HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Friday, 22 April 2022

TAHUN KEDUA MUSSAAB DI SKKR DAN SRIPN



Tahun ini (2022) masuk tahun ke-2 Mussaab di Sekolah Kebangsaan Kampung Rinching dan SRI Permata Nusaybah. Masih lagi bersekolah sessi pagi di SRIPN dan sessi petang di SKKR.


Tak ada cerita sangat yang ummi nak tulis pasal sekolah, sebab tahun lepas (tahun 1) banyak belajar secara pdpr, hanya beberapa bulan sempat hadir belajar bersemuka. Tahun pertama Mussaab di SKKR dan SRIPN berjalan baik. Alhamdulillah.


Bermula Mac 2022, kini sudah hampir 2 bulan Mussaab meneruskan pengajian sebagai murid tahun dua. Alhamdulillah, juga tiada masalah. 


Susah juga ummi nak tulis detail pasal sekolah dek kurangnya info tentang bagaimana anak-anak di sekolah. Ummi kira, semuanya berjalan lancar saja selagi cikgu tak melaporkan yang sebaliknya.


Bab belajar, ummi sentiasa harapkan Mussaab dapat ikut dengan baik setiap yang Mussaab belajar di sekolah. Walaupun ummi ‘kenal’ sangat Mussaab, macam mana perangai, cara belajar dan segalanya, tetap ummi mendoakan Mussaab dapat belajar dengan baik di sekolah. Ya, di rumah memang agak mencabar nak mengajar Mussaab yang jenis banyak berangan dan sentiasa perlu ummi ada di sebelah untuk siapkan kerja. Ummi harap Mussaab tak bawa perangai tu ke sekolah. Dah selalu sangat ummi pesan untuk belajar betul-betul dan fokus dalam kelas.


Kerap juga Mussaab cerita kena denda kat sekolah atas pelbagai alasan seperti tak bawa buku, layan kawan bersembang, kuku panjang, dan sebagainya. Tak seronok jugalah ummi bila dengar Mussaab kena denda, tapi biarlah Mussaab ambil pengajaran dari apa yang dah terjadi dan sentiasa beringat. Salah ummi juga, kerana adakala ummi terlupa nak fokus pada hal-hal tersebut. Moga Mussaab  tak ulangi kesilapan, dan berusaha jadi pelajar yang lebih baik dan disenangi guru dan kawan. Insya Allah. 


Di samping cerita kurang best, banyak lagi cerita Mussaab yang best tentang sekolah. Best ada kawan, best bila dapat cerita balik apa yang dipelajari di sekolah, best dapat beli makanan yang disukai, best dapat berbelanja di kedai sekolah, dan sebagainya. 


Alhamdulillah, boleh ummi katakan Mussaab bersekolah dengan baik. Tahu tanggungjawab sebagai pelajar, walaupun kadangkala kelihatan kurang bermotivasi untuk ke sekolah. Tanggungjawab ummi dan abi, untuk sentiasa tiupkan semangat dan ingatkan tanggungjawab Mussaab sebagai pelajar.


Hal yang seronok dan tak seronok, akan sentiasa ada dalam hidup ini. Baik di sekolah, atau di luar sekolah. Berterusan selagi kita meneruskan kehidupan di dunia ini. Oleh itu, Mussaab belajarlah untuk hadapinya dengan tenang dan bijasana. Setiap hal yang terjadi akan membuatkan kita lebih mengerti tentang hidup ini. Bergantung dan berharaplah pada Allah sentiasa. Ummi dan abi takkan selalu ada. Tapi Allah sentiasa dekat. Walau dalam apa jua situasi, mohon sajalah petunjuk dan pertolonganNya.


Ummi sentiasa akan doakan Mussaab. Semoga ‘enjoy’ belajar di sekolah yang sekarang. Semoga seronok bersama guru dan kawan-kawan. Semoga diterangkan hati dalam menerima ilmu. Ummi percaya Mussaab pasti akan terbang tinggi. Berjaya dan cemerlang, insya Allah!!

No comments:

Post a Comment