Terasa nak menulis pengalaman bersalin secara paksa (induced) kali yang ke-3 ini (dari 5 kelahiran).
Reason kenapa kena induce semuanya sebab kencing manis. Dari anak sulung hingga la yang kelima ni. Tak boleh bersalin melebihi due date (diet control), dan tak boleh lebih 38 minggu (kalau dah ambil ubat atau insulin). Cuma kelahiran kedua tak sempat dimasukkan ubat induce sebab dah ada bukaan, dan kelahiran ketiga juga tak dimasukkan ubat induce bila air ketuban pecah dulu di rumah (ngam-ngam pada tarikh jangka bersalin).
Nak tulis yang ke-3 ni sebab pengalaman kali ni berbeza. Untuk anak pertama dan keempat hanya bergantung pada satu ubat untuk dibawa ke labor room dan bersalin. Tapi yang last ni sampai 3 biji. Perit dan sakitnya luar biasa.
Hari pertama- dimasukan ubat (prostin) pertama sekitar jam 8 pagi. Mula rasa kontraksi ringan selepas solat zohor. Kontraksi makin kuat menyerang selepas waktu asar hingga ke malam. Kontraksi konsisten berjarak 3 minit sekali (40-50 saat rasa sakit). Lepas mengadu sakit pada misi, dimasukkan ubat tahan sakit (paracetamol cecair). Lega sikit rasa sakit dan dapat tidur. Petang tadi bukaan serviks sudah 2cm
Hari kedua- kusangkakan dah tak perlu masukkan ubat induce lagi sebab dah ada bukaan 2cm. Yelah, pengalaman lepas hanya sebiji je. Bila dah ada bukaan dah tak perlu masuk ubat kedua dah. Rupanya lepas cek jalan pagi ni (masih bukaan 2cm), doktor decide masukkan separuh lagi ubat. Keadaan hari ni ‘menanggung sakit’ kontraksi lagi. Setiap 5 minit dia menyerang. Sukar bergerak, pergerakan solat terganggu, nak ke toilet melepaskan hajat dan mandi pun sulit. Setiap beberapa jam nurse masukkan ubat tahan sakit. Bukaan serviks masih 2cm juga. Dah tengah-tengah malam barulah sakit beransur reda. Kesan ubat dah hilang dan boleh tidur.
Hari ketiga- lepas subuh cek bukaan lagi. Hampir ke 3cm kata doktor. Adalah progress sikit. Eh, masuk lagi ubat 1.5 bijik untuk cukupkan maksimum 3 biji. Dan sehari lagilah menanggung rasanya sakit kontraksi. Rasa sakit yang sama seperti 2 hari dan sehari lepas. Hanya kurang rasa sakit bila dimasukkan ubat tahan sakit untuk beberapa ketika, dan rasa kontraksi itu menghilang bila habis kesan ubat pada tengah malamnya.
Hari ni diberi ubat tahan sakit suntikan di bahu. Ubat ni memberi rasa mengantuk yang amat. Hari ni tidur saja. Buka mata macam nak pitam. Makan pun tak boleh. Bila dah habis kesan ubat tu barulah sedar balik. Kembali menanggung rasa sakit yang tadi hilang sekejap (kesan ubat tahan sakit).
Sakit hari ni rasanya lebih panjang. Pulak tu sampai ke sudah tak dipanggil ke labor room. Sekitar jam 2-3 pagi barulah rasanya sakit kontraksi menghilang dan boleh lena hingga ke pagi. Tamat dulu sakit kontraksi kesan dari ‘ubat induce’ selama 3 hari berturut.
Keesokan harinya bukaan masih 3cm tapi selepas sarapan terus dibawa ke labor room untuk bersalin. Tapi hari ni dah tak rasa sakit kontraksi dah. Ketuban dipecahkan, dan kat sini kena ‘paksa’ lagi dengan ubat cecair (drip) pula. Sekali lagi sakit ‘menyerang’ perlahan-lahan dan semakin lama semakin kerap dan sakit. Lebih kurang 2-3 jam bertarung sakit, akhirnya si kecil Nuha Khadeeja selamat dilahirkan. Alhamdulillah.
Begitulah pengalaman ‘induced’ kali ini. Ceritanya lebih panjang. Sakitnya bersambung-sambung. 3 hari pertama hanya menanggung sakit kesan ubat tersebut. Sedangkan bukan masanya lagi untuk melahirkan. Belum ada pengalaman sakit sampai berhari-hari macam tu. Serik dan perit bila diingat kembali.
Namun syukurlah dah melepasi saat-saat getir itu. Yang dikandung, akhirnya selamat dilahirkan. Moga segala sakit itu menjadi asbab untuk Allah ampunkan segala dosa yang menggunung.
Benarlah, tiap kehamilan dan kelahiran ada ceritanya yang tersendiri. Cerita yang akhirnya menjadi satu pengalaman manis untuk dikenang dan dikisahkan kembali. Melihat anak yang dikandung dan dilahirkan membesar sihat dan cerdik, segala kesakitan lalu terhapus sepenuhnya. Yang tinggal hanya kemanisan untuk dinikmati bersama-sama.
No comments:
Post a Comment