HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Saturday, 10 November 2018

STRUGGLE UMMI: JIKA KALIAN PERLU TAHU





Ummi mula jadikan rutin mengajar al-Quran pada tahun 2018. Ya, baru tahun ini cuba untuk disiplinkan anak-anak untuk belajar dan  membaca al-Quran. Untuk jadikan anak-anak celik al-Quran. Sebelum ini, mengajar secara spontan saja, tak kira masa dan tak jadikan rutin.


Dan ianya tak mudah. Sering berhalangan. Untuk tenang mengajar. Untuk senang dituruti. Terutama, melalui hari dan malam tanpa abi. Miqdad yang masih kecil, masih menyusu badan, masih sering mahu diberi perhatian. Setiap kali tiba masanya untuk mengajarkan abang, dia mula mencari akal agar tumpuan ummi tetap pada dia. 


Mahu disusukan, sambil mengajar sambil menyusukan. Mahu duduk di riba, sambil mengajar sambil meriba. Mahu dibacakan buku, tangguh sebentar mengajar abang, bacakan dulu buku untuknya. Jika berkali dia panggil tak dilayan, al-Quran dan Iqra’ abang jadi mangsa ditarik dan dikoyak. Kadang menangis, layan sampai reda, atau sampai dia tertidur.


Alangkah lega bila abang yang seorang sudi melayan dan ajak bermain, di ketika ummi fokus mengajar abang yang seorang lagi. Dapatlah tamatkan sessi mengajar dengan tenang. 


Itu belum masuk tingkah abang yang kadang liat nak membaca. Diseru berkali, tidak datang-datang. Dah buka al-Quran, masih sibuk dengan hal lain. Yang main-main, yang cuba berjenaka, yang tiba-tiba mengantuk, dan bermacam ragam. 


Geram? Ya Ada ketikanya ummi berang dan naik angin. Kadang mengajar dengan suara tinggi (sangat tak bagus). Ada ketika disedarkan; tak perlu mengajar dalam keadaan marah begini. Berhentilah. Tamatkan bacaan. Esok sambung kembali. 


Saat mengajar ini, ummi perlu benar-benar fokus. Fokus pada yang seorang, yang berdua lagi biarkan dengan hal sendiri. Walau tak sering melafaz, tapi Allah sentiasa jaga. DIA tahu mata ummi tak mampu untuk sering memerhati. Hati ummi tak selalu sedar akan adanya ‘tiga’ yg perlu sering diperhatikan.


Kerana itu. Di ketika abi ada, ummi mengharapkn abi sentiasa sudi melayan, ketika seorang sedang perlu diajar dan difokuskan, yang dua lagi ada yang menjaga dan melayan. Ummi harapkan pengertian itu.


Dan itu adalah cerita di awal-awal tahun dulu. Kini Miqdad dah besar. Dah semakin mengerti. Tak meminta susu lagi di ketika sessi mengajar al-Quran. Banyak main, sering pula dilayan abang. Tetapi tetap ada ketikanya perlu ‘mengajar’ dia terlebih dahulu sebelum diberikan ruang pada yang lain. Anas dan Mussaab, sudah semakin memahami rutin mengaji, sentiasa siap dan sedia, walaupun ada ketika penat dan geram juga ummi bila berulangkali perlu memanggil.



Dan inilah masa mengajar yang sangat perlu dimanfaatkan. Dari selesai solat maghrib, hingga masuknya waktu isyak. Bergiliran Anas dan Mussaab. Jika ada halangan sedikit, adalah nanti yang tertinggal. Atau alamaknya, sambung esok sajalah. Itu belum cerita balik kampung dan travel jauh. 


Tetapi Alhamdulillah, seiring masa berjalan, semuanya bertambah baik. Mengajar dan mengajak tak sesukar dulu lagi. Banyak yang Allah telah mudahkan. Anas, Mussaab dan Miqdad, banyak ‘mendapat’ dari rutin mengaji setiap malam. Semoga akan lebih baik. Insya Allah.


Ummi faham. Setiap ibubapa berdepan dengan cabaran tersendiri dalam ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Pengertian ‘mana yang terbaik’ itu mungkin berbeza-beza, bg setiap ibubapa, bahkan mungkin suami dan isteri. Namun ibubapa akan mencuba dan terus mencuba dengan segala keringat, kudrat dan kemampuan yang ada, untuk tetap mencuba dan memberi. Demi untuk anak-anak Yang tercinta.


Ya Allah. Dalam usaha untuk memberikan yang terbaik ini, moga  segalanya tetap akan mampu kami harung, meski apa bentuk ujian dan dugaan yg bakal ditempuh.


آمين

No comments:

Post a Comment