9/12/17: kami mengunjungi air terjun stong yang letaknya di Jelawang, Kuala Krai. Ini merupakan kunjungan kali ke-3 aku dan suami. Dan kali ke-2 buat anak-anak kami.
Air terjun Stong diiktiraf sebagai air terjun tertinggi di Asia Tenggara. Memang agak tinggi, dari jauh lagi dah nampak air terjunnya.
Kali ini suami dan anak-anak tak lepaskan peluang untuk mandi di air terjun. Airnya sangat bersih, jernih dan sejuk. Tapi agak berbahaya bagi anak-anak kecil seperti Anas, Mussaab dan Miqdad kerana batunya yang sangat licin. Memang tak boleh nak lepaskan anak-anak bermain bebas. Ketiga-tiganya perlu berpaut rapat dengan abi mereka. Tak boleh nak bebas bermain sesuka hati.
Sekadar untuk puaskan kehendak anak-anak yang nak bermain air, suamiku membawa anak-anak turun ke dalam sungai dan mandi untuk seketika. Bergilir suamiku memangku Miqdad, dan kemudian Anas dan Mussaab. Tak boleh nak mengawal ketiganya sekaligus, kerana keadaan agak berbahaya. Aku sendiri pun tak berani nak ikut bermain air. Hanya memerhati dari atas batu.
Hari ini orang tak ramai, seperti kunjungan kami yang sebelum ini juga. Kami hanya bermain air di tempat yang paling bawah, kerana tak daya nak mendaki ke atas bersama anak-anak kecil. Tak pasti bagaimana pemandangan dari atas, mungkin lebih cantik. Dan pasti, lebih berbahaya.
Alhamdulillah, tenang melihat khazanah hutan yang masih terpelihara ini. Anugerah Allah yang tak ternilai harganya. Jangan pula nanti ada tangan yang merosakkan.
Pada pandanganku, tempat ini kurang sesuai untuk membawa anak-anak kecil untuk mandi mandi. Kalau sekadar untuk berkelah dan melihat keindahan hutan dan air terjun, tak mengapa. Tapi kalau nak mandi, mungkin perlu cari tempat lain yang lebih terjamin selamat :)
No comments:
Post a Comment