3 hari lagi bakal menyambut Ramadan. Alhamdulillah sudah bersedia fizikal dan mental nak menempuh Ramadan ini bersama anak-anak. Anas dan Mussaab juga menghitung hari, ingin mengulangi episod puasa mereka seperti tahun lepas.
Namun apa yang berbeza, Ramadan kali ini akan disambut tanpa suami di sisi. Terimbas kenangan puasa tahun lepas (2020) walaupun PKP dan tak boleh balik kampung dan ke mana-mana, suami ada bersama selama 30 hari berpuasq. Memang satu rahmat yang besar sebab first time dia dapat puasa dengan family sebulan genap (walaupun sebenarnya kerja dia tak terikat dengan PKP). Dan bila dia ada, sudah tentu beban kerjaku banyak yang ringan. Hampir setiap hari dia masak, dan uruskan yang lain-lain.
Tapi nampaknya tahun ni tak serupa. Awal Ramadan sudah berjauhan. Kuarantin di Bintulu sebelum bekerja, dan entah bila akan kembali ke pangkuan. Raya, entah dapat bersama atau tidak. Hanya mampu berdoa, moga apapun takdirNya, kita tetap mengharapkan sinar pada Ramadan dan Syawal ini. Insya Allah. Aturan Allah sudah tentunya yang terbaik.
Bezanya juga kali ini, anak-anak juga bersekolah seperti biasa pada Ramadan ini. Tak seperti tahun lepas, sekolah ditutup kerana pandemik covid-19. Anak-anak hanya berada di rumah sahaja. Tahun ni oleh sebab suami juga tak ada, akulah yang akan memikul tanggungjawab dalam menguruskan anak-anak sekolah. Banyak trip pula tu- 3 anak, 4 buah sekolah. Insya Allah akan dipermudahkan jua.
Ramadan dinanti penuh rasa teruja. Mengharapkan keberkatan dan yang baik-baik sahaja untuk Ramadan kali ini. Mungkin tak boleh balik kampung, tiada kepastian suami akan ada bersama atau tidak di hari raya nanti. Pada Allah jualah aku pasrahkan rasa. Mengharapkan redhaNya, mengharapkan sinarNya, mengharapkan ampunNya, mengharapkan tenang dan bahagia pada tiap ketentuanNya.
Ya, tahun kedua meraikan Ramadan bersama ‘covid’ yang masih belum lenyap dari bumi Allah ini. Mudah-mudahan Ramadan yang akan datang kan lebih baik.
Ramadan. Kami sedang menantimu.
No comments:
Post a Comment