Mendengar berita anak kecil disakiti dan dizalimi bahkan sehingga menyebabkan kematian, sakit yang dirasa bak jantung sedang ditusuk-tusuk. Itulah gambaran rasa seorang ibu sepertiku. Dan aku percaya, semua ibu yang ‘waras’ pasti berkongsikan perasaan yang sama.
Hari ini Malaysia dikejutkan dengan kematian baby Adam Rayqal yang baru berusia 5 bulan. Bayi yang dilaporkan diculik oleh pengasuhnya, rupanya ditemui mati dan disembunyikan di dalam peti ais pengsuhnya. Setakat ini punca kematian masih belum dikenalpasti. Tak terjangkau dek akal kan? Biar apa punca, betapa ‘tergamak’nya pengasuh membuat aduan palsu dan sanggup pula menyimpan tubuh kaku si kecil di dalam peti ais. Betapa tergamak!
Bagi yang menjaga dan mengasuh sendiri anak-anak sepertiku, rasa kegusaran itu masih boleh dibendung. Sekurang -kurangnya, anak-anak hampir setiap masa berada di depan mata, dan seorang ibu takkan tergamak untuk menyakiti anak-anak sendiri. Pun begitu, tak dinafikan masih juga ada ‘kes’ anak-anak yang dizalimi ibubapa sendiri.
Kegusaran dan kebimbangan ini pasti akan lebih menyelubungi perasaan ibu-ibu yang bekerja, yang setiap hari terpaksa menyerahkan jagaan anak-anak kepada pengasuh. Pastinya mendengar kes sebegini menjadi satu mimpi dan igauan ngeri buat mereka. Bukan sekali ini, sudah berkali-kali negara ini digemparkan dengan kes penderaan dan penganiayaan pengasuh terhadap anak-anak asuhan mereka. Betapa ‘sakit dan tenat’nya masyarakat kita ini.
Kalau mampu aku meminta agar semua ibu kembali ke rumah dan menjaga anak-anak dengan tangan sendiri....
Tetapi aku juga tahu mustahil untuk semuanya kembali ke rumah atas alasan-alasan yang pelbagai dan mungkin tak mampu dielakkan. Kalian wahai ibu, memohon dan berdoalah sentiasa agar-agar anak-anak akan sentiasa dilindungi Allah dan mendapat asuhan baik dan sempurna meskipun bukan dengan tangan kita sendiri.
Sama-sama kita mendoakan agar ibu dan ayah Adik Adam Rayqal diberi kekuatan dan kesabaran yang kuat untuk menghadapi ujian yang sangat hebat ini. Semoga Allah memelihara mereka dan mentakdirkan ‘sesuatu’ yang lebih baik buat mereka yang tak pernah terjangkau dek akal mereka sendiri. Semoga mereka tabah, tenang dan redha menghadapi ujian ini. Insya Allah si kecil itu sedang menanti untuk menyambut kedatangan ibu dan ayahnya di syurga sana. Bertahan dan bertabahlah!
Adik Adam Rayqal, pastinya sedang tersenyum dan bahagia di sana.
Semoga Allah melindungi kita dan anak-anak kita dari segala bentuk kezaliman :,(
Semoga Allah menjaga dan melindungi anak-anak ummi tercinta
No comments:
Post a Comment