HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Tuesday, 18 July 2017

DIARI ANAKKU: 190717





Hari ini abi bertolak ke Bintulu seawal jam 6.15 pagi, ketika Anas dan Mussaab masih lena. Miqdad bangun awal seperti biasa. Sempat jumpa abi dan salam abi. Abi peluk cium Anas dan Mussaab seperti biasa sebelum pergi.

Mussaab bangun sebaik abi pergi. Ummi yang mengantuk terlena bersama Miqdad di sofa, hingga Mussaab kejutkan. Ummi tinggalkan Miqdad dan Mussaab di luar, ummi masak nasi goreng untuk breakfast. Anas bangun kemudiannya. 

Jam 8.30, breakfast sama-sama. Ummi suapkan Anas, Mussaab dan Miqdad bergilir-gilir. Sudah makan, Anas ajak Mussaab menonton video 'storybots' di tingkat atas. Tinggal Miqdad bersama ummi di bawah. Kemudian Anas dan Mussaab turun ke bawah pula menonton tv.

Jam 10, ummi cuba tidurkan Miqdad tapi Miqdad masih nak bermain. Anas dan Mussaab menonton tv, menampal sticker, makan kerepek dan buat hal sendiri. Anas juga siapkan homeworknya. Ummi masuk ke dapur, siapkan lunch. Panaskan lauk yang ada dan masak nasi. Miqdad sesekali menangis dan memanggil. Miqdad jalan di sekeliling sofa sambil berpaut. 

Jam 11.30, makan tengahari. Miqdad makan berselera, Anas dan Mussaab juga makan. Lepas tu menonton tv lagi. Ummi mandikan dan tidurkan Miqdad, dan bersiap untuk hantar Anas ke sekolah. Dalam hati berdoa sangat agar tiada 'drama' lagi hari ni. Tanpa abi, akan lebih mencabar bila Anas menangis tak nak ke sekolah lagi. Alhamdulillah, segalanya mudah hari ini. Anas cepat bersiap, mood juga baik :)

Jam 1, hantar Anas ke sekolah. Masih perlu hantar sampai ke kelas. Tak mengapalah, ummi ok je :) asalkan tak menangis nak ikut balik ':) lepas hantar Anas ummi balik bersama Mussaab dan Miqdad. Miqdad pula dalam kereta dah tak boleh duduk diam. Asyik nak bangun berdiri dan mencapai segala benda. Bila dipakaikan seatbelt, menangis mahu dilepaskan. Mencabar juga ':| 

Balik ke rumah, lepak di tingkat atas. Buka video al quran dan melayan Mussaab 'membaca' sekejap. Kemudian masuk ke bilik untuk tidur. Sebelum tidur, main dulu sepuasnya. 

Jam 2.30, keduanya dah tertidur. Ummi juga yang masih tak boleh lena. Cuba juga pejamkan mata sementara anak-anak masih tidur :) Alhamdulillah dapat juga lelap sekejap. 

Jam 4, ummi turun ke bawah. Niat nak isi perut yang tengah lapar, sebelum ambil Anas di sekolah. Belum sempat menjamah makanan, Miqdad dah menangis di atas. Ummi naik dan susukan Miqdad. Miqdad dah tak mahu tidur. Ummi bawa turun dan temankan ummi makan. Ummi juga suapkan Miqdad ubi keledek rebus. Lepas makan, terdengar suara Mussaab pula menangis. Ummi dan Miqdad naik ke atas. Bersiap untuk ke sekolah Anas.

4.30, Anas balik dari sekolah. Singgah gerai beli pisang dan keropok goreng macam biasa. Balik rumah, makan sama-sama. Lepas makan, menonton paw patrol pula. Miqdad juga leka bermain sendiri. Berpaut di sofa dan rak tv, dan melangkah dengan berhati-hati. Sesekali terjatuh dan menangis :)

6 petang, ummi goreng kueteow untuk dinner. Masing-masing menolak, tak nak makan. Dah kenyang makan keropok dan pisang agaknya. Miqdad juga cuma makan sedikit. Tak sedap ke ummi masak :'/ abi call dari Bintulu. Miqdad menangis-nangis tengok muka abi. Rindu nak berdukung dengan abilah tu :) Anas dan Mussaab leka lagi dengan tv. Abi call pun tak layan.

Jam 6.30, ummi naik ke atas bersama Miqdad. Berkali-kali ummi panggil Anas dan Mussaab untuk mandi. Masih leka dengan tv. Memang macam nilah bila memilih untuk ada tv kan? Mussaab naik dulu, kemudian Anas. Itupun dah puas ummi panggil. Mujur tak menjerit je :D

Anas dan Mussaab mandi. Ummi susukan Miqdad. Kemudian keluar, ummi ajar Anas al Quran. Mussaab main macam-macam. Dari tadi minta ummi buka video seefood. Masih tak puas menonton ':| Miqdad juga masih cergas bangun jatuh. Masih tak mahu tidur. Ummi lipat kain dulu. Anas buka video dr Binocs, kemudian movie cars. Mussaab juga join sekaki.

Lepas lipat kain ummi tidurkan Miqdad. Kemudian turun ke bawah kemas dapur dan menyapu sampah. Mussaab makan durian yang dibeli abi. Naik semula bila mendengar tangisan Miqdad. Mussaab di bawah menjerit meminta kerepek pula. Naik ke atas dan merajuk sebab permintaan tak dilayan. Nak buat macamana, Miqdad menangis. Anas masih melayan movie.

Mussaab baring di sebelah Miqdad dan terlena. Tak sempat makan kerepek. Bila Miqdad dan Mussaab dah lena, ummi teman pula Anas tidur. Jam 10, Anas juga dah lena. Alhamdulillah :)

Ummi turun ke bawah dan selesaikan kerja yang belum siap. Rumah dah sunyi sepi bila semua dah tidur. Ummi rindu. Rindu pada Anas, Mussaab, Miqdad dan abi. Kalian cinta hati ummi, hadiah terindah dari Allah.

Semoga Allah sentiasa menjaga suami dan anak-anak ummi. Semoga Allah sentiasa mendekatkan kita, dan mengikat kita dengan kasih sayang. Semoga sentiasa bersama di dunia dan di syurga.

Aameen. Ya Allah.

No comments:

Post a Comment