Alhamdulillah genap usia Mussaab 10 tahun. Anak kedua ummi pun dah makin besar. Tahun ni masuk darjah 4 (dah naik ke tahap 2). Syukur pada Allah yang memberikan Mussaab nikmat usia dan kesihatan yang baik.
Di hari lahir Mussaab tahun ini abi tak ada bersama kerana urusan mencari rezeki di laut. Sudah biasa kan, berjauhan dengan abi. Mussaab jalani hari ini bersama dengan ummi, adik-beradik, guru dan kawan-kawan. Tetap ceria seperti selalunya. Alhamdulillah.
Bangun pagi mudah sangat, sebab ada ‘teman baru’- figura boboiboy yang abi baru beli. Semangat dapat mainan idaman. Anggaplah itu sebagai hadiah hari lahir.
Sessi pagi di sekolah agama. Mussaab cakap ada kawan bagi hadiah birthday. Alhamdulillah, baiknya kawan. Balik rumah ummi hidangkan lasagna air tangan ummi yang Mussaab request sejak awal tahun lagi (minta masak di hari lahir Mussaab nanti). Itu saja, untuk hidangan hari lahir. Yang penting Mussaab suka dan makan berselera.
Lepas tu masuk sekolah sessi petang pula. Belajar dan bermain dengan kawan-kawan. 6.30, tamat sessi sekolah dan berakhir sudah persekolahan untuk minggu ini. Balik rumah jumpa balik dengan adik-beradik. Teruskan rutin biasa di rumah. Malam, dapat video call dari abi yang masih di laut. Abi ucapkan selamat hari lahir untuk Mussaab. Dan seperti biasa, lepas solat isyak masuk tidur serentak bersama yang lain.
Mungkin tak ada apa yang istimewa dan indah untuk Mussaab di hari lahir ini. Namun semoga Mussaab ingat sentiasa pesan ummi di setiap hari lahir, untuk sentiasa bersyukur atas nikmat usia, untuk berusaha menjadi lebih baik seiring meningkatnya usia, dan sentiasa tahu yang ummi dan abi sangat menyayangimu biarpun dengan sekadarnya memenuhi permintaanmu, dan sesederhana mungkin meraikan hari lahirmu.
Mussaab, segala yang baik pada dirimu, kekalkanlah dan teruslah menjadi orang yang baik. Jangan biarkan godaan dunia mengheretmu kepada kejahatan.
Terus perbaiki diri ye. Jaga ibadah, perbaiki akhlak, dan terus berkembang lebih baik. Samalah juga dengan ummi yang tak cukup sempurna ini. Ummi juga perlu memperbaiki diri untuk jadi tauladan yang lebih baik. Maafkan ummi yang tak cukup memahami dan kurang menyelami hatimu.
Tetapi percayalah ummi sangat menyayangimu. Sayang dan cinta yang sama seperti anak-anak yang lain.
Terus bangkit menjadi yang hebat ya!
Hebat dan gemilang dengan caramu sendiri.
Reda ummi sentiasa untukmu.
Semoga reda Allah juga sentiasa mengiringi tiap langkahmu.
Berbahagia selalu dunia dan akhirat.
Ameen.
No comments:
Post a Comment