Petang 1 Muharram 1445 hijrah. Hujan rahmat turun mencurah-curah.
Hari ini full day bersama anak-anak. Sekolah bercuti sempena Awal Muharram. Dapatlah rehat di rumah saja hari ni. Tak perlu turun ke jalan raya :)
1 Muharram, suami berangkat dari Mekah ke Madinah. Selesai sudah urusan di Tanah Suci. Hari ni tunaikan tawaf Wada’ dan meninggalkan tanah suci Mekah. Tentunya detik hari ini menjadi detik yang meruntun hati. Tawaf selamat tinggal pasti ditemani derai air mata. Semoga dipermudahkan urusan suamiku di sana.
31 hari sudah berjauhan dengannya. Satu tempoh yang bukan sekejap. Satu tempoh yang agak menguji. Namun aku bersyukur ujian Allah tidak pernah lebih dari kadar yang aku mampu.
Malahan banyak rahmat yang perlu aku syukuri.
Tubuh yang sihat- Alhamdulillah sepanjang menguruskan anak-anak bersendirian, Allah kurniakan bersama dengan kesihatan yang baik. Tiada satu hari yang aku tak mampu uruskan anak-anak bersekolah. Siapkan keperluan mereka, dan sebagainya. Cuma sudah tentu, tak sempurna bila sendirian. Pun begitu Allah menguji dengan kesihatan anak-anak, ada yang demam, ada yang batuk selesema, ada yang hari-hari mereka tak dapat ke sekolah, tapi Alhamdulillah sekadar sakit demam biasa. Tak lebih dari itu.
Kenderaan yang memudahkan pergerakan- Pun aku bersyukur, boleh bergerak ke sana sini dengan kenderaan yang ada. Syukur tak ada masalah dengan kenderaan. Ada minyak, pergerakan lancar. Banyak trip nak bawa setiap hari. Kalau kereta bermasalah, mati akal jugalah aku apa nak buat.
Belanja yang mencukupi- Bab ini aku perlu banyak bersyukur. Aku tak perlu membanting tulang mencari rezeki. Hanya perlu uruskan rumah dan anak-anak sebaiknya. Bab makan minum cukup. Belanja sekolah anak-anak cukup. Yuran anak-anak tak ada yang tertunggak. Segala bil dibayar cukup. Tak perlu pening kepala. Tapi tetap perlu pandai mengurus wang dan berjimat cermat. Yalah, bukan mewah, tapi cukup. Alhamdulillah.
Masa yang cukup- Cukup untuk aku uruskan anak-anak bersendirian (walaupun kadangkala tercungap juga). Alhamdulillah setakat ni kehadiran anak ke sekolah tidak bermasalah, kecuali tak sihat. Sempat menguruskan hal yang wajib melibatkan anak-anak dan kerja-kerja di rumah. Ya sudah tentu tak sempurna juga. Tapi tetap berjalan kaki dan tangan ini sekadar yang mampu buat.
Anak-anak yang memberi kerjasama-Biasalah anak-anak, ada masa baik dengar cakap. Ada masa tak juga. Tapi sepanjang tempoh ini rasanya kurang ummi naik suara dengan anak-anak. Ummi pun ada ketika ambil langkah diam seribu bahasa bila rasa sakit hati dengan tingkah anak, dan anak-anak boleh faham bila ummi marah atau tak marah. Banyaklah urusan mudah bila anak bagi kerjasama. Boleh bersiap pagi pada waktunya, patuh pada waktu solat dan baca Quran, kemas rumah bila diminta, tak usik adik sampai menangis-nangis, dan sebagainya lah. Banyak yang rasanya ummi boleh ‘bertenang’ dengan sikap anak-anak. Alhamdulillah. Tapi anak-anak tetaplah anak-anak. Pastilah ada ragamnya sesekali yang menguji sabar seorang ibu.
Pada hakikatnya banyak lagi yang perlu disyukuri atas banyaknya nikmat Allah berikan. Biar suami tiada di sisi, perjalanan aku dan anak-anak di sini masih diteruskan dengan baik. Biar tak ada sesiapa di sini yang boleh membantu untuk ringankan apa yang aku tanggung, tapi syukur Allah tak memberatkan aku lebih dari yang aku mampu tanggung seorang.
Alhamdulillah. Hanya kesyukuran yang aku panjatkan padaNya. Ujian perpisahan ini hakikatnya satu rahmat untuk mengajar erti sabar dan kuat. Biar ketika rasa tersangat lemah, tetap aku perlu bangkit dan bina semangat. Tika aku lemah, Allah tempat aku bergantung dan berpaut sesungguhnya, dan sungguh Allah tak pernah menghampakan harapan hambaNya.
Hingga aku masih bisa berdiri meneruskan kehidupan bersama anak-anak. Insya-Allah dah tak lama penantian ini. Yang ditunggu pasti kembali. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment