HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Friday, 9 August 2024

UMMI TULIS UNTUK SIAPA?



“Ummi tulis banyak-banyak ni sapa nak baca?”


Bertanya si sulung. 

Dia tahu ummi menulis di blog. Menulis di instagram. Malahan di buku juga. Sekali ummi mengarang, penulisan ummi panjang. Siapalah yang nak baca panjang-panjang kan? Bosan…


“Nanti awak dah besar, awak baca la apa yang ummi tulis. Tengok gambar-gambar lama… “ 


Macam tulah ummi jawab setiap kalinya. 

Dan responnya endah tak endah saja. 


Tapi betullah apa yang Anas tanya. Tulis banyak-banyak, panjang berjela, siapa nak baca? 


Yang sebenarnya ummi tak berharap pada sesiapa pun untuk baca. Malahan pada anak-anak pun ummi tak letakkan harapan. Ummi menulis kerana ummi suka tulis. Ummi menulis untuk ummi bercerita dan menganggapkan cerita ummi didengar. Dan sudahlah… 


Bila mak-mak saling bersembang dengan rakan sekerja pasal anak, pasal masalah yang dihadapi, pasal tu, pasal ni, pasti lepas tu rasa lega kan? Takde dah yang ‘penuh’ kat dada nak disimpan-simpan. Sekurang-kurangnya adalah ‘seorang’ yang mendengar cerita kita. Cerita gembira atau sebaliknya. 


Tapi ummi tak ada teman nak luahkan cerita. Hari-hari rumah inilah dunia ummi. Dan ummi tak pandai nak bercerita pada sesiapa. Ye, tak pandai. Dari zaman kecil lagi Allah takdirkan hidup ‘bersendiri’. Jadi tak pandai nak meluah rasa apalagi bercerita hal diri pada orang lain.


Ummi menulis untuk kepuasan rasa sendiri. Di sini ummi luahkan cinta, luahkan sedih dan bimbang, catatkan kenangan bersama yang tercinta, dan tak lupa motivasi untuk diri yang bergelar isteri dan ibu.


Anak-anak masih kecil untuk memahami. Ummi akan terus menulis. Bukan mengharap perhatian pada sesiapa. Sekurang-kurangnya masih ada manfaat untuk yang mencari pada penulisan yang baik. Biarpun hanya berkisarkan tentang kita-kita. 


Menulis bukan kerana nama. Bukan untuk dikenal. Malahan watak ummi ini hanya satu watak yang ingin selalu bersembunyi. 


Anak-anak bila dah besar nanti, mungkin ada yang membaca penulisan ummi di blog ini (selagi ia masih boleh dibaca di ruang internet ini). Mungkin akan baca catatan ummi di buku dan instagram. Mungkin. Ummi harap kalian dapat merasakan ‘cinta’ ummi yang mendalam dalam setiap tulisan ummi. 


Maafkan ummi kerana yang terzahir pada perbuatan dan tingkahlaku tak setara dengan apa yang ummi luahkan dalam penulisan. Ummi yang suka marah, yang bertindak kasar, yang macam-macam lagi… ummi tak maksudkan begitu. Tetapi keadaan dan situasi sering menguji. Dan ummi tak cukup sabar. Itulah ujian buat ummi… 


Anak-anakku, ummi tak tahu bila tulisan ummi ini akan ‘sampai’ kepadamu. Ummi percaya ada yang ‘mencari’ andai hadirnya rindu kalian buat ummi setelah ummi tiada lagi. 


Anak-anakku, moga hidup kalian baik-baik saja hingga saat ini. Mendapat pelajaran dan pekerjaan terbaik, mendapat jodoh yang baik dan saling ikhlas menjaga, dikurniakan zuriat yang soleh solehah yang menceriakan kehidupan, mendapat rezeki yang mencukupi dan mampu berbagi, dikurniakan kesihatan yang baik dan kudrat yang dimanfaatkan sebaiknya, dan sentiasa dekat dan rapat kalian adik beradik. Sentiasa ada untuk satu sama lain. Bersatu dan berdamai, kukuh ikatan kasih sayang, saling menyokong dan mendokong, bersatu tak berkecai. 


Ummi akan terus menulis selagi ada kesempatan dan waktu. Bukan untuk siapa-siapa. Menulis memberikan kelegaan yang tak mampu diceritakan. Dan masej yang perlu sampai, insya Allah akan sampai pada insan yang tepat. 






No comments:

Post a Comment