HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Wednesday, 22 August 2018

MUSAFIR AIDILADHA


Suamiku yang sepatutnya balik ke rumah pada malam Hari Raya Aidiladha, diawalkan penerbangannya sehari sebelum. Alhamdulillah. Bermakna kami boleh balik ke kampung lebih awal. 


Suamiku sampai di rumah pada jam 12 tengah malam. Kalau ikut kan dia, memang mahu saja dia terus memecut kereta balik ke kampung terus. Tapi aku minta dia rehat dan tidur dulu, dan bertolak ke kampung selepas subuh esok hari. Dan dia akur untuk tidak segera balik :)


Pada esok harinya, suamiku bangkit awal seperti kebiasaannya. Dia minta untuk segera bersiap dan bertolak balik ke kampung. Alhamdulillah, pakaian semua dah kemas siap-siap semalam. Tinggal untuk angkut ke dalam kereta saja. Kali ini kami balik dengan menaiki viva kesayangan kami :) 


Lebih kurang jam 5.40, kami meninggalkan rumah. Anak-anak semua sudah bangun dan menukar pakaian masing-masing. Kami singgah solat subuh di masjid Saujana Putra dan singgah breakfast di Raub. Tak berpuasa sunat hari ni sebab bermusafir :D


Santapan pagi kami :)








Selepas mengisi perut kami teruskan perjalanan yang masih jauh. Sempat singgah cuci kereta, singgah toilet, singgah masjid Gua Musang (kononnya suamiku nak lelapkan mata sekejap, tapi dah berhenti hilang pula mengantuknya), dan akhir sekali singgah di air  terjun Stong. Kali terakhir ke sini ialah pada bulan Disember tahun lepas. Kali ketiga Anas, Mussaab dan Miqdad menjejakkan kaki ke sini.


Dah sampai air terjun, apa lagi, mandi dan main air sepuasnya. Airnya sangat bersih, jernih dan sejuk. Nyaman saja dikelilingi pokok-pokok menghijau. Kali ini bukan hanya kami berada di sini, ada beberapa keluarga lain juga yang kelihatannya seronok mandi di sini. Ramai juga kanak-kanak yang bermain air sambil diawasi ibubapa masing-masing. Barangkali mereka juga di dalam perjalanan untuk balik ke kampung yang mungkin berdekatan dengan air terjun ini juga :)


Hampir satu jam bermain air. Masing-masing pun dah menggigil kesejukan. Tapi masih belum puas bermain dan tak mahu balik. Selepas berkali diajak barulah semua akur untuk tinggalkan tempat ini. Bertukar pakaian dan meneruskan perjalanan yang berbaki dalam satu jam setengah. 



Di air terjun Stong 























Sampai di rumah Mek jam 3.30 petang. Perjalanan hari ini memakan masa sehingga 10 jam. Bayangkan kejemuan anak-anak di sepanjang perjalanan :D bermacam ragam dan juga aksi mereka yang ada ketikanya menguji kesabaran. Bila semua lena sekejap, masa tulah tenang seketika :) sebab tulah suamiku ‘kurang gemar’ bermusafir di siang hari. Kalau dekat takpelah, tapi kalau jauh macam ni, memang ‘menguji’ sikitlah bila bermusafir dengan anak-anak kecil :) tapi kami juga dah biasa. Dah sering dan selalu. Tapi jika diberi pilihan, bermusafir di malam hari adalah yang menjadi pilihan suamiku :)



Di sepanjang perjalanan yang ‘menguji’









Kebosanan anak-anak terubat bila dapat mandi air terjun. Gembira tak terkata sampai susah nak ajak balik. Sampai di rumah, Anas mula tidak sihat badan. Panas badannya. Demam. Dah lama Anas tak demam. Kesian Anas. Tapi Anas kelihatannya tenang saja. Cuma tak aktif, banyak baring. Semoga Allah sembuhkan Anas dan dapat bergembira bersama adik-adik dan keluarga pada Hari Raya esok. Insya Allah.


Juga kesian pada suamiku. Semalam baru saja selesai kerja di laut, terus terbang balik dan sampai di rumah pun sudah tengah malam. Awal pagi memandu balik ke kampung pula. Tiada rehat untuknya. Suamiku dah lenguh-lenguh badan. Badan dah rasa panas, bimbang jika dia pun nanti demam dan lemah. Macamana nak beraya esok kan.


Aku mendoakan agar suami dan anak-anakku akan sihat dan ceria pada esok hari, dan akan menyambut lebaran bersama-sama dengan penuh kemeriahan dan kesyukuran. Insya Allah. Mek sibuk di dapur memasak kuah laksa. Kesian Mek pun dah uzur, nak masak juga untuk menjamu anak cucu. Semoga Allah berkati ibuku dan mengurniakan kesihatan buatnya. Semoga lebaran ini juga akan memberi makna dan kegembiraan buat ibuku di senja usianya ini. Insya Allah


Catatan ummi; 21/8/18 ketika semua sudah lena dibuai mimpi.

No comments:

Post a Comment