Selepas 17 hari di Bintulu, Sarawak suamiku akhirnya pulang. Sekali lagi, penantian yang sangat lama.
Anak-anak sudah sering bertanya bila Abi akan balik? Tiada jawapan pasti, hanya mampu meminta mereka agar bersabar menunggu kepulangan Abi.
Akhirnya hari ini (juga dimaklumkan oleh suami hari ni juga) dia kembali kepada kami yang sangat merinduinya. Alhamdulillah balik dari kapal semalam, boleh terus balik ke rumah hari ni. Tak perlu kuarantin kali ke-2 (dah kuarantin 14 hari sebelum naik kapal).
Sesampai Abi di rumah, girang dan seronok sangat semuanya, seperti selalunya juga. Tapi tempoh perpisahan yang lebih lama, memberikan rasa seronok yang lebih juga. Suri juga tergamam tengok Abi muncul di rumah. Bagai mimpi agaknya. Duduk dipangku Abi tanpa sepatah kata. Tapi bila ummi nak ambil, tak nak pula. Seronok dapat duduk atas Abi :)
Selepas waktu asar, Abi bawa anak-anak ke taman South Creek yang tak jauh dari rumah. Dah lama tak ke taman. Seronok main di taman sampai diajak berkali-kali untuk balik, masih tak puas bermain. Termasuk juga suri. Hai, kesiannya semua. Dunia hanya rumah dan sekolah. Miqdad dan Suri pula, di rumah semata sepanjang ketiadaan Abi. Sekali dua ikut ummi ke kedai runcit dan hantar Mussaab sekolah. Itu sajalah.
Jam 6.30 petang, semua akur bila diajak balik. Hari dah hampir maghrib. Singgah beli nasi lemak dan takoyaki, terus balik ke rumah. Malamnya, tidur awal dan tidur lena semuanya termasuk Abi yang penat travel siang tadi.
Alhamdulilah untuk hadiah pertemuan hari ini. Allah saja yang mengerti hati ini. Betapa kepulangan suami merupakan satu rahmat buat kami sekeluarga. Bahagianya aku melihat kegembiraan anak-anak hari ini. Bahagianya melihat mereka yang seronok bermain (macam tak pernah ke taman permainan lagaknya). Bahagia melihat suami yang setia melayan dan cuba untuk menggembirakan anak-anak yang sangat mengharapkan kepulangannya. Terima kasih ya Allah, atas nikmat dan rahmat MU.
Hari ini juga ada kejutan, bila kes baharu covid-19 mencatat ke 3 angka (100 kes). Sedikit sebanyak gusar, mungkinkah akan PKP lagi? Malahan untuk keluarga kami, barangkali akan menempuh perpisahan yang lama lagi, gara-gara covid-19. Covid-19 yang memberi kesan pada banyak orang, yang merubah banyak kehidupan.
Namun tetap kembalikan hati kepada Allah. Allah jualah sebaik-baik Penolong. Tiada ujian melainkan di dalam kemampuan hamba untuk menempuhnya. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua dalam apa jua situasi. Insya Allah.
Kegembiraan hari ini;
No comments:
Post a Comment