HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Friday, 1 April 2022

DI AMBANG RAMADAN

Di ambang Ramadan. Hati sayu semacam rasa. Banyak hal dan asbab. Tak tertulis dan terluah semuanya. Allah saja Maha Mengerti dan menguruskan semua untuk hambaNya.


Pertama, episod di’serang’ covid-19 satu keluarga sudah hampir tamat ceritanya. Bermula dengan Anas, diakhiri dengan abi. Seorang demi seorang, dijangkiti virus  yang selama ini kita mahu lari dan mengelak darinya. Melihat seorang demi seorang lemah dan tak bermaya, runtunnya hati ini Allah saja yang tahu. Kebetulan abi jauh, ummi perlu kuat tempuh semuanya sendiri bersama anak-anak. Namun Allah Maha Baik, kita sekeluarga tak berdepan dengan sakit teruk dan mencemaskan. Semuanya dalam keadaan dan situasi yang mampu kita tempuhi. 


Abi yang balik dari laut turut dijangkiti. Sebaik sihat perlu kembali ke berkuarantin dan bertugas di laut. Sudah di fasa endemik kita? Katanya aktiviti pelancongan sudah dibenarkan, sempadan negara dibuka seluasnya. Tiada lagi kuarantin. Tapi abi… episod kuarantinnya belum berakhir. Maka kerana itu juga, kita menyambut Ramadan tanpa abi lagi tahun ini. Allah.. jika ini ujianMu, kami percaya ia terkandung hikmah yang banyak.


Hari ini abi bermusafir ke Terengganu. Hari ini ummi bawa anak-anak ke kelas berenang (kelas setiap Sabtu). Hari ini kita jalani kehidupan biasa, seadanya menanti untuk menyambut Ramadan. Insya Allah sudah siap mental dan fizikal. Kita akan lalui Ramadan ini bersama. Insya Allah akan ada sinarnya di bulan penuh berkat dan rahmat ini.


Minggu pertama Ramadan ummi akan sibuk dengan urusan sekolah anak-anak, akan sendirian menguruskan semuanya. Moga Allah akan permudahkan, seperti selalunya Allah permudahkan. Dalam payah, sentiasa ada jalan keluarnya. Sentiasa!


Abi, dalam keadaan yang masih belum sihat sepenuhnya (sudah kali kedua abi dijangkiti covid), semoga Allah sentiasa melindungi abi. Semoga abi akan kembali sihat sepenuhnya, diberikan kekuatan dan mendapat kesihatan tubuh badan yang lebih baik untuk jalani ibadat puasa, berterawih dan sebagainya. Abi yang jauh, Allah saja yang mampu menjaganya.


Kita juga yang di sini tanpa abi, moga Allah akan sentiasa anugerahkan kesihatan dan dapat melakukan rutin di bulan Ramadan ini dengan sebaiknya. Insya Allah.


Moga puasa kita sempurna dan diterima. Moga kita akan kembali bersatu sebagai sebuah keluarga sempurna. Bertemu dan berpisah yang sentiasa membuahkan bahagia hendaknya. Ramadan dan Syawal, moga tahun ini memberikan kenangan manis dan indah buat kita. Insya Allah.






No comments:

Post a Comment