HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Thursday, 10 December 2020

10 TENTANG KAMU



(11.12.2010-11.12.2020)


Bersempena 10 tahun usia perkahwinan. Aku ingin nukilkan ‘10 tentang kamu’. Kamu yang kunikahi 10 tahun yang lalu. 10 tahun genap berkenalan denganmu, tak lebih dan tak kurang :)


Dan ini aku persembahkan ‘10 tentang kamu’ :D 



1. Diam dan sembunyi ketika marah

Kamu bukan jenis yang cepat marah padaku. Tapi aku faham bila kau marah. Kau takkan tinggikan suara, apatah lagi ‘naik tangan’. Tapi kau akan menjauh dan bersendiri. Dan ia selalunya tak lama, bila sejuk hatimu, kau akan kembali mendekati semacam tak ada apa yang berlaku. Tika itu aku tahu kau sudah memaafkan. Walaupun cuma ‘begitu’, cukup untuk ‘menghukum’ aku. Sebolehnya aku tak mahu buat kau marah lagi. Takuttt..



2. Sangat membantu dalam urusan rumah

Boleh dikatakan semua urusan rumah kamu akan cuba lakukan tanpa disuruh-suruh. Memasak, laundry, kemas rumah, dll. Aku tahu kau penat bekerja dan bermusafir jauh, jika boleh mahu rehat saja di rumah. Tapi aku nampak, kau juga tak senang jika hanya duduk goyang kaki saja di rumah. Bahkan kamu paling sakit mata dan sakit hati tengok rumah tunggang langgang tak terurus baik. Hmmm



3. Tiada perkongsian peribadi di media sosial

Padamu, kisah bahagia kita tak perlu dicanang, atau ditunjuk kepada umum. Baik wajah isteri, anak-anak dan insan kesayangan yang lainnya, tak pernah kau pamerkan di media sosial. Apa lagi bercerita panjang kehidupan sendiri. Sembang dan kongsi hal peribadi di media sosial? Haih.. itu bukan kamu.



4. Hadiah tak bergantung pada tarikh tertentu

Setiap kali membeli dan memberi sesuatu padaku, katamu itu hadiah birthday, hadiah anniversary, dan sebagainya(padahal jauh sangat dari tarikh sebenarnya). Yang pastinya hadiah darimu akan datang bila-bila masa, sepanjang tahun. Makanya, tak adalah aku nak merajuk atau terasa hati bila kamu lupakan tarikh-tarikh yang sepatutnya :)



5. Peminat sukan bola sepak

Seperti kebanyakan lelaki yang lain, kamu sangat minat pada sukan bola sepak. Sentiasa ikuti perkembangan bola sepak dunia (penyokong Liverpool sejak sekian lama). Akan ada harinya (hari perlawanan bola sepak) kamu akan tidur lewat atau bangun seawal pagi yang boleh, semata-mata tak nak lepas dari menonton perlawanan. Tapi sayangnya isterimu tak berminat, makanya seorang diri sajalah melayan bola di depan tv :)



6. Penggemar apam balik dan murtabak

Aku perasan sejak sekian lama, kalau pergi pasar malam, pasar pagi, atau di mana-mana, yang akan menjadi perhatianmu adalah apam balik dan murtabak. Suka sangat makan, kalau jumpa pasti beli. Sayangnya, aku sendiri tak pandai dan tak pernah cuba nak masak makanan tu kat rumah. Hmm.. 



7. Tenang mendepani banyak masalah, kecuali melibatkan hal anak-anak.

10 tahun bersama, dah tentu menempuh banyak liku bersama. Tapi aku sukakan dirimu yang sentiasa kelihatan ‘cool’ bila timbulnya masalah ataupun ketika berdepan dengan hal yang tak terduga. Boleh bersikap rasional, dan tangani dengan sabar. Tapi satu hal yang tak boleh disorok, bila ia melibatkan hal anak, kamu akan kelihatan panik. Betul kan?



8. Kurang melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak

Maksud aku, hal-hal yang melibatkan kerja sekolah, akademik, belajar  al-Quran, kamu seperti menyerahkan semuanya padaku, kecuali bila aku yang minta ajarkan anak-anak. Aku faham kamu jarang ada di rumah, makanya bab pendidikan kamu harapkan aku dapat ambil tanggungjawab sepenuhnya. It’s ok. Walaupun jarang-jarang, ada juga time anak-anak dapat belajar dengan abi :)



9. Semua nak buat sendiri

Apa-apa kerosakan pada harta benda di rumah, atau nak pasang apa-apa je kat rumah, sebolehnya kamu nak cuba buat sendiri. Kadang-kadang jadi pomen kereta, jadi tukang paip, jadi tukang baiki handphone, technician, dan macam-macam lagi. Sebolehnya nak jimatkan kos, selagi ada daya dan kudrat. Selalunya menjadi, walau mungkin tak perfect :b yang pasti aku bangga dapat suami yang ‘serba boleh’ sepertimu :)



10. Menyayangi anak isteri dengan cara tersendiri

Aku pun tak tahu nak explain macam mana pasal ni. Tapi cukup la aku rasa kamu sangat menyayangi kami dari apa yang dah kamu beri, dan lakukan untuk kami. Walau sering jauh, walau tak sering mengungkapkan sayang, walau tanpa menukilkan madah cinta, namun cukuplah semuanya yang kamu buat, yang kamu berikan, menjadi bukti bahawa kamu sangat mencintai anak dan isterimu. Dan aku.. tak pernah ingin untuk membandingkan suamiku dengan sesiapa pun. Kerana padaku, kamu satu dalam berjuta. 



Cukup 10- dirimu yang kukenal, yang kucinta sepenuh hati kerana Allah. Walaupun sebenarnya banyak lagi ‘tentang kamu’. Cukup kau tahu aku mencintai segalanya tentang dirimu.


10 tahun- kita tak punya cerita indah sebelum berkahwin. Tapi kita mampu membina kehidupan indah selepas perkahwinan. Belum cukup sempurna, dah tentu masih banyak yang perlu diperbaiki untuk membina kehidupan yang lebih baik sebagai pasangan dan sebagai hamba. 


Terima kasih untuk 10 tahun yang terlalu indah buatku. Seperti sebuah mimpi yang menjadi kenyataan di atas hadirnya dirimu. Syukur padaNya, rahsia jodoh yang sampai sekarang aku terasakan kagum. Betapa kebesaranNya!


Dan maafkan aku yang tak cukup sempurna untukmu. Terima kasih atas cinta dan kesetiaan.


Moga Allah kurniakan kesihatan dan usia, untuk kita ‘kenal’ lagi. 10 tahun yang kurasakan terlalu pantas. Moga cinta ini kekal sampai syurga. آمين











No comments:

Post a Comment