Pada 1/3/18, aku dan suami membawa Miqdad ke klinik oftalmologi di HRPZ, Kota Bharu untuk memenuhi temujanji Miqdad. Selepas operation mata Miqdad pada 14/12/17, kini tibalah harinya untuk dibuang tiub kecil di dalam mata Miqdad.
Kami datang ke hospital seawal jam 8 pagi untuk membuat pendaftaran. Klinik masih lengang dan masih belum dipenuhi dengan pesakit lain. Ingatkan, dapatlah jumpa doktor lebih awal dan boleh cepat balik ke rumah. Tapi rupanya tidak juga. Agak lama dan agak jemu menanti, dari jam 8 hinggalah jam 11 pagi, barulah nama Miqdad dipanggil. Ketika itu Miqdad yang tadinya lena sebentar sudah bangun dan sudah mula meragam. Dipangku meronta, diletak juga menangis. Dah lapar dan bosan agaknya berada lama di situ. Tapi apa boleh buat.
Sebaik nama Miqdad dipanggil, kami terus masuk ke dalam bilik doktor yang bertugas. Kali ini dengan doktor lain, yang belum pernah kami berurusan. Dia bertanya hal Miqdad dari awal hingga akhir. Doktor ini juga yang membuang tiub di dalam mata Miqdad. Miqdad dibungkus dengan kain dan dipegang kedua tangannya. Dia menangis dan cuba meronta. Sedikit ubat bius dititis ke dalam matanya, dan dengan mudah doktor menarik keluar tiub halus berukuran lebih kurang 3cm (agak-agak je). Bungkusan kain dibuka, dan aku memangku Miqdad yang masih dalam tangisnya. Kesian Miqdad. Masih fobia agaknya. Namun Alhamdulillah selesai sudah urusan Miqdad. Miqdad perlu hadir satu lagi temujanji 4 bulan yang akan datang. Semoga itu adalah temujanji terakhir Miqdad di klinik ini. Insya Allah.
14/12/17-1/3/18, lebih kurang 2 bulan setengah masa berlalu. Teringat ummi pada kejadian cemas itu. Ummi tak lepas dari rasa sedih dan rasa bersalah. Dari detik ia terjadi, hingga detik melihat wajah Miqdad selepas pembedahan dan hari-hari yang seterusnya. Allah merawat hati ummi dengan kasih sayangNya. Allah kembalikan kesihatan mata Miqdad dan tidak meninggalkan sedikit pun cela. Tak tahu bagaimana ummi nak luahkan. Betapa hebatnya kasih Allah pada kita. Allah menguji, dan Allah merawat keresahan hati.
Syukur pada Allah yang Maha Kuasa. Namun pada Miqdad, tetap ummi ingin nyatakan, maafkan ummi! Atas segala kesakitan yang Miqdad terpaksa tanggung, maafkanlah Ummi yang gagal menjaga dan melindungi :,( Ummi sayang Miqdad. Dan sayang semua anak ummi. Baik-baiklah semua ya. Tak sanggup ummi nak melihat situasi yang seumpama itu lagi.
Ya Allah. Lindungilah Anas, Mussaab dan Miqdad.
Aameen.
Miqdad yang masih ceria dan lincah bermain di jam pertama di klinik.
Abi juga kebosanan menanti. 2 kali turun naik untuk isi syiling di meter parking :)
Abi juga kebosanan menanti. 2 kali turun naik untuk isi syiling di meter parking :)
No comments:
Post a Comment