10 Ramadan 1441
Alhamdulillah sudah 10 hari menunaikan kewajiban sebagai Muslim iaitu berpuasa di bulan yang penuh dengan kemuliaan ini.
Alhamdulillah. Syukur juga suami ada di rumah selama tempoh berpuasa ini. Belum pasti bila akan kembali bekerja, namun 10 hari yang berlalu sangat bermakna bila lengkap keluarga kecil kami ini. Ditambah dengan tempoh PKP yang sudah lama dan masih panjang, ‘keluarga’ inilah segala-galanya untuk kita semua.
Alhamdulillah. Anas dan Mussaab masih cukup puasa selama 10 hari pertama ini. Diberi kekuatan dan kegagahan untuk menahan lapar dan dahaga, walaupun adakalanya masih tetap mengadu lapar dan dahaga. Selepas 9 hari memasak sendiri juadah bersahur dan berbuka, hari ini hari ke-10 seperti yang dijanjikan, abi belanja McD dan pizza sebagai ‘reward’ untuk berbuka :)
Terima kasih Tuhan untuk segala anugerahMu. Tak terhitung banyaknya. Dalam tiap ujian, sentiasa terselit rahmat. Aku sedar hari-hari yang dilalui tak semuanya indah dan baik. Sentiasa menguji. Namun pertolongan Allah sentiasa ada. Rahmat Allah sentiasa mengatasi. Walau sentiasa alpa, tidak terus terhukum. Namun banyak petunjuk dan cara untuk Allah ingatkan. Agar hamba tak terus hanyut bersama kealpaan itu.
Allah. Sukar untuk meluahkan. Terlalu bijaksana Allah mengaturkan semua. Penuh dengan cinta dan kasih sayang. Ujian bersama rahmat. Itulah hakikatnya.
Walaupun menjalani ibadah puasa dalam suasana yang berbeza dari sebelum ini, tetap ada kebaikannya. Walaupun ‘mungkin’ tahun ini tak balik beraya di kampung, walaupun ‘mungkin’ suami tak dapat beraya bersama.. hati cuba untuk pasrah dan redha pada setiap takdirNya. Pasti ada hikmah. Pasti perancanganNya terbaik untuk kita, hambaNya.
Berbaki lagi 20 hari, semoga tenang hati ini meneruskan ibadah puasa. Mencuba yang terbaik, untuk jadi yang lebih baik. Semoga Allah tunjukkan jalan, membimbing dengan hidayahNya. آمين
Menunggu waktu berbuka
No comments:
Post a Comment