HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Saturday, 16 April 2022

ANAS KHATAM AL-QURAN



Tanggal 15 Ramadan 1443H Anas berjaya khatam al-Quran buat pertama kalinya pada usia 10 tahun 3 bulan. Tidaklah terlalu awal dan tidaklah lewat juga. Syukur Alhamdulillah atas usaha dan pencapaian.


Sesungguhnya untuk sampai ke tahap ini, perjalanannya sangatlah panjang. Semuanya bermula di rumah sejak Anas kecil lagi. Pada awal perkenalan dengan huruf-huruf hijaiyyah (ketika umur belum setahun lagi), kemudian belajar menyebut huruf-huruf berbaris, mengenal kalimah demi kalimah, menyebut ayat demi ayat, menghafal surah-surah pendek, membaca iqra’ hinggalah al-Quran. Pelbagai teknik juga ummi mencuba, demi anak ‘mendapat’ apa yang ingin disampaikan. Tidaklah sempurna, hingga kini ummi masih perlu mencuba yang lebih baik.


Untuk Al-Quran ini, Anas mula membaca juzuk pertama pada usia 7 tahun. Sebelum tu banyak tekan pada hafazan dan iqra’ juga. Masuk darjah satu, mula baca Quran dan akhirnya khatam pada usia 10 tahun ini. Agak panjang juga perjalanan untuk sampai ke penghujungnya. Sudah tentu di sepanjang perjalanan itu menempuh halangan demi halangan, tidak mampu untuk ummi sepanjang masa fokus mengajar Anas. 


Contoh, bila balik kampung, atau bercuti di mana-mana, maknanya ‘cuti’ jugalah dari membaca al-Quran. Dalam seminggu, ada hari-hari yang ummi penat dan tak mampu mengajar, ada pula ketikanya anak kurang sihat atau mengantuk sangat, ‘cuti’ jugalah jawabnya dari membaca al-Quran. Bila ummi melahirkan adik dan berpantang panjang, Quran juga dibiar sepi. Sesekali abi ada kesempatan, abilah yang mengambil tugas mengajar. Jika tidak, hmm.. ‘cuti’ teruslah.


Kerana itu nak melangkah dari satu juzuk ke satu juzuk sangatlah mengambil masa. Tapi tak mengapalah, yang penting kita tetap teruskan juga hingga ke akhirnya.


Setelah khatam al-Quran ini, pada penilaian ummi, Anas masih perlu belajar lagi dan lagi. Masih belum sempurna bacaan, masih banyak yang perlu diperbaiki. Sebutan huruf masih ada yang kurang jelas, panjang pendek bacaan kadang masih perlu ditegur, hukum tajwid baru saja nak kenal-kenal. Sudah tentunya Anas perlu ulang dari mula, dan kali ini ummi akan fokus pada memperbaiki bacaan ayat demi ayat. Tak perlu rushing, moga khatam kali kedua akan lebih sempurna. Insya Allah. 


Tahniah Anas! Ummi bersyukur akhirnya Anas khatam juga di bulan mulia penuh barakah ini, dan bulan ini juga al-Quran telah diturunkan. Dengan berkat Ramadan, moga Allah berkati juga kehidupan Anas dengan petunjuk al-Quran. Sudah sejauh ini perjalanan Anas, syukur pada Allah yang memberikan petunjukNya untuk meneruskan pengajian al-Quran ini. 


Tidak hanya terhenti di sini. Tetap akan diteruskan, tetap perlu diulang baca sehingga lancar dan sempurna bacaan. Moga Allah terangkan hati Anas, moga al-Quran tetap di hati, dan moga tenang dan bahagialah bersama al-Quran. Baca dan fahamilah ayat-ayatNya. Insya Allah jalan dan arahmu tersusun sempurna.


Mussaab, Miqdad dan Suri juga akan menyusul di belakang. Membaca ayat demi ayat, membaca hingga fasih dan sempurna, insya Allah.


Ya Allah rahmatilah kami dengan al-Quran. 

No comments:

Post a Comment