Sambungan dari:
14/12/17 (Hari Pembedahan)
4.30 pagi
Miqdad menyusu kali terakhir jam 2.15 pagi. Jam 4.30, dia terjaga dan menangis untuk menyusu lagi. Kali ini aku hanya mampu memangku untuk meredakan tangisannya yang semakin kuat. Puas dipujuk, tetap juga menangis. Aku bawa Miqdad ke surau. Miqdad berhenti menangis bila aku mula membaca al-Quran. Dia mula bermain dan dalam beberapa tempoh, tak menangis lagi. Bila dah bosan Miqdad kembali menangis dan minta didukung. Kesian Miqdad, ummi tak mampu nak menyusukan Miqdad. Ummi berikan air kosong, Miqdad hanya minum sedikit.
Ummi solat subuh ditemani Miqdad yang masih menangis. Miqdad tak mahu dengan sesiapa kecuali ummi.
Jam 7.30, abi datang membawa keperluan dan menunggu masa untuk dipanggil ke bilik pembedahan.
Main di dalam surau wad melati
8.00 pagi
Miqdad dibawa ke dewan bedah Intan. Aku dan suami juga ikut menghantar Miqdad ke dewan pembedahan. Aku hanya menghantar sehingga ke muka pintu. Suamiku masuk bersama petugas bilik tersebut membawa Miqdad. Miqdad ok saja, masih tak mengerti apa yang bakal terjadi padanya. Selepas setengah jam, selepas seluruh badan Miqdad dibius, suamiku juga diminta keluar, kerana operation akan dijalankan. Aku dan suamiku menanti di depan dewan pembedahan.
Hanya Allah yang mengerti perasaanku dan suamiku. Pilu hati menanti sehingga segalanya selesai. Al-Quran, doa dan air mata menjadi teman. Aku redha dan percaya, segala kesedihan ini akan berakhir. Miqdad tak berdosa. Yang berdosa itu aku!
Dibawa masuk ke dalam dewan bedah
10.30 pagi
Aku dipanggil masuk ke dalam dewan pembedahan. Suamiku menanti di luar. Miqdad sudah ditempatkan di ruang pemulihan. Aku menyambut dan merangkul badan Miqdad dengan penuh sebak. Sebak melihat keadaannya yang masih belum sedarkan diri. Sesekali dia menangis. Tapi mata masih belum dapat dibuka. Bila ditenangkan dia menyambung tidurnya. Kesan bius dan ubat tidur masih belum habis. Aku duduk di kerusi memangku Miqdad sementara menunggu dibawa ke wad. Corong oksigen didekatkan ke muka Miqdad untuk membantu pernafasannya.
11.05 pagi
Miqdad mula membuka mata buat pertama kali. Aku melihat matanya seperti perit untuk dibuka. Mungkin dia silau. Miqdad terbatuk dan termuntah. Namun kerana dari semalam tidak makan dan minum, hanya air liur yang dimuntahkan. Dia masih dalam keadaan mamai. Bila ditenangkan, Miqdad tidur kembali.
Dalam 15 minit kemudian Miqdad membuka mata sekali lagi. Seperti tadi, dia memuntahkan air liur juga. Kata petugas di situ, ia tindakbalas dari ubat bius tadi. Kemudian Miqdad tidur lagi.
12 tengahari
Petugas dari wad melati membawa Miqdad kembali ke wad. Miqdad masih tidur dengan lena. Tapi Miqdad hanya lena di pangkuanku atau abinya sahaja. Bila diletakkan di katil, Miqdad akan menangis. Aku dan suamiku bergilir memangku Miqdad sehingga kami berdua selesai solat Zuhur, suamiku meninggalkan wad dan aku tidur di katil bersama Miqdad yang masih mengantuk, dan masih dalam keadaan perut kosong.
Dr Punitan, doktor pakar yang merawat dan melakukan pembedahan mata Miqdad datang ke wad dan memberikan sedikit penerangan berkenaan pembedahan tadi. Katanya, satu tiub kecil dimasukkan ke dalam mata Miqdad dan tiub itu akan dibuang semula selepas 6 minggu. Dia berpesan supaya sentiasa memantau Miqdad agar tidak menggaru atau menggosokkan tangannya ke mata. Miqdad dibenarkan menyusu selepas 4 jam tamat pembedahan.
Masih mengantuk
3.30 petang
Miqdad menyusu buat pertama kali selepas pembedahannya. Masih dalam keadaan mengantuk dan mamai. Agak banyak juga Miqdad menyusu, dan sambung tidur kembali.
Selepas solat asar, suamiku kembali ke wad. Giliran aku solat, dan dia menjaga Miqdad. Miqdad terjaga dan menangis. Suamiku memangkunya. Miqdad membuka mata lagi. Kali ini lebih lama. Tapi masih dalam keadaan tidak selesa dan seperti keperitan. Kemudian Miqdad menyambung tidur semula.
Suamiku membuat pembayaran sebanyak rm450 di klinik mata (kos memasukkan tiub tadi)
5.30 petang
Miqdad bangun dan kelihatan lebih cergas sebaik mendengar suara abang-abangnya yang datang bersama nenek mereka. Miqdad sudah mula tersenyum dan makan dengan berselera. Hari ini ramai yang datang ziarah Miqdad. Pok muda dan abang hariz, mak ngah, mak chu dan pak chu, nenek, umar, uwais, urwah, kak jah, abang zaid dan Mohd.
Suamiku balik selepas solat maghrib, dan malam ini Miqdad tidur dengan sangat lena seperti kebiasaanya.
Mula ceria bila abang-abang datang melawat
Bersambung: KRONOLOGI SEBUAH TRAGEDI: DAY 3
No comments:
Post a Comment