Mac 2022 menutup tirainya. Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk meneruskan hari bersama yang tercinta.
Mac kita bermula di kampung. Lama juga dapat berada di kampung kali ini. Kebetulan cuti sekolah dan abi ada bersama. Alhamdulillah.
Balik ke Semenyih pada 9/3, abi perlu kembali bertugas dan anak-anak sambung bercuti di rumah. Oh ya, selesai pendaftaran sekolah rendah Miqdad untuk tahun 2023. Alhamdulillah.
Di balik nikmat, Allah hadirkan ujian bila satu family dijangkiti virus covid-19. Bermula dengan Anas, berakhir dengan abi. Melalui satu minggu yang dirasakan agak panjang, merawat dan menjaga anak-anak yang tidak sihat silih berganti (pada ketika abi sedang jauh).
Alhamdulillah semua sudah beransur sihat dan baik, dan sudah kembali bersekolah. Insya Allah semuanya akan baik-baik saja.
Tak lama lagi bakal menyambut Ramadan. Moga Allah kurniakan kekuatan dan moga rahmatNya menyinari hidup kita. Moga Allah ampunkan segala dosa. Moga Allah sucikan hati kita, menyuluh dengan hidayahNya, memimpin dengan cintaNya.
Ya Allah. Berkati keluarga kami ini. Sejahterakan kehidupan kami dunia dan akhirat. Ameen.
April melabuhkan tirainya. Bermula April, bermula juga Ramadan yang penuh kemuliaan.
Anak-anak bersekolah sepanjang Ramadan ini. Alhamdulillah, tahun ini Miqdad mula berpuasa penuh. Dan Alhamdulillah, Anas, Mussaab dan Miqdad masih cukup berpuasa sehingga hari ini (28 Ramadan).
Abi pula, Ramadan kali ini juga banyak habiskan masa dengan kuarantin dan kerja. Baru beberapa hari dapat berpuasa bersama. Esok akan kembali berkuarantin dan bekerja lagi. Hari raya tahun ini juga tak dapat sambut dengan abi. Sabarlah atas ujian perpisahan ini. Pasti ada hikmahnya.
Sudah berada di kampung, di hari-hari terakhir Ramadan ini. Alhamdulillah, dapat beraya dengan keluarga di kampung, setelah 2 kali aidilfitri beraya di perantauan.
Agak sedih tak dapat raikan Aidilfitri dengan abi. Tapi apakan daya, begini takdirNya.
Semoga akan baik-baik saja. Alhamdulillah, April dan Ramadan yang telah dilalui bersama. Susah senang, Allah ada sentiasa. Ikhlas menerima setiap takdirNya. Sudah pasti, takdir Allah yang terbaik untuk hambaNya.
Mei berakhir. 1 Syawal diraikan pada 2 Mei 2022, menjadikan ia Aidilfitri yang tidak terjangka (kerana dalam kalendar sepatutnya 3 Mei). Dan tak terjangka juga dapat beraya dengan abi walaupun sekejap. Raya kita raikan seadanya, namun cukup meriah, setelah 2 tahun tak dapat beraya di kampung halaman.
Selepas cuti hari raya, anak-anak kembali bersekolah seperti biasa. Di sekolah juga anak-anak dapat meraikan hari raya (dan sambutan hari guru) bersama guru dan kawan-kawan. Tentunya berganda kemeriahan Syawal tahun ini.
Alhamdulillah selepasa raya, abi bercuti panjang. Bulan ni dapat spend masa lebih lama dengan abi.
Minggu terakhir sekolah(sebelum bercuti lagi selama seminggu) balik kampung sekali lagi untuk ziarah kematian (mak cik abi) di kampung.
Mei berakhir dengan baik. Semuanya berada dalam keadaan baik. Alhamdulillah. Semoga hari-hari mendatang juga akan lebih baik, dikurnia rahmat, kasih sayang, hidayah dan ‘inayah dariNya. Ameen
Jun 2022
Jun 2022 melabuhkan tirainya. Jun yang sungguh ‘luar biasa’. Jun yang lebih berliku dari yang biasa. Namun segalanya penuh hikmah dan pengajaran.
Alhamdulillah kegembiraan buat anak-anak dapat bercuti bersama sepupu di Pulau Langkawi. Juga menjadi percutian pertama kita tanpa abi atas sebab yang tak dapat dielakkan.
Kemudian diuji dengan tragedi di mana ummi perlu dimasukkan ke wad dan menjalani pembedahan dan rawatan dalam tempoh yang agak lama. Abi memikul seluruh tanggungjawab menguruskan anak-anak dan mencukupkan keperluan ummi di hospital. Allah saja mampu mengganjari tiap susah payah dan pengorbanan abi.
Kehadiran anak-anak ke sekolah diusahakan sebaik mungkin agar tak ketinggalan, meskipun dalam tempoh ini ada yang tak sihat (demam, batuk dan selesema).
Namun di atas semua ini, cuba kita panjatkan syukur sebanyaknya kerana ujian ini tidak lain dari bukti cinta Allah terhadap hamba-hambaNya. Ujian ini tak lebih dari yang kita mampu untuk mengharunginya. Pada tiap kesukaran, bersamanya ada kemudahan dan bantuan dariNya.
Julai yang bakal tiba. Insya Allah akan lebih baik buat kita dalam meniti hari.
Julai 2022
Julai berakhir. Julai yang punya cerita tersendiri. Julai ini juga menyambut Aidiladha dengan meriah bersama ahli keluarga di kampung.
Ummi semakin sihat dan sembuh. Namun diuji pula dengan tragedi- kemalangan abi, Anas dan Mussaab dalam perjalanan ke sekolah. Alhamdulillah Anas dan Mussaab tak cedera, cuma abi yang teruk sikit. Namun tetap bersyukur juga kerana abi juga semakin sihat dan sembuh.
Anak-anak sihat dan dapat ke sekolah setiap hari. Tapi masih juga berlarutan batuk dan selesema (yang tak teruk sangat). Kehadiran ke sekolah memuaskan, harapannya juga semua memperoleh ilmu yang bermanfaat di sekolah.
Masa berlalu terasa agak pantas. Pejam celik dah nak masuk bulan Ogos dah. Sangat sibuk dengan urusan harian. Syukurlah dapat melalui hari dengan baik, meski ujian tetaplah ada.
Alhamdulillah atas segala kurniaNya. Semoga hari yang mendatang akan dapat dilalui dengan lebih baik dengan pertolonganNya.
Ogos 2022
Ogos menutup tirai. Bulan ni tak berkesempatan untuk balik kampung. Tiada cuti sekolah (kecuali weekend). Bulan ni juga anak-anak sibuk dengan exam di sekolah masing-masing. Miqdad juga, selesai menjalani Ujian Kelayakan Srai pada 20/8/2022.
Hajat nak balik kampung hari tu tak kesampaian dek tragedi kereta mati di tengah highway (12/8/2022). Ujian dari Allah, mendepani ujian seperti ini buat pertama kalinya. Kerana hal tak terduga itu, kita akhirnya sampai ke Temerloh-jadilah ia percutian yang tak dirancang.
Pada kebanyakan masanya anak-anak habiskan masa di sekolah dan di rumah sahaja. Dah tak lama nak bercuti. Harapnya sempat balik kampung (dah plan hari keluarga).
Abi kembali bertugas pada 31/8. Harap abi akan segera balik.
Alhamdulillah untuk sebulan ini yang berlalu baik. Biarpun ujian tetap hadir bersilih ganti, namun semuanya dapat diharungi dengan pertolongan Allah.
Semoga hari yang mendatang akan lebih baik dan dipermudahkan segala urusan. Semoga kan menjadi hambaNya yang lebih baik dan mulia di sisiNya.
September 2022
Sebulan September yang berlalu pergi. Banyak kisah bahagia, terselit ujian yang juga terkandung hikmah yang banyak. Alhamdulillah untuk segalanya.
Lama tempoh abi di rumah. Keberadaan abi banyak memudahkan, Alhamdulillah. Bagai ganti masa abi yang ‘hilang’ untuk keluarga suatu ketika dulu (masa pandemic).
Kehadiran anak-anak ke sekolah cemerlang, biarpun bersama batuk selesema yang masih belum reda. Bulan ni sibuk dengan exam, dan juga perjumpaan ibubapa dengan guru untuk bincang prestasi di sekolah. Alhamdulillah semuanya baik belaka.
Miqdad dapat result UKS, Alhamdulillah tahun depan masuk darjah satu di SRAI. Suri beraktiviti di rumah saja. Demam 3 hari, Alhamdulillah dah sihat.
Kenangan hari keluarga (di Pantai Sri Telong, Bachok) yang tak dapat dilupakan, kenangan menyertai Fun Run Anak Merdeka, dan menutup bulan ini dengan percutian di Stong Heritage Eco Resort bersama sebahagian ahli keluarga. Segalanya memori yang terpahat indah di hati kita semua.
Oktober mendatangi. Mengharapkan yang indah dan baik-baik juga yang akan kita semua tempuhi. Allah Maha Baik. Segala pujian dan pengharapan hanya untukNya. Tiada yang buruk pada takdirNya. Segalanya hanya yang terbaik buat hamba-hambaNya.
Oktober 2022
Oktober melabuhkan tirai. Alhamdulillah untuk satu bulan yang penuh kenikmatan dariNya.
Abi masih dengan rutin kerjanya. Pergi dan selamat kembali, setiap kalinya. Alhamdulillah.
Anas, Mussaab dan Miqdad meneruskan persekolahan seperti biasa. Suri setia bersama ummi setiap masa.
Plan nak bercamping menjadi kenyataan. Alhamdulillah. Sekali di Cameron Highland, dan sekali di Kuantan. Insya Allah ada kesempatan akan teruskan lagi camping keluarga kita.
Kesihatan juga baik, walaupun masih berselang-seli batuk dan selesema. Alhamdulillah. Syukur atas segalanya. Moga dikurniakan kesihatan yang lebih baik buat abi, ummi, Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri. Ameen.
Cabaran menempuh hari-hari tetap ada, namun memang beginilah kehidupan. Nikmat dan ujian datang bersilih ganti.
Moga tetap bertahan, biar bersama kesabaran yang sering teruji. Ya Allah, ampunkan segala khilaf. Pimpinlah hati dan langkah kami agar tak menyimpang, agar Kau sentiasa رضا.
November 2022
November sampai ke penghujungnya. Berbaki sebulan lagi menuju tahun baru 2023. How time flies 🦋
Bulan ni anak-anak banyak terlibat dalam competitions. Menyertai pertandingan anjuran surau, pertandingan berenang, program sekolah masing-masing, dan yang terakhir larian bersama mechamato. Alhamdulillah boleh sama-sama mengumpul pengalaman dan kenangan.
Bulan ni juga berdepan dengan pru-15. Dapatlah balik kampung sekejap. Kerajaan pun dah bertukar, Malaysia menerima Perdana Menteri ke-10 yang baru. Sejarah terukir lagi buat Malaysia tercinta.
Dari segi kesihatan, Alhamdulillah baik-baik je semua. Selesema batuk ringan saja.
Di samping itu, teruskan juga rutin-rutin yang biasa. Anak-anak sekolah, abi kerja, dan ummi dengan kerja rumah dan urusan anak-anak.
Alhamdulillah untuk 11 bulan yang telah berlalu. Sebulan lagi, bakal menjelang tahun baru 2023. Sentiasa mendoakan kehidupan yang lebih baik buat kita semua. Semoga meningkat iman dan taqwa. Semoga akan lebih dekat dengaNya dan dilimpahi dengan kasih dan cinta Nya. Ameen.
Disember 2022
Disember menutup tirai sekaligus menutup tirai tahun 2022. Masya Allah pantas masa berlalu. Tahun 2023 menyusul pula.
Disember kita lalui dengan kisah yang tersendiri. Ada suka, ada duka, begitulah kehidupan.
Bulan ni anak-anak bercuti panjang. Miqdad sudah tamat belajar di Little Diamond Kindergarten. Alhamdulillah, dah selesai juga majlis graduation Miqdad. Sebelum balik kampung, abi bawa menonton movie Mechamato, lepas tu balik kampung sama-sama menaiki keretapi. What a sweet together moment!
Genap 12 tahun usia perkahwinan ummi dan abi, genap 40 tahun usia abi, syukur Alhamdulillah. Segala puji hanya layak buatNya.
Balik kampung, situasi tak seperti biasa. Mek dirawat di hospital, nenek pula ke Sawarak menziarahi Pak Lang yang sakit. Berdepan pula dengan musim tengkujuh dan banjir besar, Alhamdulillah masih di dalam lindunganNya. Alhamdulillah keadaan beransur baik, mek dah balik ke rumah, nenek juga dah balik.
Mendoakan hari-hari yang mendatang akan baik-baik saja, dan lebih baik lagi. Sudah melalui kesukaran dan kesedihan yang Allah saja mengerti. Sudah melalui hari-hari kelam yang Allah takdirkan buat kita. Pasti ada hikmahNya. Pasti ada yang manis dan indah menanti di depan hari. Sungguh, Allah Maha Baik.
Sudah meninggalkan kampung, untuk jalani hari di sini pula. Kembali kepada rutin di rumah, dan Anas dan Mussaab juga akan kembali bersekolah.
Semoga kan baik-baik saja semua, kita dan ahli keluarga yang kita cintai. Dalam jagaan Allah sentiasa, dalam rahmat Allah setiap masa. Tiap takdirNya, yakinlah terbaik untuk kita hambaNya.
Semoga tahun baru 2023 akan memberikan kehidupan yang lebih baik buat kita semua. Ameen
.
No comments:
Post a Comment