Alhamdulillah selesai program hari keluarga Rafiah dan Ismail, tahun ke-4 diraikan bersama seluruh ahli keluarga tercinta.
Ia diadakan pada 15-16 September 2025 bertempat di Chalet Barokah Resort, Bachok, Kelantan.
Perancangan Awal
Yang pertama dan utama, tarikh ditetapkan sebaik keluarnya takwim akademik tahun ini. Macam biasalah, nak kena pilih tarikh cuti sekolah. Dan tarikh 15-16 September dipersetujui bersama.
Beberapa bulan selepas itu lokasi hari keluarga ditetapkan dan ditempah. Sebenarnya banyak list lokasi yang menarik di hati, tapi semuanya dah fully booked untuk tarikh yang kita nak tu. Last-last, ke lokasi yang sama dengan tahun lepas juga (cuma berbeza chalet) iaitu Chalet Barokah Resort, Bachok. Settle bab penginapan (Najwa incharge bahagian penginapan tahun ni).
Lebih kurang 2 bulan sebelum hari keluarga, settlekan pula bab t-shirt hari keluarga. Pilih color, design sikit-sikit (oleh Asyraf), dan tempah. Tahun ni majoriti memilih warna maroon (melalui undian). Dan 4 tahun berturut, kedai Ziema Printing & Creative Enterprise menjadi pilihan kerana harganya yang berpatutan dan dapat siap cepat. Setakat ni takde lagi kesilapan seperti tersilap saiz, jumlah baju, atau yang lain. Dan ya, recommended untuk yang sedang mencari kedai printing baju untuk sebarang majlis. Setiap tahun, bab tshirt diuruskan oleh Hamizah dari A-Z.
Seterusnya merancang menu, banner, game, hadiah, tentative, juga hal lain yang berkaitan.
Bab makan-makan setiap tahun serah pada Harizah, hadiah untuk anak-anak dan banner Asyraf yang uruskan, hadiah game serah pada Norly (sejak tahun lepas disediakan hadiah untuk sukaneka), penentuan sukaneka dari kanak-kanak, remaja hingga dewasa oleh Farhani, dan tentatif program juga oleh Farhani. Ini antara ajk yang main peranan besar dalam setiap program hari keluarga.
Alhamdulillah berlangsungnya program 2 hari satu malam yang boleh dianggap sempurna bersama kurang dan lebihnya.
Sarapan di Besut
Bermula dengan pagi, sekitar jam 7.30 pagi kami bertolak ke Besut terlebih dahulu kerana anak saudara-Fadhlullah ada buat jamuan makan pagi di rumah yang baru didiaminya. Ahli keluarga yang lain juga turut menyertai, dan sebahagian yang lain ada yang terus ke lokasi hari keluarga.
Selepas menikmati nasi dagang dan kuih muih di rumah Fadhlullah dan Aina, kami bertolak ke Chalet Barokah Resort pada jam 11 pagi, tiba di sana hampir jam 12. Kami yang pertama sampai, settlekan bayaran chalet, dan menunggu kehadiran ahli keluarga yang lain. Alhamdulillah semua datang on time, kecuali satu keluarga yang tiba semasa sessi bergambar hampir selesai.
Ketibaan/persiapan tempat dan check in:
Semua ahli keluarga diminta hadir selewatnya jam 2 petang untuk persediaan tempat, solat, check in dan seterusnya bersedia untuk sessi bergambar keluarga. Tahun ni, buat pertama kalinya kami sewa jurugambar dari luar (sponsor oleh Hamizah) demi mendapatkan gambar yang lebih cantik dan menarik. Tempoh sewa selama 2 jam iaitu dari jam 2.30 sehingga 4.30 petang.
Kehadiran
Kehadiran tahun ini hampir mencukupi iaitu seramai 56 orang ahli keluarga (daripada 58 semuanya). 2 orang tak dapat hadir iaitu Hafizah, seorang guru yang sedang berkursus di KL, dan Athirah, seorang student di USM yang perlu berurusan di Medan (urusan pengajiannya). Dan tahun ini bertambah ahli dengan kehadiran baby Assyifa dan baby Latifah. Alhamdulillah.
Setakat 4 tahun ini, tak tercapai lagi hasrat nak cukupkan kehadiran. Tapi takpelah, insya Allah suatu hari nanti akan sampai waktunya dapat kehadiran penuh.
Sessi bergambar
Alhamdulillah dapat tangkap gambar seperti yang diharapkan dan dimahukan. Gambar yang lebih cantik, lebih tersusun dan memuaskan hati. Bukan sekadar gambar keluarga, gambar sukaneka pun pakai jurukamera juga, di samping gambar yang ditangkap dengan hp masing-masing.
Sukaneka
Selesai bergambar, teruskan dengan acara sukaneka. Ada kategori bawah 4 tahun, 5 hingga 7 tahun, bawah 15 tahun, dan kategori dewasa. Ada acara berseorangan, berpasangan dan berkumpulan. Antara acaranya ialah bawa bola ping pong dalam sudu, rebut gula-gula, pijak belon, rebut kerusi, lambung kasih, bowling kelapa, bola sepak kain pelikat, kopek epal tanpa putus, dan banyak lagi.
Bergilir game kanak-kanak dan remaja, sehingga habis, kemudian barulah diteruskan dengan game dewasa. Sepanjang ‘orang tua’ bermain, anak-anak diberikan kertas untuk mewarna. Tujuannya agar anak-anak ini terkawal dan tak berjalan merata ketika ibubapa mereka sibuk bermain.
Syukur Alhamdulillah, cuaca hari ini sangat baik, semua game dapat main, dan ikut masa seperti yang dirancang.
Bbq dan steamboat
Sekitar jam 4 petang, mereka yang incharged bahagian makanan dah siap-siap hidupkan api untuk barbeque dan steamboat. Ada ayam perap (P.long sponsor), seafood, sosej dan burger untuk bahagian barbeque. Manakala menu steamboat (sponsored by P.Muda) juga tak kalah sedapnya dan ramai peminatnya. Penat main, boleh makan dan minum dulu. Cuaca pula sangat membantu, Alhamdulillah syukur sangat!
Di samping itu ada menu mi goreng (oleh M.Ngah), bihun goreng (oleh Cik), nasi dagang dan kuih (dari jamuan rumah Fadhlullah tadi), dan makanan sampingan yang lain juga. Ya, setiap tahun makanan dan hidangan hari keluarga memang sangat ‘meriah’.
Aktiviti bebas
Selesai sukaneka pada jam 5.15 petang, dan semua menuju ke laut (tinggal yang bertugas bakar ayam dan yang tak larat je). Tak sabar-sabar nak mandi laut. Seorang demi seorang akhirnya basah kuyup bermandian di pantai. Seronoknya mereka.
Maghrib dan Isyak di dewan solat
Berimamkan P.Long, kaum lelaki berjemaah di dewan yang disediakan (kaum perempuan masing-masing sibuk dengan anak kecil). Ada selingan tazkirah dari P.long juga.
Malam persembahan dan penyampaian hadiah
Jam 9 malam, semua berkumpul di dewan makan. Bermula dengan ucapan dari ketua keluarga (P.Long), disusuli dengan persembahan anak-anak yang menghiburkan, diteruskan dengan penyampaian hadiah; hadiah untuk semua anak-anak, hadiah sukaneka, hadiah hadiah kuiz kanak-kanak, hadiah teka syiling (ganti dengan cabutan bertuah), sessi bertukar hadiah setiap keluarga, dan cenderahati untuk mek. Dan di antara itu ada slot potong kek oleh mek. Meriah juga walaupun masing-masing dah kelihatan penat dan mengantuk. Program malam ini selesai sekitar jam 10 malam. Balik ke bilik masing-masing dan tidur.
Oh ya, ada satu kejadian bilik air tersumbat (bilik mek dan cik). Agak stress juga bab ni sebab kesian pada mek yang susah nak guna toilet, dan tak dapat nak tukar bilik kerana semua bilik full pada malam tersebut. Namun Alhamdulillah, owner chalet usahakan untuk selesaikan masalah bilik air tersumbat dan dengan izinNya masalah tu selesai juga selepas tamat acara malam. Alhamdulillah.
Subuh, sarapan dan aktiviti bebas.
Pagi hari kedua, berjemaah Subuh di dewan solat, kemudian ada yang sambung tidur, ada juga yang ambil angin pagi di tepi pantai. Cantik sungguh pemandangan matahari terbit di tepi pantai. Menikmati indahnya pagi, sambil menghirup kopi. Masya Allah!
Sarapan pagi disediakan oleh M.Long. Menu nasi lemak beralaskan daun pisang, menikmatinya pula di tepi pantai bersama ahli keluarga yang ramai, memberikan rasa yang tak mampu diterjemahkan dengan kata. Bersarapan, bercerita, dan bergelak ketawa. Susahnya nak dapatkan momen seperti ini kan? Hari ini dan semalam, kita menikmatinya bersama-sama. Syukur padaMu ya Allah, memberikan nikmat berkeluarga seperti ini.
Di samping nasi lemak, ada kuih muih yang dibeli di luar. Pagi ini juga mewah dengan makanan. Pagi ini mek menikmati makan paginya bersama anak menantu, cucu dan cicitnya. 4 generasi berkumpul bersama, semoga mek bahagia untuk semua ini. Walau setelah itu, kita akan terpisah kembali menuju kehidupan masing-masing.
Selesai bersarapan dan bersembang panjang, beratur pula membeli aiskrim yang dijaja dengan motosikal. Dah kenyang makan, masa untuk menikmati aiskrim pula. Kemudian anak-anak sambung main pasir, ada yang mandi pantai, yang sambung bersembang, dan yang balik ke bilik dan berkemas.
Bersurai
Hampir jam 12 semua dah siap untuk check out dari chalet. Satu demi satu keluarga bergerak meninggalkan chalet. Urusan di sini dah selesai. Kini masa untuk pulang. Mungkin di kampung akan berjumpa lagi, mungkin juga tidak. Masing-masing ada haluan tersendiri.
Kami sekeluarga menuju ke Kota Bharu. Masa untuk bertemu keluarga di sana pula. Dan insya Allah akan balik jumpa mek lagi sebelum pulang ke Semenyih.
Dan tamatlah cerita hari keluarga tahun ini. Menunggu setahun lagi, untuk ulangi cerita bersama lagi. Mudah-mudahan kala itu, semuanya dalam keadaan sihat, dan diberi kelapangan untuk berkumpul lagi. Ya Allah, jangan ada yang ‘hilang’ dan pergi antara kami. Izinkan kami bersua kembali setelah perpisahan hari ini. Ameen.
Insya Allah, tahun depan bertambah lagi ahli keluarga. 2 yang akan melahirkan, satu yang akan berumahtangga. Atau mungkin lebih lagi. Alhamdulillah, moga keluarga kami ini dalam rahmat dan kasih sayangMu sentiasa ya Allah. Ameen.
Gambar keluarga;
No comments:
Post a Comment