Beberapa tahun sebelum (entahlah tahun bila ia bermula), aku diserang rasa sakit yang seperti -ditekan perut dan bahagian belakang hingga rasa sempit dada. Ia ‘menyerang’ perlahan-lahan, dari sakit yang mampu ditahan hingga kemuncaknya aku hampir sesak nafas dan berpeluh satu badan. Lepas tu perlahan-lahan sakit itu menghilang hingga aku rasa sangat lega-seleganya.
Itu kisah beberapa tahun lepas. Tak selalulah sakit tu datang. Setahun hanya beberapa kali saja. Aku abaikan saja.
Tapi tahun ni (2022) sakit tu makin kerap datang. Rasa sakit tu pun dah lain sikit. Sakitnya mendatar, tapi makan masa berjam nak hilang balik. Itupun jenuh aku sapu minyak angin untuk redakan rasa sakit tu. Lama-lama dia hilang juga. Tapi sebab kerap sangat, aku dah mula risau dan bimbang. Penyakit apalah ni?? Setiap kali sakit rasa macam nak ke klinik jumpa doktor. Tapi bila sakit hilang, tak jadi nak pergi. Lagipun dengan tanggungjawab harian yang banyak ni, rasa tak berkesempatan nak ke klinik. Selagi rasa ok, jalanilah hidup macam biasa.
(14/6/2022) Sampailah satu saat, Allah takdirkan sakit itu datang lagi, dan ia makin sakit dan tak tertahan. Nak dijadikan cerita, pada hari tersebut aku agak sibuk juga, urusan ambil anak sekolah aku perlu lakukan juga (sebab suami ada urusan di Port Klang hari ni. Dan syukurlah dia bukan di laut). Sempat masak sekadarnya, ambil 3 anak dari sekolah yang berlainan, masa tu badan dah rasa tak selesa dah. Tapi anggap macam biasa, mungkin lama-lama dia akan hilang sendiri.
Sampailah suami balik, lebih kurang jam 4 petang. Siap bawa balik durian lagi. Aku makan (banyak juga la makan durian), nak jadi asbab kot, lebih kurang jam 6 petang rasa sakit aku datang lebih kuat dari biasa. Sakit perut bagai ditusuk-tusuk, rasa loya sampai muntah berkali-kali. Sakit yang semakin kuat, muntah sampai terduduk dalam toilet tu, makin muntah, makin sakitlah perut ni. Nak tukar posisi badan amat payah, makin bergerak makin sakit. Ya Allah, azabnya rasa waktu tu.
Sebab tak tahan sangat, teruslah mengadu kat suami, mulanya dia suruh rehat, lepas tu tengok aku yang macam ‘teruk’ sangat, terus dia ajak ke klinik. Apalagi bila aku jawab ‘sakit macam nak mati’ bila dia tanya (sorry sayang agak biadab jawapan tu kan).
Lepas solat maghrib suami ajak aku ke klinik. Dia pun dalam keadaan serba tak kena, nak bawa ke klinik biasa, atau ke kecemasan terus. Mulanya dia bawa ke Klinik Asyifa di Taman Pelangi Semenyih 2, berhenti depan klinik, tak jadi masuk, katanya nak ke Kajang. Balik ambil anak-anak dulu. Kemudian dia berhenti pula di Klinik Amani, tapi tak jadi masuk juga, lastly ke KPJ Kajang bahagian kecemasan. Aku di sepanjang perjalanan rasa makin lemah dan tak bermaya. Sakit masih di kemuncaknya. Aku cuba bertahan dan cuba lelapkan mata, namun tak mampu.
Sebaik sampai di KPJ Kajang dan mendaftar, aku menerima rawatan yang sepatutnya. Selepas dicucuk ubat tahan sakit, sakit tadi beransur pergi, dan aku pun dapat lelapkan mata sekejap. Biarkan saja apa doktor dan nurse nak buat. Aku dah sangat lemah dan tak berdaya.
Kemudian aku dan suami dimaklumkan bahawa pankreas aku dah bengkak, puncanya ialah batu karang (dalam hempedu) yang dah jatuh ke bawah dan kena pankreas tu. Gitulah lebih kurang penerangan doktor. Malam tu juga buat ct scan, mri, ultrasound dan yang sewaktu dengannya. Aku pada waktu tu masih lagi separa sedar, sampai la jam 12 baru rasa lega dari sakit dan sedar sepenuhnya. Suami masih setia menunggu sehingga rawatan aku selesai. Anak-anak pula dah lena semuanya dalam kereta. Kesian semua.
Akhirnya doktor decide untuk tempatkan aku di wad icu memandangkan keadaan aku yang sekarang agak serius (kalau lambat dibawa ke hospital dan mendapat rawatan boleh membawa maut katanya).
Dipendekkan cerita, aku berada di wad icu selama 2 malam/2 hari, bila keadaan dah makin stabil aku dipindahkan pula ke wad biasa. Tempoh masa aku ‘berkampung’ di KPJ Kajang ialah selama 6 malam/6 hari. Dalam tempoh tu, ada la sekali aku diserang sakit belakang yang kuat, sampai kena cucuk ubat tahan sakit. Sekali tu je la. Hari-hari yang lain keadaan aku baik saja, Alhamdulillah. Dipantau dan diberi perhatian yang secukupnya oleh nurse yang bertugas.
Akhirnya pada 20/6/2022 aku dibenarkan balik (sekejap) ke rumah, sebelum ke HUKM untuk menerima rawatan selanjutnya untuk sakit aku ni.
Pada 22/6/2022 aku ke Pusat Pakar HUKM, jumpa doktor pakar di sana. Doktor bagi tarikh untuk buat operation buang batu karang.
Pada 24/6/2022 aku masuk wad di HUKM, pada hari yang sama buat ERCP, lepas tu rehat sehari (keesokannya), dan pada 26/6/2022 menjalani pembedahan buang batu karang dalam hempedu. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan selamat.
Pada keesokan harinya, 27/6/2022 aku dibenarkan balik ke rumah.
Kini sebulan sudah berlalu. Keadaanku semakin hari semakin baik. Luka pembedahan dah elok, sakit yang dulu tak lagi menyerang. Syukur Alhamdulillah.
Banyak hikmah dan pengajaran dari ujian yang menimpa kali ini. Masa perit itu sudah aku tinggalkan. Peritnya menanggung sakit, peritnya perpisahan dengan anak-anak, dan peritnya melalui hari yang tak seperti biasa.
Alhamdulillah hari ni masih bisa bernafas lega, hidup dengan baik-baik saja. Namun dugaan dan ujian Allah sentiasa ada. Kini berdepan dengan ujian lain pula (panjang kalau nak menulis di sini). Namun tetap bersyukur, Allah menguji sekadar kemampuan diri.
Apa yang perlu aku sentiasa ingatkan pada diri, sentiasalah bersangka baik pada Allah. Diuji bagaimana pun, jangan pernah menyalahkan takdir. Redha, sabar dan tetap bersangka baik padaNya. Saat sukar itu pasti akan kita lepasi dengan baik, dengan pertolonganNya jua.
Catatan ini buat kenangan dan peringatan pada diri. Hidup ini penuh dengan warna. Gembira dan sedih sering bergantian. Suka dan duka itu lumrah. Namun pada setiapnya ada kasih dan cinta dari Allah yang satu.
No comments:
Post a Comment