HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Wednesday, 21 February 2018

BUKAN MENDAMBA KATA PUJIMU

Bila seorang suami nukilkan kata pujian pada isterinya, terasa betapa bertuah sang isteri hingga dipuji sedemikian rupa. Barangkali dia memang layak mendapat pujian dan penghargaan seperti itu. Barangkali dia memang sudah usahakan yang terbaik untuk menjadi isteri yang menyenangkan hati suami.

Namun jika tiada nukilan, bukan pula bererti isteri itu tidak layak atau tidak setanding. Malahan ramai yang lebih baik dan mulia. Sekurang-kurangnya di hati suami yang ikhlas mencintai. 

Ada suami suka berpuitis, melafaz puji pada penulisan dan di laman sosial. Ada yang membaca, hadir pelbagai reaksi. Namun bila sang suami memuji dan menceritakan kebaikan isterinya, maka aku percaya isterinya memang baik. Cemburu? Dah tentu.

Kerana di sebalik cerita mereka, aku melihat kekurangan sendiri. Kekurangan sebagai isteri yang terlalu banyak dan perlu diperbaiki. Kekurangan yang membuat aku rasa kerdil dan tak mungkin layak mendapat pujian sebegitu.

Cemburu bukan bererti aku perlu rasa lemah dan tak berguna. Cemburu yang menjentik hati, agar aku tampil lebih baik sebagai isteri. Agar aku perbaiki watak, menjadi isteri yang lebih menyenangkan hati suami.

Aku akui aku masih belum yang terbaik. Malahan masih jauh dari yang baik itu. Banyak episod kegagalanku. Terlalu banyak aib yang sedang Allah sembunyikan pada watak isteri sepertiku ini. 

Namun terima kasih pada suami yang masih ikhlas mencintai pada setiap kekurangan yang ada.

Bukan nukilan indah suami yang aku harapkan. Biarlah untuk mereka, dari suami mereka. Untuk aku? Cukup suami redha atas setiap saat mendampingi hidupnya. Cukup suami memberi kemaafan di atas setiap silapku padanya. Aku juga impikan syurga. Dan syurga aku ada pada redhanya. Walau aku jauh dari layak. 

Bukan kata pujimu yang aku damba. Cukup redha dan maafmu memberi aku tenang dan bahagia. 



No comments:

Post a Comment