Tanggal 12 Januari 2024 genaplah usia Anas 12 tahun. Alhamdulillah. Syukur pada Allah yang memberikan kehidupan kepada Anas sehingga tibanya hari ini.
12 tahun usia Anas, bererti 12 tahun juga ummi bergelar ‘ibu dan ayah’. Gelaran mahal yang ummi dapat setelah lahirnya Anas, anak sulung ummi dan abi. Syukur pada Allah jua, memberikan ummi peluang dan rezeki untuk menjadi seorang ibu.
Sebelum Anas, pernah hadir yang pertama menghuni dalam rahim ummi. Namun tak lama, Allah ambil kembali. Lukanya hati ummi ketika itu, Allah saja yang tahu. Sehinggalah Allah hadirkan yang kedua, yang ummi lebih berjaga-jaga dan berdoa dengan penuh harapan agar selamat dilahirkan ke dunia. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa ummi dan abi, yang kedua inilah Anas Zaydan, anak sulung ummi dan abi. Lahirmu diiringi dengan penuh rasa syukur dan bahagia. Lahirmu diiringi derai air mata gembira dan bahagia seorang ibu.
Setelah 12 tahun, Anas semakin membesar dewasa. Sudah di peringkat awal remaja. Tak lama lagi bakal menempuh exam UPKK, seterusnya melangkah ke tahun 6, iaitu tahun terakhir Anas bergelar pelajar sekolah rendah. Ya Allah, cepatnya masa berlalu. Jika takdirnya tahun depan Anas akan masuk asrama, bererti juga tinggal setahun saja lagi Anas akan bersama ummi, abi dan adik-adik. Dah masuk asrama, takkan dapat jumpa setiap hari lagi. Ya Allah, mengingatkan hal itu, semacam rasa sayu di hati ummi. Ummi perlu bersedia untuk mendepani setiap kenyataan hidup.
Hari ni Anas jalani kehidupan yang seperti biasa di samping keluarga dan kawan-kawan. Hari ni juga Anas terima badge khas dari pihak sekolah kerana berjaya dapat keseluruhan A dalam percubaan UPKK. Alhamdulillah, syukur padaNya. Minggu depan akan berdepan dengan UPKK yang sebenar. Insya Allah, Anas boleh buat yang lebih baik lagi. Ummi akan sentiasa doakan.
Oh ya, Anas cakap kat sekolah kawan-kawan nyanyikan lagu birthday untuk Anas. Tentu Anas seronok kan?
Di rumah, tak ada sambutan special, ummi cuma penuhi permintaan Anas untuk masak lauk kesukaan Anas. Anas tak minta apa-apa, kita raikan seadanya saja. Moga yang penting, Anas tahu ummi dan abi tak melupakan. Dan yang penting lagi, Anas ajarkan hati untuk bersyukur dengan nikmat usia dan segala apa yang Allah kurniakan dalam kehidupan Anas. Maafkan ummi dan abi, tak memberatkan sambutan dan hadiah. Tapi Anas sendiri tahu dan rasa bahawa tarikh penting itu tak pernah kami lupakan saban tahun.
Anakku, teruslah berjalan di dunia ini dengan penuh rasa syukur dan sederhana. Jangan membandingkan kehidupanmu dengan sesiapa pun, namun tetap teruslah memperbaiki diri menjadi versi dirimu yang lebih baik.
Ummi sangat menyayangimu. Ummi akan sentiasa mendoakanmu. Ummi akan sentiasa reda dan memaafkanmu. Ummi ini yang melahirkanmu, sentiasa ingin melihatmu senyum dan bahagia menjalani hidup.
Namun hidup tak menjanjikan senang dan bahagia setiap masa. Kau akan rasakan semua rencah kehidupan sepanjang perjalananmu. Biar dari semua yang kau tempuh, akan ada Allah bersama di dalam hatimu. Maka takkan pernah sia-sia perjalanan hidupmu.
Anas, selamat hari lahir, dan selamat meneruskan perjalanan di dunia ini yang mungkin masih panjang buatmu, dan pasti semakin singkat buat ummi.
Berusahalah untuk jadi hamba Allah yang soleh dan taat. Ingatlah ke mana arah tujumu. Beratkan urusan akhirat, insyaAllah urusan dunia tak kau rugi sedikit pun.
Kenangan di hari lahir Anas;
assalamualaikum anas semoga dalam keadaan sihat.Pada malam ni anas dah ready ke untuk upkk dan UASA dah study ke semua .Saya harap kita berdua dapat jawab soalan upkk dan UASA dengan tenang AMINNN. bahasa arab anas dapat a ke untuk percubaan pra tu.Semoga dapat 8asama sama aminnn. yang benar muhammad Mustaqim sepupu bye semoga sihat selalu dengan kelluargA .BYEE ASSALAMUALAIKUM
ReplyDeleteassalamualaikum anas harap dapat jawab apa yang saya bagitahu kat atas comment tu ok bye aslm.
ReplyDeleteWaalaikumussalam. Ameen. Semoga Mustaqim juga dapat 8A untuk UPKK nanti. Anas dah selesai exam UASA. Tinggal UPKK je. Bye. Jumpa lagi.
Delete