Hari ini berpeluang sekali lagi untuk ke Taman Rekreasi Jalan Timur, Kajang untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Oleh kerana suamiku akan berangkat ke Bintulu esok pagi, maka hari ini adalah hari untuk ‘menggembirakan’ anak-anak yang bakal ditinggalkan, seperti selalunya :)
Taman ini sudah sangat sering kami kunjungi, selain daripada stadium kajang yang letaknya tidak jauh dari Taman ini juga. Taman ini berdekatan dengan hospital kajang dan bersebelahan dengan SRJK(C). Kebiasannya kami akan ke sini pada waktu petang selepas menunaikan solat asar di rumah atau di Masjid.
Taman ini agak luas dan anak-anak bebas bermain dengan riangnya di sini. Selain permainan untuk kanak-kanak, di sini juga menjadi tumpuan untuk penduduk setempat datang berjogging dan melakukan aktiviti lain seperti senam robik atau sekadar untuk lepak di pondok dan kerusi yang disediakan. Dan oleh kerana Taman ini bersebelahan dengan sekolah, maka ia juga menjadi tempat yang strategik untuk ibubapa bersantai sambil menunggu anak-anak balik dari sekolah. Pendek kata, taman ini menjadi tumpuan orang ramai terutama pada waktu petang dan di hujung minggu.
Hari ini juga buat pertama kalinya kami membawa basikal ke taman ini. Walaupun kawasannya tidak seluas stadium kajang, namun anak-anak masih bebas untuk berbasikal di sini, tetapi perlu lebih berhati-hati. Anas, Mussaab dan Miqdad bermain sepuasnya hampir 1 jam di taman ini.
Selepas itu kami meninggalkan taman ini dan menuju ke Metro Kajang. Cadangnya nak makan malam di restoren Burger King, tapi rupanya restoren tu sudah ditutup dan diganti dengan restoren lain. Entah bila, tak perasan pula. Kali terakhir beli Burger King di sini ialah pada tahun 2015, dah agak lama :) terpaksalah kami mencari makan di tempat lain.
Oleh kerana Mussaab teringin nak makan Burger juga, dan Anas pula nak makan nugget dan fries, kami singgah di restoren McDonald’s- drive thru yang berdekatan dengan rumah. Memandangkan azan maghrib sudah berkumandang, kami terus pulang ke rumah.
Malam ini menikmati hidangan McDonald’s bersama-sama. Alhamdulillah kenyang. Anas, Mussaab dan Miqdad tidur lena selepas kepenatan bermain di taman tadi. Esok bangun pagi, abi sudah tiada di rumah, merantau lagi mencari rezeki. Semoga nanti akan bertemu dan berkumpul bersama lagi. Insya Allah.
Alhamdulillah di atas kenikmatan hidup yang dikecapi bersama hari ini :)
No comments:
Post a Comment