Sambungan dari entri sebelum ini;
Di sini aku ingin catatkan sedikit review tentang homestay penginapan kami untuk satu malam di Phatthalung. Tak lupa juga anggaran kos perjalanan kami, dan sedikit info penting yang dirasakan perlu untuk dihighlightkan.
Untuk makluman, ini bukan percutian mewah ya! Sekadar percutian santai dengan budget yang sederhana sahaja :)
Homestay: Baanrimnam Phatthalung
fb pihak homestay
Semua urusan booking hotel dilakukan oleh teman musafir kami iaitu kawan kak Za yang juga merupakan warga Thailand (Tak pasti berapa rate sebenar untuk satu malam di sana)
Baanrimnam Phatthalung - adalah nama homestay tempat kami menginap. Lokasinya di pinggiran sungai, dan kawasan ini dipenuhi pepohon yang menghijau. Pendek kata, ia adalah homestay yang bertemakan alam semulajadi. Berada di sini kita akan merasa lapang dan tenang. Apatah lagi jika dapat bermandian di sungai yang jernih dan sejuk, akan lebih terasa kesegarannya.
Di sini terdapat beberapa buah rumah yang setiapnya mempunyai dua bilik, ada beranda yang lengkap dengan meja dan kerusi, dan satu tempat memasak yang dilengkapi dengan peralatan memasak. Setiap bilik pula mempunyai 2 buah katil queen dan satu bilik air. Agak selesa juga buat kami yang membawa 3 anak yang masih kecil. Tempat memasak juga luas, siap dengan tempat khas untuk bbq, serta meja makan dan kerusi yang mencukupi. Di bahagian dapur ini juga terdapat tv untuk ditonton dan berhibur.
Secara ringkas, homestay ini agak selesa sebagai tempat penginapan, kawasan juga agak luas untuk lepaskan anak-anak bermain, pemandangan hijau dan sejuk mata memandang. Harganya juga berpatutan.
Jom lihat gambar di homestay dan persekitarannya;
Kos percutian
Ini sekadar anggaran sahaja, sebab kami sekeluarga hanya mengikut apa yang telah dirancang oleh rakan musafir kami. Senang cerita, kami hanya bawa diri dan pakaian sahaja tanpa mengetahui ke mana akan bermusafir dan di mana akan menginap. Selepas balik dari bermusafir, barulah suamiku membuat pembayaran bahagian kami pada Kak Za. Itupun agak-agak saja nilainya. Semoga dihalalkan apa yang terkurang.
Kos percutian kami melibatkan diesel (Dimax kak za), penginapan (termasuk sekali aktiviti whitewater rafting), lauk dan bahan mentah untuk memasak, dan sedikit buah tangan yang dibawa pulang.
Anggaran kos seperti di bawah (untuk kami sekeluarga seramai 8 orang)
Diesel: RM 200
Lunch dan kudapan dalam perjalanan: RM 50
Homestay- 2 bilik dan whitewater rafting: RM 300
Lauk dan bahan mentah: RM 200
Buah tangan: RM 100
JUMLAH: RM 850
Highlights
Jalan raya: Jalan raya yang rata dan lebar, dan tanpa tol menjadikan ia sebuah perjalanan yang ‘bebas stress’ walaupun jaraknya agak jauh. Hampir tiada kesesakan, dan sistem jalan rayanya menjadikan kejadian bertembung atau berlanggar dengan kenderaan dari berlawanan arah sesuatu yang ‘mustahil’.
View dan persekitaran: oleh kerana Thailand merupakan jiran sebelah Malaysia sahaja, maka tiada banyak perbezaan dalam suasana dan pemandangan di sana. Di Selatan Thai, penduduk majoritinya adalah Muslim, dan kita dapat melihat pemandangan yang biasa seperti di tempat kita juga. Masjid-masjid mudah dijumpai, sehingga ke kawasan penduduk bukan Muslim, juga suasananya tak jauh berbeza, cuma bahasa dan budaya mungkin berbeza. Namun yang pasti, Thailand dan Malaysia terdapat banyak tempat menarik untuk dikunjungi, dan masing-masing menjanjikan kepuasan tersendiri. Kami juga, masih banyak tempat lagi yang belum pergi dan belum explore. Tak mampu nak cerita lebih-lebih ;)
Makan: Jika di kawasan penduduk majoritinya Muslim, lebih mudah untuk dapatkan makanan halal. Tapi bila dah sampai di tempat kami menginap di Phatthalung, agak sukar untuk dapatkan makanan halal. Yang terbaik ialah dengan memasak sendiri. Kami dah bawa siap-siap lauk dan bahan mentah dari rumah, maka semua dimasak sendiri saja. Di homestay juga sudah disediakan dapur dan alat memasak.
Matawang: seperti yang kita sedia maklum, nilai mata wang Malaysia lebih murah berbanding mata wang Thailand, maka dari segi perbelanjaan jika dinilai dengan RM, terasa lebih mahal sedikit lah :)
Komunikasi: sudah pasti warga di sini berkomunikasi menggunakan bahasa mereka, iaitu bahasa Thai. Jika tanpa teman musafir kami yang boleh berbahasa Thai, tentunya musafir kami menjadi sedikit sukar, kerana tak mampu berkomunikasi dengan orang di sini. Tambahan pula mereka tidak tahu berbahasa inggeris (di tempat lain mungkin ada yang menggunakan bahasa inggeris). Sebaiknya, adalah lebih baik jika musafir kita ke negara Thailand ini ditemani oleh mereka yang boleh berbahasa Thai juga agar urusan di sana lebih mudah :)
Special thanks: Kami sekeluarga berterima kasih banyak pada semua rakan musafir kami, terutama kak za yang mengajak kami untuk sertai trip ke Thailand ini. Kak za juga yang dahulukan segala perbelanjaan.
Tak lupa yang lain-lain (sahabat kak za) kak yah, suami dan anak-anak, Asian, ibu, adik dan anaknya, yang mengatur seluruh perjalanan, penginapan, makanan, dan menjadi perantara dalam bab komunikasi di sana. Alhamdulillah.
Semoga diberi peluang dan rezeki lagi untuk meneroka alam Tuhan yang luas ini. Insya Allah
No comments:
Post a Comment