HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Wednesday, 24 January 2024

KEHAMILAN PADA USIA INI



Alhamdulillah hari ni kandungan berusia genap 34 minggu, pada usiaku 38 tahun 7 bulan (menuju 39 tahun). Penuh rasa syukur aku panjatkan kepada Allah kerana pada usia ini aku masih dikurniakan rezeki untuk hamil lagi, dan dalam keadaan yang sangat baik sekali. Alhamdulillah.


Hamil di usia ini, dalam keadaan ‘berpenyakit’ kencing manis pula (sejak Jun 2022), pada mulanya sangat merisaukan. Sekali dapat tahu ada kencing manis (dengan hba1c 9.0 masa tu), memang tak simpan niat untuk mengandung lagi. Lepas tu baru ada kesedaran untuk jaga diet dan tanpa miss ambik ubat, hba1c semakin baik pada setiap kali check up, hinggalah pada tahap ‘selamat’ untuk mengandung lagi. Alhamdulillah ketika itulah Allah hadirkan ‘dia’ yang di dalam rahim ini.Aku percaya, pada waktu yang tepat mengikut takdirNya.


Sejujurnya, kalau nak dibandingkan kehamilan yang lalu dan yang sekarang ini, tak ada banyak sangat bezanya. Adalah juga, cumanya bukan tahap perbezaan yang perlu dirisaukan meskipun mengandung pada usia yang lebih tua, dan ada kencing manis pula.


Kepenatan

Penat yang normal saja seperti pengalaman lalu juga. Ada ketika rasa semangat dan bertenaga, ada ketikanya juga cepat penat, lemah dan rasa malas sangat. Ada banyak factor jugalah tu yang mempengaruhi. Tambahan kandungan pun semakin membesar, badan pun akan jadi cepat penat dan mengah.


Bacaan hemoglobin (Hb)

Pada mulanya, awal kehamilan dulu hb ok je (tapi setakat 11 jelah). Bermula minggu ke 21, drop ke 10, lepas tu 9. Sampai la sekarang kekal bertulisan merah. Nak risau sangat tu takdelah, pengalaman mengandung dulu pun selalu bermasalah dekat hb juga. Namun harapannya, makin baiklah nanti. Insya Allah.


Pening kepala

Syukur Alhamdulillah mengandung kali ni jarang dapat sakit kepala. Ada jugalah sesekali. Dan akan lega lepas telan panddol. Paling ketara, takde masalah kepala jadi pening/pusing ketika bangun pagi atau berdiri dengan tiba-tiba. Kalau mengandung dulu selalu jugalah kena macam tu.


Sembelit

Kalau dulu, kerap sangat sembelit time pregnant. Seksa sangat. Tapi kali ni Alhamdulillah, takde masalah tu. sekali jelah hari tu, tiba-tiba sembelit pulak. Mujurlah tak teruk sangat. Lepas tu dah tak ada. 


Kaki cramp

Yang inilah paling kerap kena. Dulu dan kini, masalah ni tetap ada. Cuma rasanya mengandung kali ni kerap sangat kaki ni cramp (bahagian betis). Bangun pagi, kalau tak beringat, time menggeliat tu akan jadi detik menyeksakan bila betis cramp tiba-tiba. 


Urat timbul

Paling ketara, kehamilan yang sekarang ni banyak pula urat yang timbul di sekitar betis, peha, tangan dan pergelangan tangan. Taklah nampak sangat, tapi adalah berbanding kehamilan lepas. Mungkin faktor usia, juga mungkin sebab kehamilan sekarang ni perlu banyak bergerak uruskan anak-anak yang bersekolah. Itulah yang urat timbul sana sini. Seram pulak rasa. 


Blood Sugar Profile (Bsp)

Bacaan bsp macam biasa ada rendah tingginya, tapi setakat ni rasanya terkawal. Ubat tak tinggal, insulin tak tinggal (ada juga terlupa sekali dua). Yang pasti kena lebih berdisiplin menjaga makan. 


Sakit pinggang

Pun biasa juga, pada kandungan lepas dan kali ini. Makin besar perut ni, makinlah rasa sakit pinggang ni. Terutama time bangun dari tidur. Bila dah banyak melangkah, oklah. 


Masalah lain

Rasanya tak ada. Bp normal saja sepanjang kehamilan. Kenaikan berat badan normal. Urin normal. Tak pernah ‘sangkut’ bab ni. Bengkak-bengkak kaki pun takde. Hb dan bsp je kena beri perhatian lebih. 


Temujanji klinik/hospital

Boleh dikatakan paling keraplah temjujanji untuk kehamilan kali ni. Dari awal buka buku mengandung lagi. Setiap 2 minggu perlu datang check up. Pakej jumpa doktor sekali untuk review bsp. Kadang tu tak sampai 2 minggu pun. Dan kerap jugalah kena jumpa pakar, bukan saja di KK terdekat, tapi di Hospital Kajang juga. Sangat-sangat berbeza dengan kehamilan yang lepas-lepas. Maklumlah, dah masuk dalam group kehamilan berisiko. Perlu diberi perhatian lebih la. Kuturuti saja, walau penat dan jemunya jadi ‘penunggu’ di klinik/hospital. 


Scan baby

Dah tak terkira berapa kali. Setiap kali temujanji pakar, memang doktor akan scan. Setakat ni Alhamdulillah pembesaran baby normal saja. Tak ada masalah dikesan. Cumanya tak sempat buat detail scan. Doa dan tawakkal sesungguhnya, anakku ini sihat sejahtera, normal dan membesar baik dalam kandungan ini. 


Jadi sebagai penutup, mengandung pada usia kini tak ada banyak sangat perbezaan dengan kehamilan yang dulu. Lebih kurang je, tambahan pula kerana ‘penyakit’ yang ada ni jugalah, diri ini jadi lebih berjaga dalam bab makan minum (elak yang manis-manis dan jaga portion makan), tak terlalu mengikut keinginan selera. Badan rasa ringan, kenaikan berat badan tak mendadak, dan insya Allah, baik ummi, baik jugalah baby yang dikandung. Allah sajalah yang Maha Menjaga dan Maha Melindungi.


Apapun, dengarlah nasihat doktor yang lebih pakar. Pada usia berapa pun, banyak faktor yang membawa kita kepada kehamilan selamat atau sebaliknya. Kita juga perlu lebih peka akan keadaan diri. Jaga kesihatan diri sebaiknya, sebagai langkah persediaan kepada kehamilan yang kita harapkan. 


Untuk diriku sendiri, aku bersyukur atas apa yang Allah takdirkan buatku. Segalanya baik, segalanya diatur sempurna oleh DIA yang Maha Bijaksana. Barangkali ini kehamilan ku yang terakhir. Setelah ini, perlu fokus pada kesihatan diri dan membesarkan anak- anak pula. Insya Allah, aku bersedia. 



Result Hba1c yang semakin baik.

Alhamdulillah. 


Kena istiqamah jaga diet!

No comments:

Post a Comment