6-7 September 2022
Alhamdulillah berlangsung sudah program Hari Keluarga (untuk pertama kalinya) yang telah dirancang bersama. Syukur Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang, dengan kehadiran hampir kesemua ahli keluarga (kecuali yang jauh dan tak dapat ambik cuti).
Jumlah ahli keluarga adalah seramai 53 orang, bermula mek hingga ke cicitnya. Kehadiran pada hari tersebut ialah seramai 47 orang. Alhamdulillah. Walaupun last minute plan semua, kehadiran ahli keluarga sangat memuaskan.
Sebenarnya dah lama merancang nak mengadakan Hari Keluarga, namun tertangguh dek banyak halangan, termasuklah PKP yang terpaksa kita hadapi selama 2 tahun.
Tak melepaskan peluang cuti sekolah ini, tarikh Hari Keluarga dipersetujui bersama (6-7 September 2022). Ahli jawatankuasa dilantik, dibahagikan tugas, dan bertindak segera (sebab seminggu saja tempoh dari tarikh cadangan hingga ke hari pelaksanaan).
Alhamdulilah semua buat kerja dengan baik, Ajk terdiri dari anak-anak saudara yang dah besar, Hamizah cari lokasi dan tempah bilik (10 bilik yang ditempah). Mujurlah ada bilik kosong lagi, kebanyakan tempat dah penuh sebab musim cuti sekolah. Dia juga yang uruskan t-shirt family day. Syukur juga, sebab ada kedai yang boleh siapkan tempahan dengan kadar segera. Harizah uruskan bab makan, Farhani buat tentative program dan sukaneka, Najwa tempah banner, Asyraf uruskan hadiah, Athirah tolong uruskan game, dan aku pula just kutip duit dan buat pengumuman penting dalam group keluarga :D
Alhamdulillah semua menyumbang sedikit sebanyak, wang ringgit dan kudrat. Banyak juga sponsor itu dan ini, hingga duit kutipan tak habis digunakan.
Pada hari tersebut, sekitar jam 11 pagi, dimulakan dengan aktiviti bebas dan makan-makan, banyak hidangan hari ini, seperti mi dan bihun goreng, nasi berlauk, kuih muih, kambing bakar, roti jala, dan lain-lain. Ada yang tak lepaskan peluang menyewa ATV, dan bermain bebas di tepian pantai.
Selepas tunaikan solat zohor, dan selepas semua dah sampai (kecuali keluarga Faiz yang ada urusan lain), sekitar jam 3 petang dimulakan dengan sessi bergambar, seterusnya sukaneka untuk kanak-kanak dan dewasa. Agak meriah dan hampir semua melibatkan diri dalam acara yang disediakan. Acaranya adalah rebut gula-gula, lari atas tempurung, tiup belon, lari ikat kaki, makan epal, dan bola bayang.
Dah selesai acara, kembali ke aktiviti bebas. Naik ATV, mandi laut, naik banana boat dan sebagainya. Semua menikmati keseronokan satu hari ini. Meriah dan gembira yang jarang dapat dinikmati bersama-sama.
Hampir masuk waktu maghrib, semua ke dewan yang disewa untuk menikmati makan malam dan mulakan bbq. Bergilir makan dan mandi, kemudian solat berjemaah bersama-sama. Lepas solat, mendengar ucapan dari ketua keluarga iaitu abang sulung. Mek dah tak sertai program malam ni sebab penat sangat katanya, just berehat di bilik saja. Malam ni juga anak-anak menerima hadiah setiap seorang. Gembira semuanya dapat hadiah :D
Majlis ditutup dengan bacaan doa, dan sekali lagi ahli keluarga menjamu selera sebelum balik berehat di bilik masing-masing.
Esok paginya solat subuh berjemaah, menikmati keindahan pagi di tepi pantai, sarapan pagi, dan bersiap untuk pulang ke tempat masing-masing, jauh dan dekat.
Alhamdulillah, syukur tak terhingga pada Allah yang mengaturkan semua ini. Kita hanya mampu merancang, namun Allah jualah yang menjadikan ia satu kenyataan. Buat pertama kalinya Hari Keluarga ini diadakan, boleh dikatakan ia sambutan Hari Keluarga yang cukup sempurna.
Insya Allah kita akan anjurkan lagi Hari Keluarga seperti ini di masa yang akan datang, dengan perancangan yang lebih rapi, dan dengan penyertaan lebih ramai ahli keluarga.
Untuk mek, pasti mek berpuas hati dengan terkumpulnya anak-anaknya (kami 5 beradik) bersama cucu dan cicit hampir semuanya.
Mek dah uzur benar, nak melangkah pun berat. Hari ini adalah untuk mek, walaupun mek hanya mampu memerhati dari jauh dan tak mampu nak sertai semuanya. Moga mek puas hati, moga mek gembira, yang penting moga mek sentiasa redha dan restu pada anak cucu mek ini.
Moga Allah sentiasa merahmati keluarga kita ini. Moga Allah kurniakan mek dan ayah syurga tertinggi atas tiap pengorbanan dari hijrah mek dan ayah ke Kg Legeh untuk sebuah kehidupan yang lebih baik hingga dapat dinikmati oleh anak cucu hari ini. Terima kasih mek dan ayah. Moga syurga menjadi tempat kembali mek dan ayah, dan kita semua. Ameen.
The Moments
Anas, Suri, Mussaab dan Miqdad
(Ada cerita cemas sebelum mula program Hari Keluarga ini di mana Miqdad terpijak mata kail kat tepi pantai dan berkejar satu keluarga ke klinik berdekatan untuk buang mata kail yang lekat di jari Miqdad)
Family abang sulung dengan semua anak, menantu dan cucunya.
Family abang no.2. Hanya 5 anak (dari 9 semuanya) yang ada. Seorang lagi lambat sampai, dan 3 lagi tak dapat hadir.
Family abang no.3. Semua cukup, kebetulan yang sulung tengah bercuti semester.
Our family. Alhamdulillah cukup semua.
Siblings: no.1 hingga no.5
No comments:
Post a Comment