HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Tuesday, 18 September 2018

BERPADA-PADA MEMPERAGAKAN ANAK



Hadirnya anak-anak, memberi kebahagiaan yang bukan sedikit pada jiwa seorang ibu. Dari mendapat tahu diri hamil, di sepanjang tempoh 9 bulan mengandung, kemudian melahirkan dan membesarkan, perasaan bahagia itu bertambah saban hari. Apatah lagi melihat comelnya mereka dan cerdiknya mereka. Bukankah itu perasaan kita yang Allah anugerahkan anak-anak permata hati ini :)


Di zaman moden ini, terlalu banyak ibubapa yang ghairah ‘memperagakan’ anak-anak di laman sosial. Baik selebriti, baik yang bukan selebriti. Siap ada ig khas untuk anak-anak kan? Followers pula beribu hingga berjuta. Wah! Selebriti kecil. 


Salahkah? 


Siapalah aku nak katakan ianya salah. Apatah lagi berdosa. Itu hak masing-masing :) anak kita, sesuka hati kitalah kan?


Cuma kalau boleh dipesankan, berpada-padalah dalam ‘memperagakan’ anak-anak demi menjaga hati kita agar tak riak, dan menjaga hati yang melihatnya, agak tak dengki. Dan yang lebih utama, menjaga ‘privasi’ anak-anak kita, kerana bukanlah semua hal tentang mereka perlu dipersembahkan dan diceritakan pada umum.


Ibubapa zaman kini, obses memperagakan kecomelan anak, bercerita tentang kepandaian mereka, dan sebagainya. Sekali lagi, tak salah pun. Cuma berpada-pada. Bimbang hati kita pula yang terlebih bangga dan kagum pada anak sendiri. 


Kepada yang hanya menjadi ‘follower’, jaga-jagalah hati kita ya. Usah ada rasa cemburu dengan segala ‘nikmat’ yang dimiliki orang lain, yang dipersembahkan kepada kita. Yang belum direzekikan anak, yang punya anak sering sakit dan tidak sihat, yang anak lambat sedikit perkembangan, yang anak tak setanding pencapaian anak mereka, yang tak mampu berikan pakaian mahal dan bawa anak-anak jalan-jalan macam mereka, dan sebagainya, tenang-tenangkan hati. Sekelumit cemburu, tanpa istighfar akan mendorong pada hal dan tindakan yang tak sepatutnya.


Contoh? Kita mula membandingkan anak-anak kita dengan anak mereka. Kita ‘menekan’ anak untuk jadi seperti anak mereka seperti untuk cepat pandai membaca, mengira, dll, bahkan boleh undang rasa rendah diri kerana tak mampu memberikan yang serupa pada anak-anak.


Jika sudah timbul perasaan yang begitu, boleh lah segera menjauhkan diri dari dunia ‘sosial’ yang banyak berkongsikan hal yang demikian ya. 


Namun aku juga percaya bukan semua orang berkongsi untuk ‘menunjuk’ atau berbangga-bangga. Ada yang banyak berkongsi ilmu dan tips berguna berkenaan pendidikan anak-anak juga. So, bukan hak kita juga untuk judge orang. Hak masing-masing kan. Tak menyusahkan kita sedikit pun, biar apa pun yang ingin mereka kongsikan termasuk hal anak-anak mereka.


Dan aku juga hakikatnya seorang yang suka mencatat hal berkenaan anak-anak. Sebagai seorang suri rumahtangga, aku tak punya cerita lain, melainkan cerita anak-anak. Cuma barangkali aku perlu sering ingatkan diri agar tak terlalu ‘memperagakan’ mereka pada khalayak. Kerana itu juga aku tak memilih untuk ‘accept ‘ follower di akaun instagram kecuali ahli keluarga terdekat. Sebab di situ terlalu banyak gambar dan cerita tentang anak-anak. Akaun fb pula, juga tak ramai ‘friends’ ahli keluarga dan sahabat rapat je. Itupun jarang berkongsi cerita anak-anak di situ :) 


Di blog inilah, banyak catatan dan cerita. Ia tak lain, untuk tatapan mereka di masa akan datang, bersama harapan ia juga terkandung ilmu dan pelajaran berguna pada sesiapa yang ‘menyinggah’ blog ini. Ia ‘bukan sekadar tentang anak-anak’. Sudah tentunya sebagai ibu, wujud rasa  bangga dan syukur di atas setiap pencapaian anak-anak, namun bukan untuk memberi masej bahawa mereka lebih baik dari anak-anak yang lain, kerana aku juga masih mencuba untuk memberikan yang terbaik buat mereka. Anak-anak kami seperti anak-anak yang lain, ada keistimewaan dan ada kekurangan. Sama.


Oleh itu, jika ini boleh dijadikan pesanan dan peringatan, semoga sentiasa berpada-pada dalam berkongsi tentang anak-anak di media sosial. Banyak ‘akibat’ yang perlu kita fikirkan, dan baiknya jika dapat kita selidiki ‘niat’ kita sebelum ‘share’ setiap perkara tentang mereka. 


Ini sekadar pandangan dan penulisan dari seorang ibu yang ‘tak glamour’  :) Tak setuju pun tak mengapa. Jangan ada pula terasa hati dengan penulisan ini. Aku percaya masing-masing ada pandangan tersendiri. Apapun yang kita kongsikan di laman sosial, mudah-mudahan Allah lindungi kita dan mereka dari penyakit hati seperti riak, takabbur dan hasad dengki.

No comments:

Post a Comment