HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Saturday, 20 July 2024

DULU LAIN SEKARANG LAIN



Membaca balik tulisan lama di blog ini. Mula menulis di blog ini ketika anak dua (Anas dan Mussaab). Kononnya nak menulis tentang pendidikan mereka di rumah. Tapi dah bertahun berlalu, macam-macam tajuk ada dalam blog ni. Yang pasti cerita tentang anak-anak dan keluarga sajalah. Seorang ibu surirumah, cerita apa lagi yang aku ada?


Kembali ke tulisan lama, imbas kembali betapa rajin dan fokusnya aku mengajar anak-anak di rumah ketika mereka masih kecil lagi. Seawal ‘baby’ dah siap dengan flash card huruf hijaiyyah, buku-buku bergambar, dan sebagainya. Oleh itu, anak sulung memang ‘pandai’ dari kecil. Sebab anak pun cepat tangkap, lagi seronoklah nak mengajar. Lagipun, memang fokus kat dia sorang, tak ada gangguan lain. Amat mudahlah…


Masuk anak dua, sedikit mencabar tapi tetaplah mudah. Anak-anak ikut je apa yang ummi ‘hidang’kan untuk mereka. Tak ada siaran tv/video yang melalaikan. Semua video education je. Dalam hp pun download apps education je. Maka, yang baik-baik sajalah dapat. Anak kecil memanglah senang. Ikut tanpa bantahan. Tambahan yang sulung memang suka belajar, banyak yang dia dapat sejak kecil. Yang nombor dua lain sikit, suka main-main. Tapi tetaplah ok, dalam main-main pun masih belajar yang baik-baik kerana sentiasa dipantau.


Hadir yang ketiga, pun masih mampu nak ‘mendidik’ dari kecil. Seronok dapat ajar anak mengenal ABC, 123, ا ب ت dan sebagainya sejak mereka kecil. Sampai rasa macam nak homeschooling je anak- anak, tak nak hantar sekolah. Sebab rasa macam mampu je. Tapi akhirnya atas rasa sedar diri jugalah, anak-anak dihantar ke sekolah seperti anak-anak yang lain. Sedar diri tak mampu dan kurang dalam banyak aspek.Walaupun sekolah, anak-anak masih boleh belajar dengan ummi di rumah. Kat rumah ummi boleh ajar al-Quran, iqra’ dan ulangkaji apa yang anak-anak belajar di sekolah. Ummi masih ada ‘masa’ untuk semua tu. 


Kemudian hadirlah yang keempat dan kelima. Dapat dirasakan ‘masa’ semakin suntuk. Dengan anak-anak yang di atas semakin besar dan perlu diuruskan hal sekolah mereka, dan di samping urusan rumahtangga yang lain. Ketika seorang (ketika abinya bekerja), memang semua kena ‘pulun’ sendiri. Jadi (mungkin alasan), tiada selingan masa untuk duduk mengajar yang kecil sama sebijik seperti abang-abangnya dulu. Masih mencuba, tapi sekadar yang sempat saja. Makanya, tak samalah, yang dulu dan yang sekarang dari bab belajar di rumah ni. Tambah lagi dengan abang-abang yang suka menonton video ‘aras’ mereka, yang si adik pun join sekalilah. 


Sudah tentu, fokus lebih pada abang-abang. Nak ajar mengaji, tengokkan homework, bantu ulangkaji time exam, dan itupun semakin lama makin tak sempat juga untuk semua tu dek ‘penat’nya ummi dengan urusan harian. Tiada lagi masa santai-santai seperti dulu-dulu. Ada masa luang, rasa mahu rehatkan diri saja. Taknak beratkan fikiran dah. 


Terkadang rasa kurang perhatian pada yang besar kerana sibuk dengan yang kecil. Terkadang rasa tak cukup memberi pada yang kecil kerana yang besar masih perlu disibukkan juga. 

Ya, serba tak kena rasanya.


Tahun-tahun berlalu, meski ummi dah tak punya kesempatan masa seperti dulu lagi, namun Alhamdulillah anak- anak punya progress masing-masing. Ada lebih dan kurangnya, tapi semuanya ok dan baik saja. Tapi sudah tentulah, anak-anak ini perlu disedarkan dan di’gerak’kan sentiasa. Dipesan-pesan tiap masa. Atas pentingnya ilmu, dan tak terlalu  santai dan main-main hingga terabai pelajaran. 


Tiga yang dah besar, dua lagi yang masih kecil, semua nak kena bagi perhatian dan peringatan secukupnya. Pada hakikatnya, banyak yang terkurang dan tak sempat. 


Suri dan Nuha yang kini, mungkin tak dapat sama macam Anas, Mussaab dan Miqdad dapat dulu. Tapi insya Allah, ummi akan cuba beri yang terbaik. Walaupun terkadang dihambat rasa kesal atas ketidakupayaan diri. Tapi… perlu terima hakikat yang situasi dulu tak sama dengan situasi sekarang. Atas lebih dan kurangnya, sudah pasti ada hikmah di sisiNya.


Maka, terus jalani hari dengan tenang (walapun hakikatnya ribut sentiasa). Terima kenyataan akan kehidupan yang kian mencabar ini. Perjalanan keibubapaan ini tidak mudah. Namun kita tetap perlu mencuba untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak. 


Anak-anakku, insya Allah kalian mendapat apa yang sepatutnya kalian dapat. Jika bukan melalui ummi dan abi, pasti dari luar sana yang masih luas dan jauh lagi perjalananmu. Pelajaran hidup ini terlalu luas dan takkan habis. Kau akan lalui segala prosesnya. 


Ya benar, dulu lain, sekarang lain. Tak sedarnya masa berlalu pantas dan kehidupan juga berubah dalam banyak sudut.

No comments:

Post a Comment