Mak cik Khadijah termenung panjang di sudut ruang tamu rumahnya. Ada rasa sendu dan sayu di dalam hati tuanya yang kini menginjak usia 65 tahun. Suaminya sudah lama meninggal dunia, hampir 10 tahun yang lalu. Mereka dikurniakan 8 orang anak yang kesemuanya sudah menginjak usia dewasa. Anak anaknya, kecuali yang bongsu sudah berumahtangga dan dikurniakan anak anak. Mereka juga berjaya dalam pelajaran dan kerjaya masing masing. Mak cik Khadijah sudah mampu bernafas lega kerana tiada lagi anak yang di bawah tanggungannya. Anak anaknya juga ada yang tinggal jauh, dan ada juga yang berdekatan. Hanya anaknya yang bongsu, iaitu Ilham yang masih tinggal bersamanya.
Hati tuanya sayu memikirkan perihal anak bongsunya yang lain dari yang lain. Bukan ingin membandingkan, tetapi Ilham memang sangat berbeza. Sebelum ini dia hanya pasrah, mengikut rentak anak lelaki bongsunya itu. Anaknya tetap anak yang baik dan hormat padanya. Namun, dalam bab menjaga agama, kelihatannya Ilham sering memandang remeh. Solat 5 waktu sering dilengahkan. Masjid jangan haraplah dia nak pijak walau ibunya berulangkali menasihati. Berbagai alasan yang diberikan. Mungkin kerana ibunya terlalu berlembut, kata katanya bagai masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Namun mak cik Khadijah masih mampu mengucapkan syukur, kerana solat 5 waktu masih terjaga. Itu baru bab solat, belum bab yang lain lagi. Boleh dikatakan banyak perkara yang membuatkan ibunya terlebih risau memikirkan tentangnya. Risau akan masa depannya, risau akan akhiratnya.
Terngiang ngiang di telinganya isi perbualannya dengan Ilham semalam. Perkara yang dibincangkan semalam, benar benar membuatkan dia resah dan berfikir panjang. Ilham menyatakan hasratnya untuk mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihannya. Katanya, teman sekolej ketika belajar dahulu. Kini sudah setahun Ilham bekerja sebagai pereka grafik di sebuah syarikat penerbitan. Gadis itu pula bekerja di syarikat yang berdekatan dengan tempat kerja Ilham. Katanya, hampir setiap hari mereka bertemu berdua, keluar makan dan shopping.
Mak cik Khadijah hanya mampu beristighfar panjang. Bukan dia tak pernah menasihati, bahawa bercinta, berdating dan keluar berdua itu perbuatan yang mengundang dosa. Berkali kali dia berpesan, namun nampaknya Ilham tak ambil kisah akan nasihat ibunya. Apatah lagi saat Ilham menunjukkan gambar gadis idamannya itu melalui handphonenya. Mak cik Khadijah akui gadis itu sangat cantik. Putih melepak, manis dan rambut pula panjang mengurai menambahkan ayunya. Mak cik Khadijah risau dan bimbang, jika kecantikan wajah itu yang sebenarnya memikat hati anaknya. Dari segi penampilan pula, jelas tidak menutup aurat. Sangat berbeza dengan anak anak dan menantu perempuannya. Namun mak cik Khadijah tak mampu berkata kata untuk menyatakan tidak, pada kemahuan Ilham. Seperti selalunya, dia ibu yang sentiasa tenang meski hati diusik marah dan tak setuju.
"Kalau Ilham benar benar serius dalam hal ini, ummi takde halangan. Cuma ada baiknya ummi berbincang dengan abang kakak Ilham dulu." Mak cik Khadijah tetap meraikan hasrat hati anak bongsunya itu. Ilham mengangguk senang dan gembira dengan respon ibunya. Dan dia juga tahu, perlu ada perbincangan dengan abang kakaknya yang lain. Dia menaruh harapan yang tinggi, meski dia juga sedar, pilihannya adalah berbeza.
…..
Malam itu rumah Mak cik khadijah dipenuhi dengan anak cucunya. Hampir kesemua mereka pulang setelah ibu mereka meminta pulang untuk berbincang hal penting. Masing masing tertanya tanya apakah hal yang penting sangat tu. Kebetulan juga malam itu Ilham tak dapat bersama kerana urusan kerjanya, perbincangan diteruskan tanpa kehadirannya.
Mak cik Khadijah menyatakan tujuan penting yang menjadi tanda tanya anak anaknya. Dia menyatakan hasrat Ilham untuk merisik dan mengahwini gadis pilihannya. Mak cik Khadijah juga menerangkan serba sedikit tentang gadis itu, menurut apa yang dia tahu. Sudah pasti, setiap orang memberi respon yang berbeza. Ada yang jelas tidak suka dengan pilihan hati Ilham yang jelas berbeza penampilannya. Ada yang menyambut baik hasrat adik bongsu yang ingin menamatkan zaman bujang, ada juga yang hanya angguk dan diam tanpa respon yang jelas. Mak cik Khadijah sudah dapat meneka reaksi anak anaknya. Maklum saja, dia kenal benar dengan setiap anaknya. Mereka serius berbincang, mujur saja tiada kekecohan. Mereka melontarkan pandangan dan mengambil kata sepakat.
Malam semakin lanjut. Perbincangan mereka akhirnya tamat. Masing masing meminta diri untuk pulang ke rumah. Namun ada juga yang bermalam di rumah ibu mereka. Ilham masih belum pulang. Mungkin esok hari.
…..
Pagi itu seperti biasa mak cik Khadijah bersarapan dengan anak bongsunya Ilham. Dia mengambil peluang untuk berbicara dengan Ilham tentang perkara penting itu memandangkan Ilham tidak bekerja hari itu.
"Ummi dah berbincang dengan abang dan kakak Am. Mereka semua tiada masalah dengan pilihan Am."
Ibunya memulakan kata dengan khabar gembira, lantas mematikan debaran di dada Ilham. Ilham tersenyum. Agak kelegaan.
"Ummi.. Betul ke ummi tak kisah dengan pilihan Am?"
Ilham masih mendambakan kepastian. Kerana dia tahu, pilihannya berbeza. Namun dia ikhlas mencintai Sofya. Ibunya membalas dengan senyuman.
"Am.. Kalau Am tanya ummi bagaimana menantu pilihan, pasti jawapan ummi berbeza dengan apa yang Am lihat pada diri Sofya. Tapi ummi tak nak lukakan hati Am. Jika dia pilihan Am, ummi ikhlas menerima dia sebagai menantu ummi dan akan menyayangi dia seperti menantu ummi yang lain"
Mak cik Khadijah memberikan jawapan yang ikhlas dari hatinya. Ilham memahami maksud ibunya. Dia sangat mengenali ibunya yang berhati mulia ini. Ibunya sudah mendidik mereka adik beradik dengan baik sekali. Ibunya juga sangat menitikberatkan hal agama. Lihatlah abang dan kakaknya. Mereka semua ada yang bergelar ustaz dan ustazah, doktor, peguam, guru, pensyarah, dan sebagainya. Ipar duainya juga tak kurang hebat. Malah, mereka semua memiliki ciri muslim dan muslimah yang menyejukkan hati ibunya.
Ilham sedar dia tak seperti mereka. Dari sekolah lagi sudah menimbulkan banyak masalah. Kerap dimarah abang abang kerana sikap nakal dan suka terpengaruh dengan kawan. Lagi teruk selepas ayahnya meninggal dunia. Kerap dia didenda di sekolah kerana berbagai kesalahan. Masuk ke kolej, perangai baik sikit. Tapi tetap bebas berkawan dengan rakan dari pelbagai latar belakang dan jantina. Pendek kata hidupnya lebih bebas dan terbuka. Jauh dari nilai islam yang sangat menjaga. Ibunya yang sangat baik dan sabar, tak pernah berhenti menasihati. Entah berapa banyak air matanya tumpah, Ilham tak pernah tahu.
Kini di usia yang lebih dewasa, dia menjadi lebih matang. Mula memikirkan tentang jodoh dengan lebih serius sehingga mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Sofya, teman belajarnya dulu. Mereka tidak pernah bercinta suatu ketika dulu. Dia juga tidak pernah ada perasaan pada Sofya meskipun gadis itu sangat cantik. Cinta itu hanya datang selepas mereka bertemu semula ketika masing masing sudah di alam pekerjaan. Sofya yang memang sudah menaruh perasaan terhadapnya menjejakinya di tempat kerja. Tak sangka tempat kerja mereka berdekatan. Sofya memberanikan diri untuk meluahkan perasaannya. Mulanya Ilham agak terkelu, kerana dia hanya menganggap Sofya sebagai kawan. Namun akhirnya dia belajar untuk mencintai dengan melihat setiap sudut baik pada diri Sofya. Ternyata, kebaikan Sofya yang sebelum ini hanya dipandang sepi. Ya, Sofya memang penampilannya begitu. Namun dia bukan gadis yang bebas seperti kebanyakan gadis kota. Di dalam debu kota itu, dia tetap permata yang terjaga kesuciannya. Begitu Ilham memandang Sofya. Kerana itu juga dia nekad untuk memperisterikannya. Dalam hatinya punya hasrat untuk membimbing Sofya, meski dia sendiri tidak pasti apakah dia mampu.
"Am.. ummi ada 2 permintaan yang ummi harap Am dapat tunaikan"
Ibunya kembali bersuara mematikan lamunan Ilham.
"Permintaan apa ummi?"
"Yang pertama, kalau boleh ummi nak majlis perkahwinan Am nanti sederhana saja di kedua belah pihak. Sama seperti majlis abang dan kakak Am sebelum ini. Tiada pelamin bersanding, tiada persalinan yang perlu ditukar ganti sepanjang majlis. Cukup ianya sederhana dan tidak membazir."
"Kedua, ummi harap Am akan tetap tinggal bersama ummi walaupun sudah berumahtangga."
Ibunya menyatakan permintaannya. Ilham mendengar penuh hormat.
" Am rasa tiada masalah untuk Am tunaikan permintaan ummi itu. Nanti Am bincang dengan Sofya ya ummi"
Ilham memberi jawapan yang menyenangkan hati ibunya. Ibunya tersenyum. Lega mendengar jawapan anak bongsunya.
…..
Mereka sekeluarga akhirnya menetapkan tarikh merisik dan bertunang. Abang sulung Ilham menjadi wakil dan ketua rombongan mereka. Keluarga Sofya dan keluarga Ilham ternyata berbeza. Mereka warga kota yang menjalani hidup serba moden. Kedua ibubapa Sofya masih muda berbanding ibu Ilham dan keduanya berkerjaya. Sofya hanya mempunyai 2 orang adik beradik iaitu dia dan adik lelakinya. Agak segan dan janggal untuk mendekati keluarga ini. Tetapi segalanya dipermudahkan juga akhirnya. Kedua ibubapa Sofya merestui pilihan anaknya.
Tarikh pernikahan ditetapkan, dan akhirnya Ilham sah bergelar suami kepada Sofya Alissa. Permintaan ibunya ditunaikan. Majlis dibuat dengan bersederhana. Walau pada mulanya agak sukar, kerana Sofya anak sulung dan tunggal perempuan. Pasti ibubapanya mahukan majlis yang gah. Namun atas permintaan dan pujukan Sofya, mereka akur untuk mengadakan majlis yang sederhana saja.
Sofya yang cantik dan anggun, tak putus menerima pujian dari tetamu yang hadir. Namun tak kurang juga yang memandang sebaliknya. Maklum saja, menantu yang ini sangat berbeza. Cantik, tapi tidak bertudung. Tak sangka gadis seperti ini yang menjadi pilihan Ilham. Mak cik Khadijah hanya tersenyum dalam malu. Hatinya juga kurang berkenan, namun dia percaya masih ada ruang untuk anak dan menantunya itu berubah menjadi yang lebih baik.
Ilham dan Sofya juga bersetuju untuk tinggal bersama mak cik Khadijah selepas berumahtangga.
…..
Ilham menjalani kehidupan baru bersama isteri tercinta. Cuti mereka juga sudah berakhir dan dunia kerjaya diteruskan seperti biasa. Kerana tempat kerja mereka berdekatan, Ilham dan Sofya ke pejabat bersama. Kadang kadang menunggang motosikal, kadangkala menaiki kereta.
Pasangan yang sama cantik dan padan ini sering menarik perhatian jiran sekeliling di taman mereka. Tak kurang yang mengata, kerana 'kelainan' pada menantu bongsu mak cik Khadijah ini. Maklum saja, keluarga ini dikenali semua jiran. Antara sebabnya adalah kerana kejayaan mak cik Khadijah dalam mendidik anak anak mereka sehingga masing masing berjaya dalam pelajaran dan kerjaya. Paling dikagumi ialah akhlak dan peribadi yang berjaya diterap di dalam diri anak anak mak cik Khadijah. Anak anak mak cik Khadijah terkenal dengan pandai dan baik akhlak dan agama. Berpakaian sopan dan menutup aurat, malah sering menjadi rujukan rakan sebaya mereka.
Ilham juga memang dikenali kerana perbezaannya. Suatu ketika dulu pernah menimbulkan banyak masalah. Ada juga yang berkata, memang padanlah isterinya begitu. Dia pun bukan baik dan beragama sangat.
Mak cik Khadijah menelan segala kata yang sampai ke telinganya. Dalam hatinya tetap berdoa, agar suatu hari nanti anak dan menantunya itu akan berubah menjadi hamba Allah yang lebih baik. Ya, Ilham dan Sofya akan menjadi muslim dan muslimah yang akan lebih menghayati kehidupan beragama.
…..
Hari itu tinggal hanya Sofya bersama ibu mertuanya di rumah. Ilham masih belum pulang kerana urusannya di pejabat masih belum selesai. Mak cik Khadijah sedang sibuk di dapur memandangkan anak anaknya yang jauh akan pulang ke rumah hari ini. Sofya turun menjenguk ibu mertuanya di dapur. Serba salah dia dibuatnya. Niat ingin membantu, tapi hakikatnya dia tidak biasa di dapur. Di rumah ibubapanya, segala urusan dilakukan pembantu rumah. Dalam segan, dia menyatakan hasrat untuk menolong.
Mak cik Khadijah tahu menantunya tidak biasa di dapur. Hampir semua perkara dia tidak tahu melakukannya. Mak cik Khadijah hanya berlagak biasa. Dia mengambil peluang untuk mengajar dan membantu agar Sofya biasa dengan kerja dapur. Sofya yang pada mulanya terasa segan dan malu, menjadi lebih seronok di dapur dengan tunjuk ajar ibu mertuanya yang dianggap sangat sporting. Pada ibu mertuanya pula, tak mengapa Sofya tidak tahu, sekurang kurangnya dia sudi untuk membantu, bukan sekadar berehat di bilik atau menonton tv.
"Ummi..."
Sofya bersuara ingin menyatakan sesuatu. Ketika itu mereka sama sama sedang melakukakan kerja di sudut ruang makan. Ibu mertuanya memandang tepat ke wajahnya. Menanti ungkapan Sofya.
"Ummi.. Terima kasih kerana sudi terima Sofya sebagai menantu ummi"
sofya meluahkan rasa. Ibu mertuanya membalas dengan senyuman.
"Terima kasih kerana menerima Sofya seadanya.. Sofya sedar Sofya tak sama macam menantu ummi yang lain"
Sofya menyambung lagi. Tak dapat dinafikan, dia rasa janggal bila bersama sama dengan ahli keluarga Ilham yang ramai. Dia sedar akan kelainan perwatakan dan penampilan dirinya.
"Kenapa Sofya cakap macam tu. Ummi tak pernah bezakan anak dan menantu ummi. Semuanya ummi sayang."
"Entahlah ummi. Sofya sedar diri Sofya ni. Kurang serba serbi. Jahil dalam bab agama. Tak macam yang lain.. Alim dan sopan.."
"Sofya... Tak mengapalah kita rasa kurang. Tapi setiap kekurangan dan kelemahan dapat diperbaiki kan.."
"Ye ummi... sofya mahu berubah menjadi yang lebih baik. Tapi Sofya tak tahu nak bermula dari mana.."
Mak cik Khadijah merenung wajah lembut Sofya. Sedikit sebanyak luahan hati Sofya menyejukkan hati tuanya.
"Tak mengapa.. Usah terburu dalam membuat perubahan. Perlahan lahan... Yang penting Sofya faham apa dan mengapa sesuatu tindakan yang Sofya ingin lakukan. Ummi sentiasa sudi untuk membantu.. Jangan lupa mohon petunjuk dari Allah.."
" ya ummi.."
"Yang sebenarnya... Banyak perkara yang Sofya tak tahu terutamanya bab agama. Sofya malu nak cakap dengan ummi..tapi Sofya perlu cakap juga.."
" Sofya sekarang tengah belajar dengan Ilham untuk memperbaiki solat. Rupanya solat Sofya selama ni tak sempurna. Ilham banyak mengajar Sofya."
Sofya menundukkan wajahnya menahan malu. Tak sangka dia boleh meluahkan, tak sangka air matanya turut mengalir. Mak cik Khadijah mendekati Sofya dan memeluknya. Menambahkan sendu di hati Sofya.
" Alhamdulillah... "
Ungkapan itu keluarkan dari mulut mak cik Khadijah. Dia agak terkejut dengan penjelasan Sofya. Namun dia lebih terharu kerana Sofya begitu berusaha.
" Sofya jangan risau. Ummi ada..boleh tunjuk ajar Sofya. Ummi akan bantu Sofya..insya Allah"
Mak cik Khadijah menyatakan sokongannya. Lantas menyejukkan hati Sofya. Dia mengkagumi ibu mertuanya yang bersikap tenang ini. Patutlah Ilham sering memuji kebaikan ibunya ini.
Jauh di sudut hati mak cik Khadijah, dia mahukan Sofya melakukan perubahan yang lebih baik. Baik solat dan menutup aurat, dia mahukan Sofya menjadi muslimah yang lebih baik. Namun dia tetap bersyukur, Sofya yang kini lebih dekat dengannya akan diberi tunjuk ajar dengan baik dan berhikmah.
Sofya lebih tenang dengan kata kata semangat yang keluar dari mulut ibu mertuanya. Mak cik Khadijah menukar topik perbualan mereka agar Sofya tidak terlalu memikirkan tentang itu. Kerja dapur disempurnakan bersama.
Malam itu, rumah mak cik Khadijah dikunjungi anak cucunya yang ramai. Jauh dan dekat tetap pulang untuk berkumpul bersama. Dalam segan dan kekok, Sofya cuba bergaul baik dengan ipar duainya. Dia akui mereka semua sangat baik, meski dia dapat merasakan ada seorang dua yang seperti sukar untuk mendekatinya. Dia cuba berfikiran positif, mungkin suatu hari nanti hubungan mereka akan lebih baik dan rapat. Sesungguhnya dia sangat mengkagumi didikan ibu mertuanya. Meskipun beranak ramai, semua anaknya menjadi.
…..
Hari ke hari, hubungan Sofya dan ibu mertuanya menjadi lebih rapat. Banyak perkara yang Sofya belajar dari ibu mertuanya. Baik bab agama, mahupun dalam bab menguruskan rumahtangga dan menjadi isteri yang lebih baik. Ilham sendiri tidak menyangka isterinya boleh menjadi mesra dengan ibunya. Dia semakin mencintai Sofya. Dia tidak salah menikahi Sofya yang sudah banyak berubah melalui didikan ibu kandungnya. Malah, dia makin mengkagumi dan menyanjungi ibunya yang sentiasa sabar, baik dan tenang. Meski dia sedar, bukan sekali dua dia pernah mengecewakan hati ibunya itu. Hati ibunya terlalu mulia. Malah permintaan ibunya untuk dia terus tinggal bersama di rumah itu juga rupanya terkandung hikmah yang dia sendiri tidak menjagkakannya. Pernah dia terfikir, kalau kalau nanti Sofya akan jemu tinggal di rumah ibunya, atau mungkin ibunya yang akan sakit hati melihat menantunya yang pasti bukan dalam kategori pilihannya itu. Malah bimbang juga, kalau kalau timbul masalah lain. Rupanya semua itu tidak berlaku. Syukur, dia lebih senang dengan kehidupan hari ini.
Hingga di satu ketika, Mak cik Khadijah menyatakan hasrat untuk mengajak Ilham dan Sofya untuk mengerjakan ibadah umrah. Pada mulanya ia mengejutkan Ilham dan Sofya kerana tak pernah terlintas di fikiran mereka untuk menjejakkan kaki ke tanah suci itu. Namun melihatkan ibunya bersungguh sungguh mengajak, akhirnya mereka berdua setuju untuk menemani ibu mereka.
Mereka 3 beranak menyediakan keperluan mereka untuk mengerjakan umrah, dan menghadiri kursus yang dianjurkan. Mak cik Khadijah bertekad untuk membawa anak dan menantunya ini ke rumah Allah. Dia memilih Ilham dan Sofya, bukan yang lain. Dia sudah lama menyimpan hasrat, dia tak jemu berdoa.
Pemergian mereka dihantar anak menantu serta cucu. Ilham dan Sofya melangkah dengan penuh debaran. Seperti tidak layak untuk menjejakkan kaki ke tanah suci. Terasa begitu berat dan banyaknya dosa. Entah amalan selama ini diterima atau tidak di sisi Allah.
Sofya mula memikirkan diri dan kehidupannya. Dulu sangat jauh dari agama, tidak menjaga solat, berpakaian tidak menutup aurat, malah tiada hati untuk berhijab. Buat pertama kali dia menyarungkan hijab ke kepala. Berpakaian lengkap sempurna menutup aurat. Dia menjadi malu dan segan, hari itu sekali lagi menjadi perhatian. Entah apa yang terbit di hati mereka. Dia malu, terasa diri kerdil dan tidak layak. Namun hatinya berdetik, dia tidak mahu berpura pura.
Mereka tiba juga di tanah suci. Hati terpegun dan menangis memikirkan kebesaran Allah. Diri yang terasa berdosa dan kotor, dibawa terbang menjejaki tanah suci. Tak sedar air mata mengalir di pipi pasangan muda ini.
Mereka berada di tanah suci selama 2 minggu seperti yang dijadualkan. Mereka bersungguh melaksanakan ibadah umrah dan bertaubat atas segala dosa lalu. Ilham dan Sofya tenang di sini. Sofya selesa dengan penampilan baru. Dia berazam untuk kekal menjaga aurat. Terasa indah hidup mengikut syariat.
Hingga tiba hari mereka dijadualkan pulang. Hati digamit sayu. Terasa belum puas berada di sini. Di sini tiada perkara lain yang difikirkan. Hanya berfikir untuk melakukan ibadah. Takut untuk kembali ke tanah air. Takut diri tidak mampu istiqomah dengan perubahan. Takut memikirkan realiti hidup yang bakal ditempuhi.
…..
Setahun berlalu...
Ilham dan Sofya setia menghuni rumah peninggalan kedua orang tuanya. Kini mereka bahagia dikurniakan seorang putera.
2 minggu selepas pulang dari tanah suci, ibunya pergi meninggalkan mereka buat selamanya. Pergi dengan ketenangan dan senyuman.
Ilham dan Sofya paling merasakan kehilangan. Mereka baru bertatih dalam penghijrahan mereka. Masih banyak perkara yang mereka perlu belajar. Syukur ada abang dan kakak yang sudi memimpin. Sentiasa ikhlas mengajar dan mendorong untuk teguh di jalan Tuhan.
Ilham dan Sofya kini, berbeza dengan yang dulu. Ilham yang setia dengan masjid. Hampir setiap waktu mengunjungi masjid untuk berjemaah dan mendekati Jiran. Pantang ada majlis di masjid atau di rumah sesiapa, dia pasti akan cuba menghadirkan diri. Dia cuba mencontohi sikap baik arwah ayah dan ibunya. Biar apa orang akan kata, dia tekad mahu menjadi yang lebih baik.
Sofya juga, penampilannya lebih sopan dan sejuk mata memandang. Dia bidadari Ilham yang cuba untuk menjadi lebih baik dan sempurna. Dia malah sudah berniqab dan menjaga seluruh kecantikan aslinya hanya untuk suami. Dia taat pada perintah Allah dan Rasul. Dia taat dan setia pada suami yang sentiasa dicintainya. Terasa satu rahmat menikahi Ilham dan masuk dalam keluarga ini. Sering air mata mengalir merindui arwah ibu mertuanya yang sangat baik, sabar, dan banyak mendorong dirinya menjadi muslimah yang sejati. Mendorong dengan doa dan kelembutan.
Pernah dia bermimpi, mendengar ungkapan doa dan air mata ibu mertuanya di hadapan Allah. Butiran doa yang jelas dan meruntun hatinya. Doa buat dirinya dan suaminya. Dia menangis di dalam mimpi sehingga jaga. Takdir Allah, Ilham juga mendapat mimpi yang sama. Betapa selama ini ibu mertuanya sangat mengharapkan mereka menjadi hamba Allah yang lebih baik. Betapa ibu mertuanya gusar memikirkan masa hadapan mereka yang jauh dari agama. Mereka insaf.
Ilham dan Sofya, kini tahajjud mereka tak pernah tertinggal. Pakaian dan penampilannya mereka menyejukkan mata, menutup mulut insan sekeliling yang pernah mengata. Siapa sangka, anak menantu mak cik Khadijah yang dipandang paling tak baik ini, mampu berubah menjadi yang lebih baik dan terbaik.
Sungguh, manusia boleh berubah. Usah dikeji orang yang berdosa. Mungkin suatu hari dia mendekati jalan taubat dan kembali kepada Allah dalam keadaan yang lebih mulia dari kita.
Ilham merindui ibunya. Ibu yang sentiasa sabar dengan tingkahnya. Dalam marah, masih cuba berlembut. Dia percaya, kerana doa dan restu dari ibunya juga dia mampu mengecapi bahagia dengan Sofya, isteri tercinta.
"Semoga ummi dan ayah ditempatkan di kalangan hamba Allah yang soleh"
…
No comments:
Post a Comment