Friday, 15 August 2025 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR SURI LILYANA


 15 Ogos 2019 ummi melahirkanmu. 

15 Ogos 2025 genap usiamu 6 tahun.


Masya Allah, puteri sulung ummi sudah besar. Sudah di bulan-bulan terakhir di tadika. 


Pagi ini Suri bangun awal dan bersiap ke sekolah. Hari ni Suri ada rakaman senamrobik bersama kawan-kawan, yang mana Suri dah berlatih sepanjang minggu ni. 


Suri bersiap kemas, tak lupa ummi ucapkan selamat hari lahir dan ingatkan Suri yang pada tarikh ini ummi lahirkan Suri. Suri biasa-biasa saja, pada Suri, birthday yang sebenar kena ada kek. 


Suri ke sekolah dan balik seperti biasa. Abi yang ambil Suri sebab ummi ada urusan di klinik. Ya, ummi tak sempat nak masak special hari ni walaupun dah ‘niat’ nak masak special. Last-last, ayam goreng saja di samping panaskan lauk yang ada dalam peti, dek kesuntukan masa. Abi pula, sebelum ambil Suri, perlu ke sekolah angah untuk hari bual bicara akademik, dan lepas tu sibuk pula buat report kerja. Pendek kata, ummi dan abi sibuk dengan hal lain hari ni. 


Sampai ke petang, hanya menempuh hari yang seperti biasa saja. Suri makan dan main seadanya. 


Malam pula, abi sempat belanja minum Ai-Cha selepas solat isyak di surau. Begitu sajalah cerita di hari lahir Suri.


Bukan lupa, cuma tak sempat. Esok insya Allah ada yang lebih special untuk Suri dan sekeluarga. Momen hari lahir, pastinya ingin dirakam dengan kenangan indah. 


Selamat hari lahir anakku, Suri Lilyana. Puteri sulungku, yang amat ummi cintai. Terima kasih menjadi anak yang baik, yang sering berdoa untuk ummi dan abi, yang sayangkan adik, yang rajin pergi sekolah, dan banyak lagi hal yang baik pada dirimu, ummi syukuri segalanya.


Oh ya, Suri sekarang (bulan Julai) dah tamat baca iqra’, kini dah mula baca al-Quran. Alhamdulillah. Perlahan-lahan, insya Allah makin lancar dan fasih.


Dan satu lagi ummi terlupa, malam tadi ummi dan abi siapkan pulut kuning dan rendang untuk bawa ke surau. Abi kata sebagai kesyukuran sempena hari lahir Suri dan sebab Suri dah baca Quran. 


Doa ummi, semoga Suri sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Semoga jadi hambaNya yang taat, yang solehah, yang menjaga kehormatan diri. Semoga dilindungi sentiasa dari segala musibah dan maksiat. Semoga bahagia sentiasa dirimu puteriku, dunia dan akhirat. Ameen. 


Ummi sayang Suri selamanya. Sayang sangat! 



Bersama adik dan abang-abang 




Tuesday, 12 August 2025 0 comments By: Naemah

RABU: ADA KISAH YANG BERBEZA


 Hari Rabu. Hari ni abi keluar jam 4 pagi ke airport sebab ada urusan kerja di Singapura. Malam nanti akan sampai balik ke rumah. Dan hari ni ummi perlu ambil tugas hantar dan ambil anak sekolah macam biasa.

Hari Rabu adalah hari yang sedikit berbeza berbanding hari sekolah yang lain. Sebab, hari Rabu Anas dan Mussaab terlibat dengan kokurikulum. Anas akan keluar pagi (berbasikal) seperti yang lain, dan akan stay sampai waktu sekolah sessi petang. Petang pukul 7 baru sampai rumah balik. 


Mussaab pula, sessi pagi akan bersambung dengan koko, dan tamat pada jam 3 petang. Perlu ambil dan hantar ke sekolah agama dan ambil semula jam 6.30 petang (ada kelas tambahan UPKK). 


Suri waktu balik biasa, 12 tengahari dan Miqdad pula 3.30 petang. 


Hari Rabu. Apa yang terlintas di hati ummi hari ni? Nak rehat lebih. Tak nak masak tengahari (sebab ada Nuha dan Suri je tengahari ni), tak nak basuh baju (semalam dah 2 round cucian), nak settle kemas ruang luar ni je. Tak masak, takdelah kena cuci pinggan mangkuk, periuk kuali semua. Tak membasuh, tak perlu nak menjemur dan angkat kain semua. Kan dapat jimat banyak masa. 


Tapi takdir Allah siapalah yang boleh jangkakan? Hari ni tak jadi seperti yang dimahukan. Sebaik bersedia nak hantar Mussaab dan Miqdad sekolah, dah angkut yang kecil (yang masih lena) masuk kereta, dah kejut si kakak naik kereta, dah keluar pagar rumah dah, tiba-tiba rasa lain macam dengan kereta. Rupanya tayar belakang bocor. Ya Allah, ujian di pagi hari. Masuk semula ke dalam pagar rumah. Mussaab dan Miqdad tak bersekolah la jawabnya hari ni (Anas dah bergerak ke sekolah).  


Suri pula ummi minta tolong mak Aireen (classmate Suri) untuk tumpangkan Suri pergi dan balik. Alhamdulillah Suri dapat ke sekolah (ayah Aireen yang bawa).


Hmm.. kini ada Mussaab dan Miqdad, juga Nuha di rumah. Masuk dapur, masak nasi goreng. Pagi tadi dah makan fries sikit sorang, mana nak kenyangnya. Terpaksalah masak, ummi pun nak makan (cadangnya tadi nak beli bungkus je lepas hantar anak-anak sekolah). Dan tengahari tentunya kena masak lagi. Nak keluar beli pun tak boleh. Nak order food panda tak murah ya! Bukan untuk seorang dua.


Dan petang, tentunya perlu ada hidangan lagi. Simple pun, tetaplah kena masak. Spend masa kat dapur jugalah hari ni ye! Takpelah, at least tak perlu keluar ambil dan hantar anak sekolah (walaupun sangat tak seronok anak tak pergi sekolah dan tak belajar macam orang lain). Nak buat macamana, inilah takdir hari ini.


Ya Allah, sungguh aku percaya ujian dariMu ini penuh hikmah dan ada baiknya buat kami. Pagi ni hati tak gembira dengan apa yang terjadi, tapi cuba bertenang dan bersabar. Kecil saja ujian ini kan? Setakat anak tak dapat ke sekolah sehari ni saja. Abi pergi pun tak lama, dia balik nanti akan selesai juga masalah kita. Esok hari abi ada, boleh hantar anak sekolah macam biasa.


Dan syukur ya Allah, ia terjadi di depan rumah saja. Bukan di tengah jalan, yang lagi membuat diri ini buntu. Dan syukur juga, ada yang sudi tumpangkan Suri ke sekolah. Kebetulan pula Suri ada latihan senamrobik (untuk pertandingan) minggu ni. Alhamdulillah, hari ni tak skip walaupun ummi tak dapat hantar. 


Sesekali melalui hari yang tak seperti biasa. Sesekali mendepani ujian yang berbeza. Menambah lagi rencah dalam kehidupan yang tak menjanjikan sempurna ini. Ujian dariNya, dan tempat pergantungan juga hanya PadaNya. Ujian ini terlalu kecil berbanding rahmatNya yang  tak terhitung banyak. Bukankah begitu? 

ISNIN YANG TERUJI


Bermula pagi Isnin-permulaan minggu ini. Pagi ni hanya Miqdad yang bersekolah. Mussaab cuti peristiwa, dan Anas bersekolah sessi petang. Tambahan Isnin, dan seorang pula tu, slownya lah gerak gerinya dari bangun mandi sampai siap ke sekolah. Dari abinya bersabar banyak, sampai abinya hilang sabar. Sampai sekolah pun dah lewat dan kena tulis nama lah jawabnya. 


Di rumah, sinki tersumbat sejak 2 hari lepas. Sebenarnya dah beberapa kali terjadi dah dalam tahun ni. Dan selalunya tak ambil masa lama untuk suami settlekan. Tapi kali ni lain macam pulak tersumbatnya. Air tak nak turun langsung. Dapur dah jadi kotor berselut dan berbau. Masak dalam keadaan lantai dapur basah dan kotor. Pulak tu tak boleh nak cepat-cepat buat kerja sebab lantai licin. Ya Allah, stressnya. Tapi Alhamdulillah lunch dan dinner terhidang lengkap untuk seisi keluarga.


Dan takdir juga, hari ini suami sakit belakang (mungkin sebab main bola pada hari sebelumnya). Sakit sangat nampak gayanya tu. Berkerut muka bila bergerak. Tambah pula dengan puasa, bertambah la kelihatan lemahnya. 


Dugaan petang harinya pula, tayar Ativa tiba-tiba bocor. Dengan sinki yang tak settle lagi tu, dengan penat puasa dan sakit belakang, kena settle juga hal tayar kereta tu. 


Dan menjelang senja pula, Nuha meragam entah apa yang tak kena. Tak pernahnya dia meragam macam ni. Nangis tak henti. Bagi apapun tak nak. Makan minum pun tolak. Menyusu pun tak nak. Nak nangis je! Mungkin sebab hari ni abi tak layan dia sangat. Mungkin sebab penat dan mengantuk. Entahlah.. yang pasti inilah kali pertama Nuha jadi tantrum teruk macam ni.


Malam hari, dah tak hirau dah keadaan rumah yang huru-hara. Kotornya bukan saja di dapur, malah di luar juga bersepah kertas dan segala macam di lantai. Pinggan, cawan, kuali, bersusun tunggu masa nak dibasuh. Macamana nak basuh, sinki tak boleh pakai. Masak tadi pun dok mengangkut air kat toilet. 


Jam 10 malam, bila semua dah lena, keadaan kembali tenang dan lapang, tawakkal dah dengan keadaan, malas nak fikir banyak. Suami masuk bilik dan maklumkan masalah sinki dah selesai. Rupanya tadi balik dari surau dia usahakan juga bagi settle, masuk dapur dah bersih semua. Sinki pun dah clear (tapi masih banyak pinggan mangkuk di meja makan). Alhamdulillah, terima kasih ya Allah. Terima kasih suamiku. Yang tadinya berat terasa ringan amat. Dapur dah boleh pakai macam biasa. Dapatlah tidur dengan tenang.


Pagi Selasa lebih tenang dan lapang. Anak-anak boleh siap awal, takde perangai macam-macam dah. 


Bila semua ke sekolah, ambil masa settlekan hal di dapur dan di ruang makan dan ruang tamu. Rupa dan keadaan semalam yang teruk dan huru hara, pagi ni dah bertukar wajah, kemas dan rapi kembali. Alhamdulillah. Inilah rumah. 


Terima kasih ya Allah. Kau yang menghadirkan ujian, dan Kau jua yang menunjukkan jalan keluar dari segala kesulitan. Hanya perlu doa, sabar, usaha dan tawakkal sesungguhnya. 


Bukankah begitu?


 

Sunday, 10 August 2025 0 comments By: Naemah

TERUS MEMBURU IMPIAN

 


Setiap insan mengimpikan keluarga sempurna. Suami yang memimpin penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Isteri yang taat, lembut bicara, penyejuk mata. Anak-anak yang patuh, mendengar kata, menghibur hati.

Rumah yang dipenuhi tenang, sejahtera, dan damai. Alangkah bahagianya.


Namun realiti tidak selalu secantik impian. Ujian dan cabaran hidup datang silih berganti. Suami yang penyayang boleh bertukar baran, suka berdiam dan menjauh, dingin melayan anak dan isteri, seakan segalanya serba tak kena.


Isteri yang setia memendam, menyimpan luka di hati tanpa suara. Kadang marah meletus, kadang rasa ikhlas bagai menghakis sedikit demi sedikit.


Anak-anak pula membesar dengan ragam dan kerenah yang menguji kesabaran saban hari, hingga watak-watak indah yang diimpi bagai hilang dalam kabus tebal.


Rumahtangga yang dulunya diharap menjadi syurga dunia terasa jauh dari bayangan itu. Hari-hari berlalu dalam struggle yang melemaskan, tak mampu lagi menimbang dengan akal waras, dan tak tahu mahu memulakan semula dari mana.


Namun di celah retak dan luka ini, masih ada doa yang bergantung di langit. Masih ada harapan, bahawa setiap jiwa yang rapuh boleh dipulihkan, jika cinta itu kembali berpaut pada-Nya.


Setiap seorang-suami, isteri dan anak-anak-perlu menyedari dan mengambil peranan. Setiap kita perlu bermuhasabah, dan berusaha ke arah kebaikan bersama. Tak ada kehidupan yang sempurna dan hidup tenang bahagia sentiasa di dunia. Semua teruji. Tak ada yang terkecuali. Tak perlu kita membandingkan kehidupan ini dengan sesiapapun. Perhatikan kehidupan sendiri, dan berusaha memperbetulkan mana yang dirasakan silap dan menyimpang dari yang sepatutnya. 


Selamat berjuang menuju bahagia sejati. 


OGOS: MASIH SAMA


 Ogos. 10 hari berlalu. Pun tiada cerita luar biasa untuk ditulis di sini. Sekadar menjalani rutin yang sama setiap hari. 

Alhamdulillah abi ada di sisi, dah  seminggu balik dari laut. Dan masih ada cuti lagi untuk teruskan hari bersama, ringankan beban kerja di rumah, melayan si kecil yang asyik nak mengekor abi tu, mengangkut anak-anak pergi dan balik sekolah, dan cukupkan kepeluan rumah yang dah menyusut. Alhamdulillah. 

Sabtu (9/8/2025) hari temasya sukan SKKR. Mussaab terlibat dengan perbarisan (tapi tak masuk acara). Datang jugalah tengok Mussaab buat perbarisan. Miqdad pula setiap Sabtu training bola sepak untuk perlawanan minggu depan (wakil seksyen 6 Bandar Rinching 8-10 tahun). 

Ahad (10/8/2025) pula, hari sukan SRIPN. Mussaab tak pergi sebab katanya tak main apa-apa. Kebetulan pula hari ni nak hantar Kak Zawiah (anak saudara abi yang datang ke rumah) ke Shah Alam, maka decide terus ke Shah Alam pagi ni, hantar Kak Zawiah dan balik semula ke Semenyih. 

Ahad dah hampir menutup hari. Esok Isnin, akan kembali semula ke sekolah. Ulangi lagi rutin yang sama. Cuma Mussaab masih bercuti esok (cuti peristiwa SKKR dan SRIPN). Boleh la rehat sehari lagi.

Alhamdulillah untuk permulaan Ogos ini yang meskipun biasa, tetap lancar segala urusan. Dikurniakan kesihatan, dan dicukupkan rezeki. Dapat meneruskan hari ke hari seterusnya dengan baik, dan sudah tentu pada setiap harinya ada ujian dan cabaran yang tersendiri yang perlu ditempuh. 

Tetap bersyukur pada Allah yang masih memberi peluang untuk kita bermuhasabah dan memperbaiki diri pada setiap harinya. Semoga peluang yang ada ini tidak kita sia-siakan. Insya Allah. 

Thursday, 31 July 2025 0 comments By: Naemah

MENITIK JULAI 2025




Julai berakhir jua. 


Satu bulan yang penuh dengan rutin pagi, bersiap ke sekolah, tengahari hingga petang, ulang-alik ambil anak, malam siapkan kerja rumah dan persediaan esok hari.


Suami pula, separuh bulannya ada di laut, mencari rezeki dalam gelombang. Bila dia tiada, semua urusan jatuh ke bahu sendiri. Kadang rasa kuat, kadang rasa nak rebah. Tapi tetap juga dilalui satu hari ke satu hari. Namun bila dia ada di sisi, banyak bebanan yang terangkat. Jadi ringan. 


Anak-anak pula kadang diuji kesihatan. Batuk selesema bergilir, ada yang gastrik dan berdarah hidungnya, tapi alhamdulillah bukan yang berat. Cuma cukup buat hati ibu ini resah.


Julai tak banyak cerita besar. Tapi dalam diam, ia mengajar erti mencukupkan, erti bertahan, erti jadi kuat walaupun tak selalu rasa begitu.


Bulan ini biasa-biasa saja, tapi penuh makna dalam kesederhanaannya.


Alhamdulillah. Syukur padaMu ya Allah. Dan terima kasih jua buat diri sendiri, sebab tak pernah berhenti mencuba.



Friday, 25 July 2025 0 comments By: Naemah

SEMEKAR: HARI KONSULTASI BERSAMA IBUBAPA




Sudah setengah tahun Anas menjadi pelajar tingkatan 1 di SMK Bandar Rinching (SEMEKAR). Serba sedikitlah dulu tentang pengalaman 6 bulan pertama Anas di sekolah baru ni.


Alhamdulillah tiada masalah, sudah semakin serasi dengan suasana sekolah baru, dan dapat kawan baru. Tak dengar rungutan yang bukan-bukan tentang sekolah, cuma adalah juga cerita baik dan tak baik. Macam budak sekolah bergaduh, ada yang suka ambik makanan orang, ada student ditangkap sebab hisap vape, ejek mengejek pun ada, dan ada lagilah cerita yang lain. Apa yang ummi mampu, nasihat sajalah agar tak mudah terpengaruh, tak join budak-budak nakal, dan pandai-pandai jaga diri di sekolah.


Kat sekolah, Anas merupakan ahli pengakap untuk unit beruniform, ahli kelab Pendidikan Islam dan ahli permainan bola sepak. Setiap Rabu akan sibuk dengan aktiviti Kokurikulum sama ada di sekolah ataupun secara online. 


Kat sekolah baru ni, untuk memegang jawatan pengawas sekolah, pengawas perpustakaan, dan yang lain-lain tu, murid perlu memohon dengan mengisi borang pada tempoh permohonan dibuka (awal sessi persekolahan hari tu). Mohon, dan kemudian cikgu akan saring dan pilih yang layak. Tapi untuk tahun pertama ni, Anas tak memohon mana-mana jawatan. Nak jadi student biasa katanya (kat sekolah rendah dulu pengawas sekolah). Takpelah, ikut yang Anas selesa.


6 bulan ini, Anas ke sekolah dihantar ummi/abi. Sekolah tak jauh pun, dalam 1.6km sahaja dari rumah. Tapi bermula minggu lepas Anas dah mula naik basikal ke sekolah. Pergi dan balik dengan kawan sekelas yang juga merupakan jiran dekat rumah. Alhamdulillah dah seminggu percubaan, takde masalah. Insya Allah dalam jagaan Allah sentiasa (risau juga sebab laluan lori keluar masuk). 


Dan pada 25/7/2025 adalah hari konsultasi bersama ibubapa buat pertama kalinya untuk Anas di sekolah ini. Alhamdulillah ummi dapat hadir, terima rekod keseluruhan UPSA dan PBD. Alhamdulillah untuk pencapaian keseluruhan, walaupun banyak B berbanding A. Takpelah dulu untuk permulaan. Anas pasti tahu dan sedar, lepas ni kena usaha lebih lagi. Kena fokus pada UASA pula.


Dan selain itu, cikgu cakap Anas ok je kat kelas. Tak banyak cakap, dan takde masalah disiplin. Yang sama dan lebih kurang je la dengan komen cikgu-cikgu sekolah sebelum ni. Yang nak kena improve lagi, ialah bab penyertaan dalam kelas. Kena bagi respon lebih pada guru yang mengajar. Kena baiki lagi markah PBD tu. insya Allah, cuba yang lebih baik.


Dan tak ada apa lagi nak tanya, dan bincang. Tamat pertemuan dengan guru kelas 1 Bougainvillea. 


Tahniah Anas kerana telah berusaha. Ummi terima saja result Anas dengan lapang hati. Tapi kalau nak banding dengan pencapaian sekolah rendah dulu, jauh lagi nak kejar tu. Yelah, sekolah rendah dan menengah tak sama. Tapi kecemerlangan akan tetap datang pada yang berusaha sesungguhnya. Dan macam biasa, ummi nak Anas berusaha lebih lagi untuk gapai yang lebih baik dan lebih cemerlang di masa akan datang. Ummi akan doakan sentiasa. 


You can do it, Anas!

Insya Allah… 


Selesai perjumpaan dengan guru kelas Anas dan Miqdad. Untuk Mussaab (SKKR) belum dapat info lagi bilakah harinya, sebab sekolah tengah sibuk dengan sukan tahunan yang akan berlangsung tak lama lagi. 




Result UPSA Anas.

Not badlah…

Boleh improve lagi, insya Allah.