HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Wednesday, 12 June 2024

DI SEKSYEN 6 INI


Actually ini catatan lama yang tergendala dan lupa nak pos kat blog :D 


Untuk merakam sejarah.

Semalam (1 November 2023) diadakan Mesyuarat Agung kali pertama-Persatuan Penduduk Kejiranan Seksyen 6 (Jiran Sempoi), Bandar Rinching. Suamiku antara ‘orang kuat’ yang terlibat dalam mesyuarat ini dari awal penubuhan persatuan (sebagai setiausaha sementara). Dia yang kukenal, yang sentiasa komited dengan segala amanah yang diberikan untuknya.


Semalam berlangsung Mesyuarat Agung. Dibubarkan jawatankuasa sementara, dan dilantik jawatankuasa baru. Sekali lagi, jawatan setiausaha adalah untuk suamiku. Pada mulanya, dicalonkan sebagai pengerusi, namun dia menolak dengan alasan yang wajar. Ya, sebagai seorang pelaut yang tak selalu ada, sukar untuknya menyandang jawatan itu. Dan aku juga mengharapkan dia tak berada di kerusi itu. 


Kini terbentuk sudah jawatankuasa yang baru nak bermula. Yang ingin menyumbang khidmat untuk kebaikan penduduk seksyen 6. Walaupun hakikatnya (semalam) tak seberapa juga yang hadir untuk memberi sokongan (tapi pendaftaran ahli secara online agak ramai juga). Hmm.. mungkin dibuat pada hari yang tak sesuai. Mungkin cuaca tak mengizinkan. Mungkin hanya tak mahu ambil peduli dan ikut saja. 


Namun harapannya dengan tertubuhnya persatuan penduduk dan jawatankuasa ini,akan ada lebih banyak program dan aktiviti yang memberikan kebaikan kepada penduduk seksyen 6 ini. Hampir 7 tahun kami menetap di sini, hanya mengikut program anjuran surau. Tak pernah join yang lain. Tak sampai maklumat mungkin!


Setiap kali ada program anjuran surau, suami minta anak isteri untuk join dan support. Contohnya Karnival Cinta Rasul yang diadakan saban tahun. Walaupun dia tak ada/ke laut, aku cuba untuk sertai bersama anak-anak sebagai tanda sokongan. 


Persatuan Penduduk yang sekarang, diharapkan dapat menjalankan tanggungjawab sebaik-baiknya untuk kebaikan bersama penduduk Seksyen 6 ini.


Dari pemerhatianku,  sudah ada ‘sesuatu’ yang dibuat. Sebelum tertubuh secara rasmi persatuan penduduk  yang baru ini lagi, sudah beberapa kali dianjurkan aktiviti yang terbuka kepada penduduk sini. Contohnya Fun Run Anak Merdeka, pertandingan futsal dan badminton, sepakan penalti, takraw, street soccer, dll. Ada di antaranya dianjurkan bersama dengan pihak surau. Dan dalam tempoh itu juga di seksyen 6 ni dah siap court takraw dan badminton yang dipohon dari majlis perbandaran. 


Update ( Jun 2024)

Sudah 7 bulan berlalu. Nak kata banyak perubahan tidak juga, tetapi aku jadi saksi melihat suamiku ‘bekerja’. Sebagai setiausaha, aku melihat banyak ‘surat’ yang dihantar ke sana dan ke sini, meng’usul’ itu dan ini, dan usai kerja di laut ber’meeting’ pula dengan yang seangkatan. 


Highlight: Salah satu yang sedang berjalan ialah kerja melapangkan tanah milik MPKj di Seksyen 6 untuk pembinaan dewan serbaguna dan padang bola. Itupun katanya ada banyak ‘suara’ yang kurang senang, sedangkan pembinaan itu untuk kegunaan bersama komuniti. Bukan untuk kepentingan individu. Masih dalam proses, dan mungkin ambil masa lama nak siap semua tu, diharapkan ianya berjalan lancar dan ‘menjadi’ seperti yang dirancang.


Bulan Jun ini,  akan dianjurkan kejohanan Futsal untuk kanak-kanak bawah 14 tahun. Selalunya yang melibatkan anak-anak, penyertaannya sangat menggalakkan. Kata suami, kat luar sana mungkin mereka tak berpeluang menyertai pertandingan melalui pemilihan dan persaingan,  kat sini anak-anak diberi peluang yang sama untuk tunjukkan skill masing-masing dalam bermain dan disediakan juga ‘ganjaran’ buat mereka. Akhirnya, anak-anak ini akan rasa seronok kerana diraikan. Manalah tahu, antara mereka ini akan menyerlah di suatu hari nanti dalam sukan yang mereka suka.


Ok, ada satu benda lagi nak highlight, iaitu pasal anjing yang makin bermaharajalela di Seksyen 6 ini (ada banyak faktor yang mengundang pertambahan anjing liar di sini). Makin lama, makin meriah dengan anjing liar di kawasan penempatan Seksyen 6 ini. Makin tak selamat nak lepaskan anak-anak bermain di luar. 


Bukan tak dibuat aduan. Bukan tak ada tindakan. Cumanya belum berkesan menghalau anjing-anjing tersebut. Dalam group whatsaap penduduk ni, paling meriah bila masuk bab ‘anjing’. Dah ramai penduduk membuat aduan ke pihak berwajib, namun setakat ini masalah ‘anjing’ ini masih kekal sebagai masalah di sini. Dan ya, jangan kata Persatuan Penduduk  tak buat apa-apa. Turun naik bangunan MPKJ pun sudah (aku tahu sebab suami aku pun ikut sekali). 


Ok dah panjang benar menulis. Siapalah yang nak baca kan? Yang pastinya, besar  sungguh harapan agar barisan jawatankuasa Persatuan Penduduk Seksyen 6 yang baru dilantik beberapa bulan ini, mampu melakukan tugas masing-masing dengan penuh bertanggungjawab. Baik suamiku, baik yang lain-lainnya, mereka pun tahu tanggungjawab ini tak mudah. Namun aku percaya mereka sedang berusaha sebaiknya.


Aku ini sebagai isteri ‘introvert’, tak banyak kenal orang dan tak pandai bergaul, tak begitu gembira bila suami diberi ‘jawatan’. Tapi aku tahu suamiku punya ‘hikmah’ dalam berurusan, suamiku seorang yang komited dalam urusan kerja dan tanggungjawab, dan insya Allah ada ‘ikhlas’ yang mendorong dia untuk bersama-sama yang lain bekerja untuk kebaikan penduduk Seksyen 6 ini.


Lagipun jawatan ini bukanlah untuk selamanya. Cukup tempohnya, akan dibuat pemilihan lagi. Sesiapa pun layak untuk ‘naik’ dan menggantikan, menurut siapa yang dirasakan lebih sesuai dan berkemampuan untuk menjaga kepentingan dan keharmonian bersama penduduk sini.


Dalam situasi semasa, pada pengamatan aku, kesatuan sesama penduduk masih belum dapat dibanggakan lagi. Mungkin perlu perbanyakkan lagi program menarik yang melibatkan semua penduduk dan semua kaum. Aku percaya, semua itu ada dalam perbincangan dan perancangan. Mudah-mudahan, dipermudahkan semuanya. 


Cukup setakat ini coretanku, penduduk biasa yang hanya duduk mendengar dan memerhati. Mungkin ada tersilap fakta dan maklumat pada penulisan di atas. Mohon maaf untuk segalanya. (Tak layak nak menulis pasal ni, tapi nak tulis juga)


Akhir kata, majulah Seksyen 6 untuk keharmonian bersama! Dan semoga masalah ‘anjing liar’ selesai juga nanti. 


Dan kita sekeluarga ini, apakah akan selamanya menetap di sini?


Wallahu a’lam.



Antara program yang pernah dianjurkan persatuan ‘Jiran Sempoi’













No comments:

Post a Comment