HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Wednesday, 21 October 2015

AIR DICINCANG TAK AKAN PUTUS




Adik beradik itu ibarat air, dicincang tidak akan putus. Satu perumpamaan yang biasa didengar, diingat sampai bila bila. 

Adik beradik, apatah lagi beribu dan berbapa yang sama. Punya pertalian dari darah yang sama. Tak bisa ditukar, tak bisa diubah. 

Ingat masa lalu yang pasti indah. Ketika kecil, dunia kita hanya ibubapa dan adik beradik. Mereka cinta terawal yang hadir dalam hidup kita. Tiada yang lain, hanya ibu ayah dan adik beradik inilah.

Masa kecil, kita berkawan mesra, bergaduh dan berbaik semula, bercerita, bergurau, bermain, menikmati hidup dan berbagi kasih sayang ibu dan ayah yang sama.

Kita membesar bersama, melalui kehidupan kanak kanak, bersekolah, dan akhirnya menjadi dewasa. Antara kita mungkin ada jarak, tidak serapat dan seakrab dulu. Kerana kita punya langkah dan tujuan hidup yang berbeza. Namun kita percaya, meski jauh dan jarang bertemu kita masih tetap adik beradik. Tidak terputus ikatan ini. Dalam hati kita masih tetap saling menyayangi meski tanpa ungkapan yang dilafazkan. Kerana rasa sayang ini lumrah dan wujud di sanubari sejak mula kita menjadi adik beradik.

Meskipun akhirnya kita mempunyai kehidupan sendiri dan bertemu jodoh, kita masih adik beradik. Hubungan kita masih tidak akan terputus, dan darah yang sama masih tetap mengalir di dalam tubuh kita. Andai suami dan isteri yang saling mencintai itupun, bisa dipisahkan, tetapi adik beradik, selamanya TIDAK akan terputus. 

Bertanya pada hati, wujudkah rasa kasih dan sayang itu, buat mereka yang bergelar adik beradik. Ya, kita disibukkan dengan urusan kerja, rumahtangga, anak isteri/suami, hingga ingatan pada adik beradik timbul tenggelam. Tapi percayalah, rasa sayang itu tetap teguh di hati. Tidak berubah sedikit pun. 

Barangkali antara kita ada ketikanya tegang, berbeza pendapat, berbeza fahaman, berbeza dalam banyak perkara, hingga ada yang makan hati, memendam rasa dan mencetus marah. Tetapi... Kita tetap adik beradik kan? Kita tetap sayang kan? Ibu dan ayah kita tetap menjadi titik pertemuan dan persamaan kita kan? 

Lumrah yang lebih tua, kedudukannya lebih dekat dengan ibu dan ayah. Layaknya dia dihormati, dirujuk dalam hal penting, dan diutamakan dalam sesuatu urusan dan perbincangan. Lumrahnya yang lebih muda, mahu disayang dan diberi perhatian. Disapa, dimesra dan diambil berat dari yang lebih tua. 

Maka wajar kita fikirkan, di mana tempatnya kita. Andai kita yang lebih tua, berikanlah perhatian, kasih sayang, dan mulakan kemesraan dengan yang lebih muda. Jika kita yang lebih muda, hormati yang lebih tua dengan melibatkan dirinya dalam setiap urusan keluarga dari sekecil kecil hingga sebesar besar urusan. Minta pendapat, minta nasihat, laporkan permasalahan, hingga sampai masej padanya bahawa dia orang penting dalam keluarga, dan menjadi pengganti ayah dan ibu bila mereka sudah tua atau sudah tiada. 

Ya, muhasabah itu kunci yang terpenting dalam menjaga hubungan mesra adik beradik. Apakah kita telah cuba menjadi abang/kakak/adik yang terbaik buat adik beradik kita. Mungkin kita jarang bertemu, tapi tidak sukar untuk bertanya khabar. Mungkin kita jauh, namun kita boleh merancang untuk saling ziarah demi silaturrahim. Mungkin kita segan nak mengucapkan sayang, tapi kita masih mampu untuk saling mendoakan sebagai tanda kasih. Mungkin antara kita ada segan dan malu, tapi kita masih boleh mencuba... 

Ya, kita adik beradik selamanya. Kita punya ibu dan ayah yang sama. Kita berkongsi kasih dan sayang ibu ayah yang sama. Antara kita ada pertalian erat yang tak boleh dipisahkan. 

Ayuhlah sama sama kita jaga ikatan ini, biar semakin teguh dan erat, semakin dekat dan rapat. Kita saling menjaga hati, saling bertindak atas kebenaran, saling mendoakan, saling memaafkan sekaligus saling bermuhasabah dan memperbaiki diri. Kerana kita tak sempurna, ada salah silap yang kita tidak menyedari. Pokoknya, mulakan dengan diri kita demi sebuah kejernihan dalam hubungan kekeluargaan ini.

Kita.. Adik beradik, saudara seibu dan sebapa. Jangan dilukai hati orang tua dengan sengketa kita. 




No comments:

Post a Comment