HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Saturday, 9 September 2023

FAMILY DAY 2023 @ D’ PERGAU INN



Alhamdulillah family day 2.0 berjalan lancar seperti yang dirancang. Oleh kerana pilihan tarikh dibuat 6 bulan lebih awal , maka semua dapat sertai hari keluarga kali ini (kecuali Asyraf yang berada di Mesir, Fakhri di Sarawak dan Hariz yang kebetulan tak sihat pada hari tersebut). Hopefully tahun depan ketiganya akan ada bersama di samping yang lain-lain. Insya Allah.


1-2 September adalah pilihan tarikh yang dirasakan terbaik sebab cuti sekolah, yang bersambung dengan cuti kemerdekaan, dan juga cuti semester untuk student universiti. Oleh kerana itulah, tahun ni dapat berkumpul lebih ramai berbanding tahun lepas. 


Tahun ini lokasi hari keluarga kami ialah di D’ Pergau Inn, Jeli tak jauh dari kampung halaman. Mengambil kira keadaan mek yang hanya mampu berkerusi roda, dah tak boleh nak buat jauh. Namun syukur Alhamdulillah lokasi ini sangat sesuai untuk raikan hari keluarga. Penginapan di sini sangat selesa, bersih dan persekitaran juga menarik dikelilingi bukit bukau, sungai dan alam semulajadi. Harga yang dikenakan juga sangat berpatutan. Memang best kat sini!


Kami mengambil 11 buah bilik, dan menyewa khemah bbq. Ajk terlibat membuat kerja dengan baik sekali, dari hal penginapan, t-shirt, makan dan minum, tentative dan sukaneka, banner, hadiah dan sebagainya. Semuanya berjalan dengan sangat lancar. Alhamdulillah.


Hari ini kami beraktiviti keluarga dengan sangat meriah sekali. Makan dan main sama-sama. Saling membantu dan bekerjasama, merakam momen bersama, berbual dan bercerita, menambah lagi kemesraan dan mengikat ikatan kekeluargaan. Ada aktiviti makan-makan (aneka juadah), sukaneka dewasa dan kanak-kanak, mandi sungai dan solat berjemaah. Pada malam hari mendengar ucapan ketua keluarga (abang sulung), persembahan anak-anak yang menarik dan menghiburkan, juga penyampaian hadiah. Alhamdulillah seronok dan gembira sangat kelihatan semuanya.


Pada hari kedua, menikmati sarapan bersama-sama (hotel sediakan dengan bayaran yang perpatutan), then beraktiviti bebas sebelum check out dan balik ke tempat masing-masing. Ada yang mandi sungai, ada yang mandi kolam (ada kolam renang juga kat sini), ada juga yang lepak kat bilik saja sambil berkemas apa yang patut. 


Hampir jam 12 selesai urusan check out hotel. Sepatutnya makan tengahari sama-sama (dah tempah nasi ayam). Tapi oleh kerana makanan yang ditempah lambat sampai, ramai yang dah balik dulu. Last-last, hantar ke rumah masing-masing dan makan kat rumah jelah.


Apapun, secara keseluruhannya program hari keluarga ini boleh dikatakan berjaya dan berjalan dengan sangat lancar. Terpancar wajah kegembiraan setiap orang, termasuk mek yang dah lama tak berkumpul ramai-ramai dengan anak cucu cicitnya. Sudah tentu hari keluarga ini memberi kebahagiaan pada mek, walau dalam keadaan sukarnya (dah tak boleh berjalan lagi). Terima kasih ya Allah, mek dapat menyertai kami lagi tahun ini. Semoga Allah sentiasa merahmati ibuku. 


Harapan kami semua, hari keluarga ini akan menjadi tradisi keluarga yang akan diteruskan setiap tahun. Kalau boleh, biar semua dapat sertai hari keluarga yang sangat bermakna ini. Mudah-mudahan hubungan kekeluargaan kita menjadi lebih erat dan rapat. Jangan ada jurang antara kita, biarpun kita masing-masing berada di arah yang berbeza. Kerana pada hakikatnya, kita dari satu tunjang yang sama. 



Kegembiraan hari ini;

(Sayangnya tak sempat bergambar untuk setiap keluarga)

























No comments:

Post a Comment