HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Wednesday, 24 April 2019

MOGA TIDAK KEKAL BERSAMA ALPA

Buat apa beranak ramai-ramai kalau tak pandai nak jaga...

Agak terasa juga jika mendengar ungkapan sebegitu. Entah... Walaupun sebenarnya anak 3 je. Dan insya Allah akan masuk 4 tak lama lagi. Kira ramai jugalah tu ya. Sebab masih kecil-kecil semua. Perlu pantauan hampir setiap waktu.

Hakikatnya menjaga anak bukan hal yang remeh. Apatah lagi jika anak-anak masih dalam kategori ‘kanak-kanak’. Hampir setiap masa perlu diperhatikan. Pantang alpa...

Dan hakikatnya juga, kita ibubapa tak lepas dari sifat alpa. Kisah harianku sendiri, banyak cerita yang tak ingin terjadi dalam hidup bersama anak-anak yang masih kecil ini. Ya, kerana sifat alpa yang mengundang hal-hal yang tidak diingini.

Hari ini masuk hari ke-3 suamiku di Labuan. Segala urusan rumah dan anak-anak terletak pada bahuku. Hari ke-3 ini juga sudah 2 kecederaan yang Miqdad tanggung. Satu terjatuh dari slide dan luka hidungnya. Kedua, saat bermain rantai basikal tersangkut jarinya pada rantai dan luka jarinya. Cemas aku dibuatnya.

Lalai? Ya, aku letakkan seluruh kesalahan pada diriku sendiri. Aku yang kurang cakna pada keselamatan anakku. Sibuk dengan urusan lain, terlepas pandang apa yang sedang si kecil sibukkan. Sedikit alpa, mengundang padah. Istighfar, dan syukur Allah masih menjaga. Bagaimana jika lebih teruk dari yang ini? Menangis...

Bukan salah beranak ramai-untuk mereka yang memang rezekinya ramai anak. Aku faham, hampir tiap detik mendepani cemas. Ada ketikanya terlepas pandang. Hingga mencetus pelbagai masalah, boleh jadi ada yang tak senang melihat dan menjatuhkan hukum... tak pandai jaga anak! 

Bukan masalah anak ramai atau sedikit. Anak seorang pun tak termampu nak dijaga dibelai tiap masa. Adakala musibah menimpa juga. Dalam kita sibuk, kadang anak jatuh tercedera. Dalam kita kalut, anak keluar merayap sampai ke jalan. Dalam kita tumpukan pada hal yang lain, anak meneroka sampai kita terlupa yang mereka itu ada sedang buat ‘kerja’ juga.

Tapi semua itu tetap perlu diambil sebagai pengajaran dan peringatan. Agar ia tak berulang lagi. Jangan alpa kita terus kekal bersama diri. Tak belajar dari kesilapan. Terus-terus anak menjadi mangsa. Terus-terus kita dipandang tak pandai menjaga anak.

Pesanan ini untuk diriku sendiri. Aku yang banyak lalai. Yang tak akan tersentak jika tidak dihentak. Banyak episod yang tak mahu diingat-ingatkan. Biarkan ia tinggal sebagai pengajaran buat diri, untuk jadi ibu yang lebih cakna dan bertanggungjawab dalam mengasuh dan menjaga anak-anak. Bukan sekadar memberi makan minum, tetapi juga perhatian dan pengawasan setiap masa.

Menjadi ibubapa tidak mudahkan? Jika belum mengambil tempatnya, jangan berkata-kata tidak baik pada yang sedang melaluinya. Jika anak-anak anda terjaga dan terurus baik, jangan mudah melabel ibubapa lain yang mungkin tidak sebaik anda, sokong dan doalah, jangan-jangan cabaran hidupnya jauh lebih besar, dan mengharapkan sokongan insan lain dalam menempuh kehidupannya bersama anak-anak.

Kita semua ibubapa yang terbaik dan akan mencuba sehabis baik, untuk anak-anak yang kita kasihi. Moga Allah sentiasa menjaga dan melindungi. Insya Allah.






No comments:

Post a Comment