Cuti sekolah lagi. Rasanya baru saja anak-anak kembali ke sekolah selepas cuti Aidilfitri hari tu :)
Cuti kali ni, tak ada plan nak bercuti ke mana, selain balik kampung. Kebetulan abi kerja, ummi pilih untuk balik kampung menaiki bas bersama anak-anak. Berat juga nak buat pilihan ni sebenarnya. Maklumlah, tak pernah. Risau macam-macam. Mampu ke nak handle anak-anak ni seorang diri di sepanjang perjalanan. Ada pilihan lain sebenarnya, iaitu drive sendiri balik kampung dengan anak-anak. Mulanya abi cadang ummi drive, lepas tu abi juga yang tak bagi, bila teringat bermacam kes di jalan raya sejak kebelakangan ni. Akhirnya, abi beli juga tiket bas ekspress Musafir untuk ummi dan anak-anak.
28/5/2023 adalah harinya. Dari rumah, menaiki grab hingga ke TBS. Kat TBS, bersarapan pagi dan menunggu ketibaan bas. Alhamdulillah sampai awal, jadi santai-santai sajalah, tak mengejar masa. Mussaab pula mengadu sakit perut, makan pun tak berselera. Risau ummi dibuatnya. Takut termuntah ke apa, kat dalam bas nanti, susah juga. Tapi lepas makan nasi goreng beberapa suap lepas tu dah ok katanya. Tak berbekal sangat, sebab tak nak bagi makan banyak sangat dalam bas, kan nak terkencing berak, susah pula. Kononnya nak makan kat perhentian nantilah.
9.45 bas bertolak dari TBS. Alhamdulillah baik-baik saja di sepanjang perjalanan. Sempat lena sekejap sebelum bas berhenti di RnR Gua Musang. 30 minit masa diberikan untuk solat, pergi toilet dan makan di perhentian. Ya Allah, tak sempat! Orang pun ramai kat RnR tu. Kebetulan sampai betul-betul masuk waktu zohor. Sempatlah ke toilet dan solat. Nak makan dah tak sempat. Kena beratur panjang nak membeli makanan. Last-last tak makan, dan berlaparlah anak-anak hingga sampai ke destinasi.
Jam 4 petang sampai di perhentian bas Jeli. Pok Muda datang ambil dan bawa balik ke rumahnya. Rehat dan makan dulu kat rumah pok muda sebelum balik rumah mek. Jam 6.30 balik rumah mek. Alhamdulillah.
Pengalaman pertama ini juga menjadi kenangan yang tak dilupakan. Sebenarnya dah pernah dulu sekali (2015) balik kampung dengan bas. Masa tu ummi dan abi balik dengan Anas dan Mussaab yang masih kecil. Anas dan Mussaab pun dah tak berapa ingat sangat. Ini kali kedua balik kampung dengan bas. Anas dan Mussaab pun dah besar, dah boleh harap untuk tolong tengokkan adik-adik.
Alhamdulillah Allah permudahkan urusan dan perjalanan balik kampung kali ini. Terima kasih anak-anak kerana memberi kerjasama, walaupun dalam keadaan berlapar semuanya. Sekali sekala kita menempuh kesukaran, bila abi tak ada. Takpelah, Allah kan sentiasa ada untuk kita. Pada Allah sajalah tempat kita bergantung.
Alhamdulillah kita dah selamat sampai Kampung. Abi pula masih di laut. Insya Allah nanti abi datang ambil kita di kampung dan balik ke rumah. Semoga Allah permudahkan urusan abi di laut, dan selamat kembali kepada kita. Ameen.
No comments:
Post a Comment