Faktor usia barangkali. Semakin berumur semakin ‘banyak lupa’. Semakin tak tajam berfikir. Semakin salah bertindak. Atau mungkin hanya aku. Bila Allah tarik kebijaksanaan, yang tampil hanya kebodohan!
Allah. Tiada siapa mahu bertindak bodoh. Tiada siapa mahu cetuskan marah.
Kata orang, sekali ibu melahirkan anaknya, banyak urat yang putus dan rosak. Antara kesannya, ibu mudah jadi pelupa. Tambah dengan ‘penatnya’ mengurus anak dan rumahtangga, Kadang-kadang pendek akal jadinya. Salah bertindak. Salah yang itu, dan salah yang ini.
Tapi itu kata orang. Entah mahu percaya atau tidak. Tapi, mungkinlah juga. Bila aku sendiri kini banyak lupa. Bertindak di luar jangkaan. Sesekali terasa bodoh!
Allah. Pelihara aku agar tak menyusahkan orang dengan sikap pelupa dan salah tindakanku. Terutama suamiku, yang setiap hari berdampingan denganku. Dan anak-anak aku, yang kelak akan berhadapan dengan peel perangai tuaku.
Allah. Aku rasa berat andai teruji sebegitu. Siapa yang sudi bersabar? Dan tetap ingin memandang dengan penuh sayang?
Ya, wajarnya sakit hati pada tindakan yang salah. Tapi adakah salah itu disengajakan? Aku tiada alasan lain selain ‘lupa’. Marahlah jika marah itu meredakan hati. Aku tadah telinga. Aku tak mampu memberi alasan selainnya. Dan biarkan aku diam saja. Kerana memang aku yang bersalah.
Maafkan aku!
No comments:
Post a Comment