HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Monday, 22 July 2024

SEMOGA DUNIA TIDAK KEJAM TERHADAPMU




Akhir-akhir ini kerap dikejutkan dengan berita ‘orang hilang’; kanak-kanak dan remaja khususnya. Ada yang berjaya ditemui, ada yang langsung tiada khabar berita dan ada yang ditemui dalam keadaan tak bernyawa lagi.


Ada satu kisah kehilangan yang menggemparkan negara baru-baru ini. Bilamana seorang gadis dilaporkan hilang dan selepas beberapa hari yang ditemui hanyalah jasadnya yang sudah tidak bernyawa. Agak terganggu dan runtun hati dengan kisah ini, kerana entah kenapa, sejak hari pertama diwarkan tentang kehilangan gadis ini di media sosial, langsung hati cenderung untuk mengikuti khabar berita tentang kehilangannya. Barangkali melihat raut wajah cantik dan manisnya, lalu terbayang-bayang tentang berita kehilangannya.


Selepas beberapa hari dikejutkan pula dengan penemuan mayatnya. Allah, syahdu rasa hati. Hati mak-mak yang ada anak perempuan barangkali. Sedih amat. Dan risau amat, pada dunia yang akan anak-anak tempuhi dan jalani ini.


Ya, aku juga punya anak perempuan yang bakal membesar dewasa. Bagaimana dunia akan ‘melayan’ anak-anak perempuanku? Hanya perempuan yang mengenali perempuan. Itulah barangkali jadi ‘terlebih’ risau pada anak perempuan. Anak lelaki pun ya juga. Risau juga. Tapi bentuk kerisauan tu berbeza. 


Ke mana anak perempuanku ini bakal melangkah dan berada di depan hari, tak siapa tahu. Bagaimana untuk pastikan dirinya terjaga dan terlindung, akan ummi dan abi cuba semampunya. Jangan kekejaman dunia mengheretmu dan membawamu pergi. Anak perempuan, adakah menjaga mereka sesukar yang digambarkan?


Buat anak perempuanku, moga di rumah dicukupkan kasih sayang, dibekalkan ilmu agama, ilmu menjaga diri dan maruah, dan sebagainya yang mampu melindungimu dari kejahatan dunia.


Musibah mendatang tak siapa boleh jangka. Pada sesiapa pun boleh terjadi. Doa ummi, agar Allah sentiasa melindungi dan menjagamu anak-anakku. Semoga Allah hadirkan yang baik-baik saja di sekelilingmu. Semoga tiada yang hasad dan dengki kepadamu. Semoga kau kuat melawan godaan dunia yang pelbagai bentuk dan rupanya. Semoga sentiasa terpelihara maruah dan kehormatan dirimu. Semoga Allah anugerahkan pasangan soleh yang akan menjagamu dengan sebaiknya. Semoga baik-baik saja kau menjalani kehidupan di dunia ini ketika ummi ada dan tiada lagi. Ameen.


Berbalik pada kisah viral itu, semoga arwah ditempatkan bersama hambaNya yang beriman dan bertakwa. Sungguh sedih tentang kematiannya, namun inilah takdirNya. Moga syurga tempat kembalinya. Semoga pembalasan setimpal buat pelakunya. 


Dan semoga yang masih ‘hilang’, segera ditemui dalam keadaan yang selamat.


Anak-anakku, sentiasalah berdoa memohon perlindungan dari Allah dari segala kejahatan di dunia ini. 


Berdoalah, kerana itulah senjatamu yang paling ampuh.



Update hari ini (23/7/2024): ada 2 berita gembira yang dikhabarkan. Pertama tentang penemuan kembali kanak-kanak berusia 6 tahun (dari Johor) yang hilang beberapa hari lepas dalam keadaan selamat. Kedua, tentang hukuman gantung kepada pembuli yang menyebabkan kematian seorang pelajar UPNM (adik Zulfarhan) 7 tahun yang lalu. Alhamdulillah, keadilan buat keluarganya. Kes ‘buli’ ini juga satu kerisauan pada hati seorang ibu. Semoga Allah lindungi anak-anak kita…

Ameen.



No comments:

Post a Comment