Kenapa ummi tak kerja?
Acapkali Anas bertanyakan soalan yang sama. Acapkali juga ummi menjawab dengan jawapan yang hampir sama.
Hairan barangkali, sebab kawan-kawan ramai yang ibu mereka bekerja. Tapi ummi... duduk rumah je.
Mungkin Anas nampak ummi ‘tak bekerja’. Ummi rasa nanti Anas faham yang ummi pun sebenarnya ‘bekerja’. Cuma kerja ummi tak ada gaji macam orang lain.
Entahlah, mungkin ‘rare’ bila seorang ibu di zaman ini tak bekerja (Walaupun sebenarnya ramai je kan). Sebab zaman sekarang ni, bila dah belajar tinggi, mestilah rasa rugi kalau duduk rumah je.
Bila fikir-fikir balik, aah.. betullah. Dalam 10 adik beradik suami, aku seorang saja tak bekerja. Biras-biras semua berkerjaya, kakak ipar dan adik-adik ipar perempuan pun sama juga (kecuali yang bongsu baru habis belajar).
Apapun aku tak pernah menyesal dengan apa yang aku pilih. Aku pun tahu itu juga kemahuan suami, walaupun dulu katanya dia tak kisah aku mahu bekerja atau sebaliknya.
Dah masuk tahun ke-10 menjadi isteri dan surirumah sepenuh masa. Alhamdulillah untuk tempoh ini. Aku dapat melihat anak membesar di depan mata. Dapat uruskan sendiri setiap keperluan mereka. Dapat buat apa yang sepatutnya seorang ibu buat untuk anak-anaknya.
Namun aku tetap perlu akui, bahawa aku bukan seorang ibu yang sempurna. Aku bukanlah lebih baik berbanding ibu yang berkerjaya. Aku tetap punya banyak kekurangan. Banyak yang tak mampu aku beri, banyak yang aku tak sempat, banyak lagi yang perlu aku perbetulkan.
Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri..
Mungkin esok lusa ummi masih mendengar persoalan yang sama.
Kenapa ummi tak bekerja?
Semuanya kerana kamu.
Mungkin hari ni anak-anak ummi belum mengerti.
Insya Allah nanti akan faham
Jangan malu ye sebab ummi hanya suri rumah. Ummi bukan apa-apa seperti ibu kawan-kawanmu. Bukan guru, bukan doktor, bukan pensyarah, bukan peguam, bukan pegawai.. apapun bukan.
Tempat ummi hanya di sini.
Takkan ke mana-mana.
Kecuali jika takdir yang mahukan ummi pergi.
Kamu akan faham dan mengerti anakku
‘Kenapa ummi tak bekerja’
No comments:
Post a Comment