HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Wednesday, 5 October 2022

DABONG WITH LOVE




Trip to Dabong 

(30 September-1 Oktober 2022)


Alhamdulillah sekali lagi dapat luangkan masa bersama keluarga. Kali ini dengan keluarga mertua pula. Walaupun bukan semuanya dapat berkumpul bersama, masih tetap meriah dan menjadi kenangan terindah buat kami sekeluarga.


Percutian 2 hari 1 malam di Dabong, Kuala Krai, merakamkan kenangan yang tak mungkin dilupakan. 


Percutian ini dirancang oleh keluarga adik ipar yang memang tinggal di sana. Semua ahli keluarga dipelawa untuk menyertai percutian singkat ini, namun tak semua yang berkelapangan untuk ikut serta. Pun begitu, masih meriah (11 dewasa+12 kanak-kanak). Sebagaimana dirancang, kami menginap di Stong Heritage Eco Resort yang letaknya berdekatan dengan air terjun Stong yang memang terkenal di sini. Kami menyewa 3 buah bilik, dan satu khemah.


Sudah beberapa kali kami singgah di sini (mandi sungai) dalam perjalanan balik kampung, sebab ia memang laluan kami setiap kali balik kampung. Tapi dah lama tak singgah, sejak pandemik. 


Kali ini berbeza sebab datang dengan ramai ahli keluarga (dari Kota Bharu) dan keluarga adik ipar yang baru bertugas dan menetap di sini. Mereka menyewa resort di sini, dan merancang aktiviti keluarga.


Pada 30 September, kami bertolak dari Semenyih seawal jam 3 pagi dan tiba di destinasi pertama (juga tempat bertemu ahli keluarga yang lain) iaitu di Gua Ikan pada jam 10 pagi. Kami berada di sini lebih kurang 1 jam, kemudian makan tengahari bersama di Adam’s cafe. Masuk waktu zohor, kaum lelaki menunaikan solat jumaat di masjid Jelawang, dekat saja dengan penginapan kami. Yang perempuan check in dulu, kemudian beraktiviti bebas di tempat penginapan.


Apa yang best kat sini, ia menjanjikan ketenangan dan membantu minda untuk bebas sebentar dari kesibukan kerana lokasinya yang sangat dekat dengan alam semulajadi. Penginapan kami terletak di tepi anak sungai yang mengalir jernih, di samping landskap hutan yang kehijauan. Anak-anak dilepaskan bermain sungai sambil diawasi ahli keluarga yang dewasa. Pada awalnya hujan turun renyai, tapi lama kelamaan cuaca kembali baik, namun suasana masih sejuk, redup dan menenangkan hingga ke malam hari. 


Waktu petang selepas mandi sungai, anak-anak bermain bebas di ruang yang disediakan dengan berbagai aktiviti seperti aktiviti memanah, ping pong, trampoline dan lain-lain. Waktu petang juga, ready untuk ber’bbq’ dan menikmati hidangan yang disediakan. Alhamdulillah, menikmati hidangan di tepi sungai bersama-sama, memberikan rasa nikmat yang tersendiri.


Selesai solat maghrib dan isyak, ada game keluarga dan penyampaian hadiah (dewasa dan kanak-kanak semua dapat hadiah). Selepas itu bersedia untuk ke bilik/dan khemah masing-masing untuk tidur. Sudah satu hari menempuh perjalanan dan beraktiviti. 


Esok harinya, menikmati breakfast dan tak melepaskan peluang bermain di sungai buat kali terakhir sebelum berangkat pulang. Santai-santai saja pagi ni, makan dan main air sepuasnya. Lebih kurang jam 11 pagi, semua sudah bersiap untuk check out dan menuju ke tempat lain pula. Tak lupa bergambar kenangan dengan semua ahli keluarga yang ada. Selepas itu beransur meninggalkan Stong Heritage Eco Resort. Tempat ini pasti akan dikenang. Irama hutan yang tanpa henti di sini, pasti akan dirindui.


Kami menuju pula ke Jelawang Pipe Resort & Extreme Park, untuk beraktiviti di sini pula. Dek kesuntukan masa, hanya sempat mencuba flying fox. Pertama kali buat Anas, Mussaab dan Miqdad. Pastinya ia menjadi pengalaman yang cukup berharga. 


Kemudian makan tengahari (mi udang yang memang terkenal di sini), dan kemudian menuju pulang ke destinasi masing-masing. Kami balik ke Jeli (perjalanan lebih kurang 1 jam), dan bermalam di sini, dan bertolak balik Semenyih pada esok harinya jam 4 pagi. 


Alhamdulillah selamat sampai di rumah jam 11 pagi. Sebuah perjalanan dan percutian yang singkat, namun menyeronokkan, terutamanya buat anak-anak. 


Semoga masih berpeluang untuk merancang dan mengadakan pertemuan bersama ahli keluarga lagi di masa yang akan datang. Kalaulah boleh kumpulkan semua (10 adik beradik suami) dalam percutian seperti ini, alangkah meriahnya. Mak pasti yang paling seronok. Insya Allah, suati hari nanti.


Syukur pada Allah atas nikmat berkeluarga, moga Allah satukan hati-hati kami agar sentiasa dekat, sentiasa hidup dengan berkasih sayang dan jauh dari sengketa. Kerana keluarga adalah anugerah. Perlu sentiasa dijaga, dan dipupuk kasih sayang agar sentiasa mekar. 


Semoga Allah merahmati setiap ahli keluarga yang sangat dicintai. 




Muatan barang dari Semenyih



Berhenti rehat dan breakfast di bandar Gua Musang







Di Gua Ikan







Lunch



Bilik (1)



Mandi sungai sepuasnya


















Bilik (2)



Nak balik dah 







Geng flying fox











No comments:

Post a Comment