HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Friday, 21 June 2019

BERSYUKUR ATAS ANUGERAH INI



Menghadiri hari terbuka bersama ibubapa di sekolah Anas semalam , sebelum bermula sessi yang ditunggu, sempat bersuai kenal dengan seorang ibu kepada pelajar darjah 5. Dia datang bersendirian, suami bekerja, anak yang lain dah besar dan bersekolah. Sempat berborak bersama ketika menunggu di kantin sekolah. Ramah orangnya, suka berkongsi cerita. Katanya dia ada 4 orang anak, 3 perempuan dan seorang lelaki. Yang darjah 5 ini lelaki dan merupakan anak ketiganya. Yang bongsu pun dah darjah 3 (sekolah lain).

Katanya, cukuplah 4 anak yang dia ada. Penat! Beza antara anak 2 tahun setiap orang, rapatlah kiranya tu. Katanya penat nak handle sorang-sorang, di masa kecil mereka. Nak hantar si kakak ke sekolah, yang adik-adik perlu angkut sekali. Menjerit, bergurau, menangis dalam kereta, memang sangat mencabar setiap kalinya. Belum lagi cerita bab lain. Hai, penat sangat katanya sampai rasa tak nak tambah anak dah, dah tak larat. Tapi syukurlah, empat pun dah banyak kan :)

Mendengar kisah dia, teringat pada situasi sendiri. Itu jugalah yang sedang aku lalui sekarang. Penat? Ya, aku akui penat. Tak perlu aku luahkan. Yang faham, hanya akan faham. 

Tapi.. aku masih mahu punya anak lagi, jika diizin Allah. Selepas yang ke-4 ini, aku teringin untuk punya lagi. Moga aku dapat bertahan pada ‘penat’ yang seketika ini.

Ketika menunggu giliran untuk bertemu guru kelas Anas, bersembang pula dengan seorang ibu kepada kawan sekelas Anas. Dia juga datang bersama seorang anak, tanpa suaminya. Katanya anaknya 2 orang saja, 7 tahun dan 4 tahun. Actually 3 orang, tapi abang kepada yang 7 tahun ini dah meninggal semasa umurnya setahun lebih (sekitar tahun 2011). Meninggal di rumah pengasuh katanya. Allah, simpati dan sedih rasanya hati mendengar ceritanya. Tapi nampak dia jelas redha dengan ketentuan Allah. Mungkin juga kehadiran 2 anak selepas itu menjadi pengubat luka hatinya. 

Ceritanya lagi, ketiga anaknya dilahirkan secara pembedahan. Dan selepas yang ketiga ini dia tidak boleh mengandung lagi (kerana peranakan sudah diikat). Hatinya teringin untuk ada anak lagi, tapi apakah daya, sudah takdir untuknya , berisiko untuk dia mengandung lagi. Aku percaya, takdir ini juga diterima olehnya dengan hati yang redha dan syukur. Ya, syukur kerana sekurang-kurangnya sudah ada dua ‘anugerah’ yang kini sedang mendampingi hidupnya. 

Aku insaf mendengar cerita dan perkongsian. Aku perlu kembali memikirkan tentang aku. Aku dan anak-anakku. Sudah cukupkah syukurku pada Allah yang terlalu baik buatku? Zuriat yang aku impikan, seorang demi seorang hadir dalam hidupku. Pernah juga aku kehilangan (keguguran), tapi Allah ganti yang lebih baik, sudah pasti. Dalam kepayahan mengandung dan membesarkan anak-anak, masih aku diizinkan untuk mengandung lagi, untuk melahirkan lagi. Dalam setiap penat juga, tak pernah aku dibiar sendiri mengharung segala. Sentiasa dengan pertolongan DIA. Kerana itu semuanya dapat ku tempuh. Biar dalam susah dan payah sesekalinya.

Bahagia? Ya, yang penting dan pasti aku bahagia dengan anak-anak di sisi. Aku syukuri  di atas kehadiran mereka yang sudah ada di depan mataku hari ini. Dan aku menanti pada kehadiran yang seorang lagi, yang sedang ku kandung ini. Semoga dipermudahkan kelahirannya nanti, dan dapat berkumpul bersama abang-abang yang juga setia menanti kehadirannya.

Ya Allah, moga Kau tetap memandu hatiku, untuk sentiasa mensyukuri nikmat dan anugerah ini. Cahaya Mata yang aku damba sejak sekian lama dalam hidupku. Bahagiakan aku bersama suami dan bersama mereka, ya Allah. Kumpulkan kami bersama di dunia dan di akhirat.   

آمين


No comments:

Post a Comment