Sayang, bila kamu ada di rumah banyak urusanku menjadi mudah.
Bab memasak, bila sesekali sayang masuk dapur siapkan hidangan, terasa happy yang amat. Maklumlah kerja di dapur tu agak memakan masa juga. Dari penyediaan bahan, seterusnya memasak dan mengemas dapur, bayangkanlah. Bila aku seorang, ia kerap tertangguh dan menjadi lebih panjang masanya kerana ada si kecil yang mahu minta perhatian.
Bab mengemas rumah, aku sedar rumah tak pernah kemas sempurna walaupun aku 24 jam berada di rumah. Banyak yang tak siap, banyak yang tertangguh. Alasan yang sama juga, bila si kecil mahu perhatian, aku tak mampu nak bergerak lincah membuat kerja. Masa dia lelap sekejap dan masa dia asyik dengan ‘kerja’ sendiri barulah aku boleh pecut nak buat semua. Tapi tak siap-siap juga. Kadang-kadang terpaksa buat kerja sama-sama dengan dia. Bayangkanlah bila buat kerja sama-sama :) Bila sayang balik, banyak yang sayang bantu mana yang kurang sana sini. Rumah lebih kemas, lebih tersusun dan teratur. Alhamdulillah :)
Bab menjaga anak-anak, ketahuilah bila sayang ambil tempat melayan anak-anak uruskan banyak hal tentang mereka terutama yang kecil tu , banyak kerja lain akan menjadi lebih lancar. Memasak, menjemur, mengemas dapur dan meja makan, juga mengajar anak-anak membaca al-Quran. Jika tidak, hai banyaklah cabaran dan rintangannya.
Bukan nak mengadu, tetapi rutin harian tanpa sayang di sisi amat melelahkan. Tambah lagi dengan emosi yang kadang-kadang tak berapa nak betul, berganda lelahnya.
Terima kasih atas banyaknya pertolongan yang diberikan di saat sayang ada. Tetapi aku sedar, rupanya ada saat dan ketikanya aku menuntut lebih dari apa yang telah sayang berikan. Allahu. Betapa tak bersyukur isterimu ini. Dikurnia suami sebaik kamu :’(
Maafkan aku sayang. Andai kurang menghargai apa yang telah kau berikan. Jarang memikirkan perasaanmu, kerana terlebih melayan perasaan sendiri.
Sayang, terima kasih atas banyaknya keringanan dan kerehatan yang aku dapat saat kamu ada. Kerana kamu ada, dengan izinNya urusanku lebih mudah dan ringan. Terima kasih sayang.
Namun aku tahu di rumah ini bukan tempatmu. Sebagai suami dan lelaki, tempatmu adalah di luar sana. Mencurah bakti, mencari rezeki. Maka aku perlu lepaskan, bila tiba saatnya kau perlu pergi. Dan ada baiknya, bila Allah sering mentakdirkan kita jauh. Jauh untuk aku lebih muhasabah diri. Jauh untuk aku lebih menghargai. Jauh untuk aku lebih berdikari dan mensyukuri. Jauh yang terkandung banyak hikmah buat kita. Insya Allah.
Namun aku tetap mendoakan agar jauh ini hanya sementara. Tiba saatnya nanti, semoga Allah takdirkan kita untuk sentiasa dekat. Untuk teruskan sisa usia bersama. Jalani kehidupan dengan pengisian bermanfaat bersama. Dan semoga bersama selamanya hingga syurgaNya.
Aameen.
Kamu yang tiada pengganti
No comments:
Post a Comment