Hari ini, Anas dan Mussaab belajar untuk membantu orang tua. Memberi pertolongan tanpa mengharapkan balasan, penuh ceria dan senyuman. Di sini, ummi belajar erti keikhlasan dari anak kecil ummi ini.

Pada pandangan mata kasar, pertolongan Anas dan Mussaab tidaklah seberapa. Namun pada penilaian ummi, ia tetap membantu. Anas dan Mussaab punya kuasa untuk berlari, ulang alik membawa sebatang dua serai dari tempat Mek memotong serai ke tempat serai dikumpulkan. Bukan sekali dua berulang alik, malah berkali kali. Namun tetap bertenaga dan tetap ceria.

Pertolongan sebegini bukan yang pertama dari Anas dan Mussaab. Tanpa sedar, banyak lagi bentuk pertolongan yang telah Anas dan Mussaab hulurkan buat ummi dan abi. Meskipun dalam bentuk yang kecil, meskipun di luar sedar.

Anas dan Mussaab, kehadiran anak kecil ummi hakikatnya banyak membantu memudahkan kehidupan ummi dan abi. Ummi mensyukuri nikmat ini. Semoga Anas dan Mussaab, suatu hari nanti akan terus ikhlas memberi dan membantu, dalam apa bentuk sekalipun.

Anas dan Mussaab, semoga sentiasa memberi dan menolong dengan keikhlasan sebagaimana yang kalian lakukan hari ini :)






DIPHTHERIA: UNTUK RENUNGAN BERSAMA


Sehari dua ini, isu diphtheria banyak diperbincangkan dan diperdebatkan di alam maya. Aku sebagai ibu kepada anak anak kecilku, turut mengikuti setiap perbincangan yang berkaitan dengan isu ini. Hati juga tak lepas dari rasa kebimbangan memikirkan anak anakku yang masih kecil. Kes yang telah meragut nyawa, dan kes yang tidak boleh dipandang ringan dari mereka yang bertanggungjawab.

Meskipun anak anak tidak tercicir dari menerima vaksin yang berkaitan, namun tetap juga gusar memikirkan sebarang kebarangkalian yang tidak diingini.  

Golongan anti vaksin (katanya pro choice) tetap dengan kedegilan mereka untuk menolak vaksin meski banyak usaha dilakukan oleh yang berkewajiban untuk memahamkan mereka tentang kepentingan vaksin untuk melindungi anak mereka, dan yang lebih besar lagi untuk melindungi komuniti dari wabak penyakit yang berkaitan. 

Walau fatwa mengeluarkan hukum 'harus', mereka masih menyatakan ia 'haram'. Mereka lebih faham agama, malah mereka lebih berpengetahuan dari doktor dan mereka yang terlibat dalam bidang perubatan ini. 

Bila berdebat, mereka tak pernah kalah. Doktor dan pendokong vaksin dituduh yahudi, dajjal dan sebagainya. Berselindung di balik hujjah 'agama', sedang mereka tidak lain hanya mementingkan diri sendiri. 

Bukankah agama menganjurkan agar kita sedaya upaya mencegah dari segala kemudaratan? Dalam bab penyakit yang tersebar ini, vaksin adalah salah satunya. Dan ia adalah saranan dari mereka yang lebih arif, yang lebih tahu, yang belajar dan mengkaji, lebih dari kita. Kita bukan hanya melindungi anak, malah lebih dari itu melindungi masyarakat dari tersebarnya penyakit bahaya ini. Namun, kita masih ingin berdiri bersama hujjah kita yang hakikatnya bukan ahli dalam bidang ini.

Pro vaksin, atau anti vaksin, semuanya membuat keputusan atas dasar 'sayang anak'. Bezanya ilmu yang kita dapat itu boleh jadi benar atau sebaliknya. Mengapa tidak, kita meletakkan kepercayaan kepada mereka yang lebih 'ahli'. Orang agama sekalipun, mereka tetap perlu bertanya ahlinya, kerana itu bukan dalam bidang pengetahuan mereka. Usah terlalu mudah meletakkan hukum dan menuduh orang tidak beriman pada takdir. Kerana Allah sendiri meminta kita berusaha mencegah diri dari segala bentuk kebinasaan.

Lapangkanlah hati, jika fatwa menghukumnya 'harus', makan terimalah ia sebagai harus. Usah teragak untuk memberi suntikan vaksin pada anak, kerana kita hakikatnya sedang berusaha melindungi anak kita, dan melindungi komuniti kita. Insya Allah.

Bab anak tak boleh terima vaksin, allergic dan sebagainya boleh kita mendapatkan nasihat selanjutnya dari doktor atau yang lebih pakar. Mereka pasti ada saranan yang lebih baik..

Sedikit buah fikiran dariku, seorang ibu yang juga ingin melindungi anak anak. Rujukan ku hanya pada mereka yang lebih 'ahli' di dalam bidang ini, dan yakin apabila fatwa sendiri menggariskan hukum harus ke atasnya. Selebihnya aku bertawakkal kepada Allah. 



KERANA ALLAH KASIH





Mendapat khabar keluarga di sana (keluarga mertua) diuji dengan ujian sakit/demam/cirit birit. Habis terkena satu keluarga yang berbuka bersama pada hari sebelumnya. Mak, adik beradik dan anak saudara. Pastinya ia ujian buat mereka yang sedang menanggung segala kesakitan itu.

Hati juga tak lepas dari rasa sayu memikirkan abang ipar yang sehingga hari ini berjuang melawan sakit kansernya.

Simpati dan sayu... itulah gambaran rasa hati. Namun pastinya berat mata memandang, berat lagi bahu yang sedang memikul. Harapan dan doaku, semoga mereka semua tabah menghadapi segala ujian ini. Semoga mereka temui kemanisan di sebalik ujian Allah ini.

Terkenang ujian 'sakit' yang pernah aku  tempuh beberapa bulan sebelum bernikah. Diuji dengan keracunan makanan, juga di bulan puasa (2 hari sebelum raya). Juga melibatkan ahli keluarga yang ramai. Aku antara yang teruk terkena, hingga ditahan di wad untuk dimasukkan air dan rawatan susulan. Perit dan sakitnya, Allah saja yang tahu. Saat sakit begitu, hanya kematian terlintas di hati.

Ujian itu telah lama berlalu. Hari ini, syukur dikurniakan kesihatan yang baik. Hingga melupakan kesakitan dan ujian yang pernah dilalui suatu masa dulu. Hingga lupa pertolongan Allah yang sentiasa dihulurkan buat diri untuk keluar dari segala ujian dan kesakitan.

Sungguh, Allah sentiasa ada di saat senang dan sukar. Ujian kesakitan ini, tidak lain hanya sebuah perhatian istimewa dari Allah buat kita. Saat sakit ini hati kita tak lepas dari mengingati Dia. Tak jemu berdoa dan berharap pada Dia. Tiada perasaan yang lebih indah, selain di saat hati benar benar ada Dia. Berdoa dengan penuh khusyuk dan penuh harapan.

Ya, di sebalik ujian kesakitan kita temui kemanisan cinta Tuhan. Hanya di saat hati menerima penuh redha, sabar dan ikhlas.

Di saat kita bertarung dengan kesakitan ini, tanyalah di mana letaknya Dia di hati kita. Pastinya di sudut yang paling dekat si ruang hati kita :)

Sungguh, Allah menguji kerana Allah sangat kasih...
Wednesday, 22 June 2016 0 comments By: Naemah

KERAP BALIK KAMPUNG

Kini di pertengahan tahun 2016. Masih berbaki 6 bulan lagi. Namun, tahun ini terasa terlalu kerap kami sekeluarga pulang ke kampung. (Mungkin orang kat kampung pun dah jemu tengok muka kami :b)

Hakikatnya memang begitulah. Dalam sebulan sampai 2-3 kali kami balik. Kerana pada kami, tiada tempat yang lebih menarik untuk dituju selain kampung. Mungkin kerana kami masih ada orang tua (ibuku dan ibu mertuaku). Maka, hati lebih tertarik untuk balik.

Mungkin juga kerana kerja suamiku yang tak sama dengan orang. Cuti tak sama dengan orang, dan setiap kali cuti selalunya 'sempat' untuk kami travel balik kampung dan balik ke rumah semula. Walaupun perjalanan jauh, suamiku lebih selesa memandu sendiri berbanding mengambil flight atau kenderaan awam lain (fikirkan kos dan masa juga)

Anak anak kami, juga sudah terbiasa dengan perjalanan jauh. Tidak meragam sepanjang perjalanan, atau jarang sangat nak meragam. Perjalanan memakan masa 7-8 jam termasuk berhenti makan dan solat. Namun bersama anak kecil kami ini, ia tidak mendatangkan masalah buat kami. Ipad atau hp, jarang sekali mereka minta meskipun bosan dalam perjalanan yang panjang. Buku juga sesekali dibelek, selebihnya, bercakap, memerhati jalan dan sekeliling, dan ada ketika juga bergurau dan berlawan sesama sendiri. Sesekali kedengaran juga suara tangisan bila sudah bosan atau lapar. Biasalah tu..

Aku juga sudah biasa dengan perjalanan yang jauh begini. Namun kini dalam keadaan mengandung, penatnya terasa lebih sedikit. Kalau sekadar duduk dan rehat saja di sepanjang perjalanan mungkin tak penat sangat. Yang jadi penat dan ' beban'nya bila anak yang dua orang tu sering nak duduk menghimpit. Si adik, duduk di car seat sekejap, lepas tu nak duduk di riba ummi pula. Kemudian abang pula datang bersandar. Penat dan lenguhnya, Allah saja yang tahu. Tapi setakat ni ok je. Anas pun dah kerap duduk di depan berbual dengan abinya.

Setakat ini masih gagal disiplinkan anak untuk 'lekat' di atas cat seat sepanjang perjalanan. Duduknya tak lama. Bosan barangkali tak bebas bergerak. Sekejap bangun, sekejap duduk, sekejap ke depan, kemudian ke belakang. Begitulah..

Tak pasti selepas hari raya nanti akan kerap balik ke kampung lagi atau tidak. Kandunganku dah hampir masuk trimester ketiga. Mungkin perlu kurangkan perjalanan jauh agar tak menanggung penat sangat. Belum masuk bab berkemas kain baju, kemas rumah, clear sampah dan pinggan mangkuk, dll. Banyak kerja nak kena settlekan sebelum dan selepas pulang dari kampung. Memang suami banyak membantu, tapi penat juga memikirkan perjalanan yang jauh tu.

Kini kami masih tinggal di rumah sewa. Insya Allah tahun depan akan tinggal di rumah sendiri. Tahun depan juga, insya Allah anak ketiga kami sudah selamat dilahirkan. Biarpun sudah tinggal di rumah sendiri, biarpun ketika itu punya anak kecil, semoga kami tak lupa pada orang tua di kampung. Jika selama ini kami pulang untuk mereka, moga di masa akan datang kami takkan jemu untuk pulang menjenguk mereka. Kerana kami masih ada mereka, yang tak jemu menunggu kepulangan kami.

Ya, selagi mereka masih ada....


Nota tambahan: kerana kerap travel balik kampung juga, aktiviti homeschooling anak anak sering tertangguh. Hanya unschooling saja :) so, nak update tentang homeschooling 2016 pun tak dapat. Tak mengapalah, yang pasti anak anak belajar setiap hari dalam kehidupan mereka, insya Allah :)