HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Monday, 14 January 2019

HILANG FOKUS DAN TARGET





Tahun baru dah berlalu 15 hari. Lagi 2 minggu, masuklah bulan baru pula. Cepat sangatlah masa ni berjalan kan? Rupanya kita pun dah mendekati tahun 2020 dah :D


Aku masih begini. Masih sedang cuba untuk membiasakan diri dengan rutin baru di tahun baru ini. Teruk sangatlah bunyinya. Apalah yang mencabar sangat di tahun baru ni. Hehe.


Terus terang, tak seperti tahun-tahun sebelum ini yang mana aku begitu excited bila nak masuk tahun baru, sebab tahun baru sentiasa ada hal baru dan cerita baru yang akan tercipta . Dari zaman single, ke zaman berdua, kemudian ada anak-anak kecil, kemudian anak-anak masuk sekolah, dan sebagainya. Tahun baru, sentiasa mencipta rutin dan kenangan baru dan berbeza. Dan aku bersedia, siapkan fizikal dan mental untuk tempuh semua.


Seperti tahun-tahun yang dulu di mana aku takut nak pegang stereng kereta dan berada di jalan raya, perlahan- lahan (kerana terpaksa dan kerana keperluan seiring masa yang berjalan) aku kemudian jadi lebih berani dan suami dah lega lepaskan aku ke mana-mana atas urusan anak-anak dan keperluan yang lain. Subhanallah. Masa yang berjalan banyak mengubah diri dalam banyak aspek. Jika direnung, kita hari ini banyak berbeza dengan kita yang dulu.


Awal tahun ini, aku jadi hilang arah. Bukan tak bersedia, sedangkan dari awal dah siapkan mental nak tempuh tahun baru. Perbezaan ketara tahun ini adalah Anas yang tidak lagi belajar di kindergarten. Anas dah melangkah ke tahun satu, dan sekolah pula letaknya jauh dari rumah. Ya, dah siap sedia dengan rutin tahun baru, menghantar dan mengambil dia dari sekolah setiap hari, menempuh perjalanan 15-20 minit, dan menempuh kesesakan di jalan raya yang sebelum ni tak pernah merasa pun.


Lagi, setiap hari juga perlu mengejutkan anak-anak lebih awal dari tahun sebelumnya, terutama time suami tiada di rumah, segalanya aku lah yang perlu bertanggungjawab untuk lakukan. Awal pagi dah kecoh dan kalut , macam tulah gambarannya :)


Dah 2 minggu berlalu, nak kata teruk sangat tu tak adalah, cuma merasakan diri ni belum cukup bersedia nak melalui hari-hari. Rasa macam berat nak jalankan tugas harian, rasa macam rela dalam terpaksa. Entah, nak describe macam mana lagi ya..


Mungkin juga masih di awal tahun baru. Mungkin perlu mengambil lebih masa. Planner langsung tak update, tahun ni tak plan apa-apa bab pendidikan dan aktiviti anak-anak di rumah, setakat ni hanya konsisten mengajar al-Quran dan iqra saja setiap hari. Lain-lain, anak-anak beraktiviti sendiri. 


Azam tahun baru? Biasanya carry forward je azam tahun lepas :D dan selalunya fokus je pada azam tu. Tapi tahun ni azam pun tak terfikir. Hehe. Apalah teruk sangat ni.


Tapi dah tentu ada cerita di sebalik lemah dan lemaunya diri ini. Mungkin lain hari tulis lagilah di sini apa sebabnya. Hakikatnya nak menulis pun ‘malas’ semacam. Rasa tak nak buat apa-apa, tapi jangan mimpilah kan. Tahap mana malas pun, ada tanggungjawab yang tak boleh diabaikan. Hadaplah semua dengan paksa dan rela. Kuatkan semangat, pujuk hati, mohon kekuatan dan keampunan DIA yang Maha Mengerti.


Pun begitu, aku harap dan aku percaya semua ini takkan lama. Akan aku cuba kumpul semangat dan cipta kekuatan untuk menempuh hari-hari. Demi anak-anak, demi suami yang meletakkan harapan, demi Allah yang bukan saja-saja menyerahkan amanah besar dalam hidup ini untuk aku jaga dan laksanakan tanggungjawab.


Moga seiring masa berjalan, aku juga semakin siap untuk menggalas tanggungjawab dan menempuh hari yang lebih mencabar. Anak-anakku, nanti ummi jadi kuat dan jadi yang lebih baik ya. Suamiku, doakan aku untuk jadi yang lebih baik dari diri aku yang sebelumnya. Kerana pasti, kau lebih mengenali baik dan buruknya aku.


Ya Allah, berikan petunjukMu, pinjamkan aku kekuatan untuk gagah melangkah, untuk terus mencuba dan menjadi yang terbaik untuk keluargaku, dan moga dengan tangan ini juga, ada bakti yang mampu aku curahkan untuk anak bangsa dan agamaMu yang mulia. 


Kerana aku juga impikan syurga. 

Meski aku kerdil tak punya apa.

No comments:

Post a Comment