HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Monday, 27 May 2024

MOTHERHOOD: ADA SATU ZAMAN YANG DIRINDUKAN



Catatan perjalanan seorang ibu.

Ibu yang biasa-biasa je. 

Tak ada yang luar biasa.


Sedar tak sedar, dah lebih 12 tahun bergelar seorang ‘ummi’. Tempoh yang bukanlah sekejap, dan tidak juga terlalu matang dan berpengalaman luas dalam dunia keibubapaan ini. Menjalani liku dan suka duka perjalanan seorang ibu, sama seperti orang lain juga. Tak sempurna, dan terlalu jauh dari sempurna.


Bila dikenang-kenang balik, ada satu tempoh yang ‘tenang dan santai’ ketika menjadi seorang ibu. Dan kemudiannya beransur menjadi lebih mencabar dan kian mencabar. 


Seingat aku, antara tahun 2017-2018 adalah tempoh di mana aku merindukan sangat waktu itu. Kurang tekanan, lebih santai dan tak terkejar-kejar seperti sekarang. Masa tu baru ada anak 3, boys semua. Anas dan Mussaab masih bersekolah tadika (umur yang masih dengar cakap dan tak ada perangai macam-macam lagi) manakala Miqdad dah melepasi fasa perlu diperhatikan setiap masa (dah boleh berjalan berlari dan faham arahan).


Tapi kenapa tempoh itu paling aku suka? Bagaimana tahun-tahun yang sebelumnya? Ketika anak seorang dan dua orang bagaimana pula? Tanggungjawab tak besar lagi masa tu kan?


Entahlah, masa tu kan masih baru bergelar seorang ibu. Kurang ilmu dan pengalaman. Segala yang perlu dihadap adalah perkara baru, makanya semua terasa mencabar. Sebagai ibu muda yang melahirkan anak sulung, terasa amat mencabar untuk melakukan hal baru dan tak pernah, berkaitan dengan baby. Tambahan pula tak ada pengalaman jaga budak. Anak bongsulah katakan. 


Genap anak sulung 2 tahun, dapat anak kedua pula. Pun mencabar, nak adapt dengan suasana hidup baru dengan pengalaman dan ilmu yang masih kurang.


 Sebab tu bila ibu muda atau yang baru bergelar ibu mengeluh penat dan stress walaupun anak baru sorang dua, aku faham akan rasa itu kerana pernah melaluinya. Tambahan kalau hidup jauh dari ahli keluarga terdekat yang boleh jadi support system kita di waktu kita memerlukan. 


Ok sambung. 

Hinggalah masuk anak ketiga (2016) masih mencabar hingga yang ketiga ini dah besar sikit, abang-abang masuk sekolah tadika, terasa lebih tenang menguruskan segalanya. Sudah tentu atas faktor sokongan yang lain, di mana masa ni dah stay kat rumah sendiri (tak menyewa dan berpindah randah lagi), sekolah tadika anak-anak dekat je dengan rumah, jalan kaki pun boleh (yang mana aku tak perlu bersesak di jalan raya), zaman sebelum hadirnya covid (tak tahu pun akan hadirnya virus ganas tu, tapi bila diingat tentang covid tu terasa lebih rindu pada zaman sebelum hadirnya covid tu), dan ya, seperti yang aku tulis di atas, anak-anak sangat baik dan mendengar kata, tak ada pengaruh tak baik dari luar yang dibawa balik ke rumah, tak kenal game dalam hp, dan yang kecil sekali tu pun dah bukan berada dalam fasa baby lagi (2017-2018).


Jujur kata, itulah zaman tenang yang dirindu sebagai seorang ibu. Tak banyak marah, tak banyak bebel, tak banyak risau, tak banyak fikir, dan terhibur sentiasa dengan gelagat anak-anak. Tapi bukanlah hidup masa tu tenang dan happy sentiasa. Sebagai ibu tak sempurna, masa tu pun banyak buat khilaf juga. Tapi tulah.. itulah zaman paling bebas stress untuk aku.


Tapi masa terus berlalu. Dari anak 3 kemudian jadi 4 dan 5. Sikit demi sikit beban tanggungjawab menjadi kebih besar dan berat. Tekanan makin terasa. 


Bila anak makin besar, masuk pula ke sekolah rendah, perlu seawal pagi bersedia dan bersiap hantar anak-anak ke sekolah masing-masing. Sekolah makin jauh, sekolah yang berbeza tempat dan waktu, jalan raya dah jadi tempat yang selalu kena ‘turun’. Bukan sekali dua, malahan berkali-kali, di samping tanggungjawab yang lain di rumah. 


Anak-anak pun, dah makin besar, mulalah nampak perangai masing-masing. Yang perlu diingatkan dan dipesankan berkali-kali dalam segala bab, yang gaya percakapan dan bahasanya dah lain macam (entah pengaruh dari mana), yang bergaduh tak kira isu, yang kaki mengusik sampai riuh satu rumah, yang nak masuk bilik sorang pun takut, yang memilih-milih makan, dan macam-macam lagi yang mencetuskan stress seorang ibu. Ibu yang kurang tahap sabarnya ini, dah mula marah-marah, masam muka, membebel, dan segala sikap ibu yang ‘biasa’ dah mula menonjol pada diri. Sungguh, penat bila marah. Penat bila naikkan suara. Penat bila kena pesan banyak kali. Penat. Tapi kalau tak buat semua tu, pun tak boleh. Sering rasa serba tak kena. Marah salah, tak marah salah. Sudahnya ibu yang penat dan rasa bersalah. Kerana hakikatnya ibu sangat sayang. Biarpun marah, tetap sayang. 


Cerita tentang musim wabak yang dulu, di mana 24 jam bersama anak-anak (kerana tempoh PKP yang panjang), banyak jugalah ceritanya. Keadaan rumah yang huru hara dek anak-anak beraktiviti bersama di rumah, dan pdpr yang mencabar (ibu yang perlu pantau, cakna dan buat persediaan untuk pembelajaran anak-anak). Semua kisah itu tak dilupa.


Masuk bab gadjet. Seperti kebanyakan anak zaman kini, anak-anakku juga jadi peminat pada game-game dalam gadjet. Tak nak bagi dah terlanjur bagi. Bila dah bagi kena pantau sentiasa agar tak melampaui batas. Bila dah bagi pegang hp sorang satu, bersedialah dengan kesannya. Dipanggil susah nak dengar. Disuruh lambat nak buat. Apalagi nak bagi ceramah dan nasihat, lagilah tak pasang telinga. Fokus hanya pada gadjet. Perlunya tangani segera sebelum sampai tahap yang begitu atau lebih lagi. Dan itulah, gadjet juga merupakan punca stress ibubapa. Nak tak nak, beginilah hidup di zaman mereka. Tak sama dengan zaman kecil kita dulu. Ibubapa jugalah nak kena jadi bijak mengawal semua tu. 


Kalau nak disambungkan lagi, banyak lagilah cerita perjalanan seorang ibu ini. Ada cerita di meja makan, ada cerita di dalam perjalanan ke sekolah, ada cerita di sepanjang musafir balik kampung, ada cerita di antara maghrib dan isyak, ada cerita di hari cuti sekolah, dan banyak lagi ceritanya. Betapa seorang ibu itu perlu memainkan peranan penting dalam setiap situasi dan keadaan. Punya pancaindera yang memerhati, memantau dan selalu berpesan-pesan untuk mengingatkan.


Bukan tujuanku untuk mengeluhkan apa yang perlu dihadapi oleh seorang ibu sepertiku. Sekadar menterjemahkan apa yang aku rasa. Bukan tak gembira dengan takdir, sedang hakikatnya tittle ibu itu sangat aku inginkan suatu masa dulu. Bukan mereka ini satu bebanan, melainkan aku yang paling bahagia atas setiap kelahiran mereka.


Namun gelaran ibu sudah tentunya hadir bersama tanggungjawab. Bukan sekadar untuk gembira atas kehadiran mereka. Yang lebih besar lagi adalah tanggungjawab untuk mendidik dan membesarkan mereka menjadi manusia beragama dan berguna.


Kita lalui jalan dan proses yang panjang.

Kita dihadapkan dalam perlbagai situasi dan keadaan.

Kita diuji yang bermacam-macam.

Kita menikmati pelbagai rasa.


Yang semuanya menjadikan kita lebih matang dan dewasa.

Yang menghadiahkan kita ilmu dan pengalaman.

Yang mendorong kita untuk lebih tenang dan bijaksana dalam bertindak di kemudian hari.


Dan boleh juga, ia menjadi yang sebaliknya. Nau’zubillah


Dan hakikatnya perjalanan seorang ibu ini masih perlu diteruskan selagi nyawa dikandung badan. Esok entah bagaimana bentuk cabarannya. Bila anak-anak meningkat remaja, pasti ceritanya berbeza dari hari ini. 


Anak-anak, ummi bahagia dengan setiap kehadiranmu. Ummi ikhlas memikul amanah dan tanggungjawab sebagai ibumu. Namun ummi insan lemah dan tak sempurna. Ada banyak dari tindakan ummi yang tak sepatutnya. Ummi minta maaf. Ummi ini yang serius memanjang, yang selalu naik suara, yang complain itu dan ini, yang tak mampu memberi contoh yang baik, maafkanlah segalanya.


Biar mungkin di hari mendatang tugas ummi kian mencabar, tetap ummi akan berusaha untuk teguh berdiri demi anak-anak. Tak mungkin sempurna, tapi doakan ummi agar mampu menjadi yang lebih baik, dan mampu memberikan yang lebih baik. 


Kini masih melalui saat sukar dan mencabar. Kalian anak-anak, masih banyak hal yang perlu ummi ajar dan bentuk. Jomlah anak-anak, kita sama-sama berusaha ke arah yang lebih baik. Moga satu hari nanti, ummi temui lagi zaman yang tenang dan lapang seperti yang pernah ummi rasakan sebelum ini. Iaitu ketika anak-anak ummi semuaaaanya jadi anak yang baik dan soleh-solehah. 


Ameen ya Allah. 






No comments:

Post a Comment