HOMESCHOOLING 2015

HOMESCHOOLING 2016

HOMESCHOOLING 2017/2018

RESEPI UMMU ANAS

Saturday, 3 April 2021

CERPEN: CINTA KHAYALAN ZULAIKHA




Zulaikha tekun menghadap laptop sejak sejam yang lalu. Selesai sudah assignment yang ditugaskan untuknya. Terasa lega setelah tugasan yang susah itu mampu diselesaikan dengan baik. Hanya tinggal untuk diprint dan dihantar kepada pensyarahnya.

Zulaikha membuka emelnya. Ada senyuman terukir sebaik melihat nama pengirim emel yang baru diterimanya hampir sejam yang lalu. Ia juga satu satunya emel yang dinanti saban hari. Terus dia membuka dan membaca emel tersebut.

" Assalamualaikum..ke hadapan gadisku Zulaikha yang sangat abang rindui. Semoga sihat-sihat sentiasa hendaknya di dalam rahmat Ilahi.
Terima kasih di atas kiriman emel. Abang pun rindukan Zulaikha juga. Tapi nak buat macamana, abang sekarang tengah sibuk dengan exam. Tak boleh nak balas segera emel Ika. Maafkan abang ya sayang? 
Ika tengah buat apa sekarang? Dah makan ke? Study ok? Abang doakan segalanya baik. Abang rindu nak balik Malaysia, dan rindu nak jumpa Zulaikha yang abang cintai.

Terima kasih ya, di atas doa ika. Abang dah cuba buat yang terbaik untuk exam abang. Semoga abang lulus dengan cemerlang. Teruskan doa untuk abang ya. Ini semester terakhir abang. Tak sabar sabar nak balik jumpa mama, papa, family dan kekasih hati abang yang sangat abang rindu ni.

Oklah sayang, sampai di sini dulu dari abang ya. Abang online ni pun kat cc je. Singgah kejap lepas habis paper tadi. Now nak ke cafe, nak makan. Lapar sangat. Tahan dulu coz nak reply emel buah hati abang ni. Hehe..

Ada masa nanti abang hantar emel lagi ye. Take care sayang. Assalamualaikum.."

Zulaikha membaca isi emel dari awal hingga akhir. Bibirnya tak lekang dari senyuman. Hati berbunga ria. Emel yang sudah beberapa hari dinantinya. Selagi belum mendapat reply dari si buah hati, selagi itu hatinya bermuram dan kecewa. Kini tidak lagi. Semangatnya seperti ditiup kembali. Hatinya benar benar diulit bahagia.

Ryan, hadir dalam hidupnya sejak 6 bulan yang lalu. Mereka bertemu di alam maya, berkenalan dan akhirnya bercinta. Hakikatnya sehingga kini, dia dan Ryan tak pernah sekali pun bersua muka. Hanya berbalas emel. Lelaki itu sekadar memperkenalkan diri sebagai Ryan, menyatakan dia kini sedang menyambung pelajaran dalam bidang perundangan di peringkat master di university of Cairo, Mesir. 4 tahun lebih tua darinya. Zulaikha mempercayainya, dan buat pertama kali dalam hidupnya menerima salam perkenalan dari seorang lelaki.

Pada mulanya mereka hanya bersembang biasa, berbalas chatting dan berkenalan. Lama kelamaan perhubungan di alam maya itu menjadi lebih intim dan mesra. Zulaikha menyenangi sikap dan cara Ryan dalam mengambil hatinya. Penuh jenaka dan menghiburkan. Tambahan pula, Ryan banyak menasihatinya tentang banyak perkara. Dia pula tak teragak untuk menceritakan masalah dan mengadu pada Ryan. Ryan melayaninya dengan baik dan penuh hormat. Sesuatu yang tak pernah dia rasa sebelum ini. Segera tangannya menaip laju membalas segera emel yang baru diterimanya. Hatinya bahagia diulit cinta dan rindu.

..........

Zulaikha teringatkan zaman kecilnya yang telah berlalu. Zaman kecil dan remaja yang tak seindah insan lain. Ibu dan ayahnya bercerai sejak dia masih kecil. Ketika itu baru berusia 5 tahun. Masih terlalu kecil untuk mengerti. Dia hanya tinggal bersama ibunya. Ayahnya hilang entah ke mana. Langsung tidak bertanyakan khabarnya.

Dia membesar dengan kehadiran seorang ibu saja. Ibunya yang bekerja keras menyara kehidupannya. Dari kecil, hingga bersekolah dan sehingga masuk ke universiti, segalanya hasil dari penat lelah ibunya. Dia yang dulu tidak mengerti kepentingan seorang ayah, akhirnya sedikit demi sedikit merasakan kekurangan dan kesunyian tanpa kehadiran seorang lelaki bernama ayah. Dia cemburu melihat kawan kawan bercerita tentang ayah, melihat mereka bermanja dan bermesra dengan ayah, hatinya terusik. Dia mahu seperti mereka juga. Tapi di mana ayah...

Dia membesar sebagai seorang anak dan gadis yang kesunyian. Ibunya juga hampir tiada masa untuknya dek sibuk bekerja mencari rezeki. Dia tak pernah menyalahkan ibunya. Sedikit pun tidak. Ibunya terlalu banyak berkorban untuknya.

Di sekolah juga dia tiada kawan lelaki, malah tidak pernah ada teman lelaki. Dia rasa rendah diri. Dia bukan gadis yang cantik. Pakaian pula sering tak terurus dan jarang bergosok. Siapa yang sudi nak menjadikan dia teman? Hadir juga rasa cemburu, melihat kawan ramai yang berteman. Dia cuba membandingkan dirinya dengan mereka. Jauh berbeza.

Masuk ke universiti, dia perlahan lahan cuba mengubah penampilan diri. Malu dan segan melihat orang lain cantik dan kemas berpakaian. Pandai menjaga penampilan dan menata wajah. Zulaikha rasa rendah diri. Dia mahu menjadi seperti mereka juga. 

Roommate nya, Adila, Syahira dan Syuhada semuanya berasal dari bandar. Mereka cantik, banyak cakap dan ada keyakinan diri. Membuatkan Zulaikha rasa dia serba kekurangan. Namun mereka baik, dan mereka banyak membantu Zulaikha untuk tampil lebih baik dan yakin. Mereka tak memandang Zulaikha sebagai budak kampung yang kurang serba serbi. Zulaikha bersyukur ditakdirkan menjadi teman sebilik mereka. Di antara mereka, Zulaikha lebih rapat dengan Syuhada yang padanya lebih simple dan humble.

Perkenalan Zulaikha dengan Ryan diketahui Syuhada. Dia sering bercerita pada Syuhada, dan Syuhada juga sering bertanya tentang perkembangan hubungan mereka. Malah sering juga Syuhada mengingatkan dirinya agar lebih berhati hati dalam menjalinkan cinta. Tambahan pula, dia tak pernah kenal siapa lelaki itu. Zulaikha hanya mengiakan, namun jauh di sudut hati dia benar benar meletakkan kepercayaan pada Ryan. Dan dia merasakan hatinya sangat mencintai Ryan. Tiada apa yang nak diragukan tentang Ryan. Begitu kuat dan dalam cintanya pada lelaki itu.

..........

"Assalamualaikum abang.. Semoga abang sihat dan baik saja di sana. Bagaimana dengan exam abang? Dapat jawab dengan baik ke? Alhamdulillah.. Nampaknya abang dah hampir nak menamatkan pengajian master abang. Ika tumpang gembira dan bahagia untuk abang. Bermakna, tidak lama lagi abang akan pulang ke tanah air. Tak sabar Ika nak menunggu saat itu. Tapi.. Ika malu dan segan nak jumpa dengan abang. Ika ni siapalah berbanding abang dan keluarga abang. Ika tak cantik, keluarga ika tak sempurna. Abang berbeza... Dari keluarga yang ada nama dan berharta. Ika jadi takut untuk bertemu dengan abang. Lebih takut untuk berhadapan dengan keluarga abang. Bimbang hati abang berubah, bimbang penerimaan keluarga abang...

Abang, tak lama lagi Ika juga akan berhadapan dengan final exam. Ika juga akan menamatkan pengajian di peringkat ijazah tidak lama lagi. Alhamdulillah, berjaya juga Ika sampai hingga ke peringkat ini. Terima kasih atas nasihat dan dorongan abang selama ini. Ika tambah bersemangat untuk belajar selepas abang hadir dalam hidup ika.
Tak lama lagi, abang juga akan pulang ke tanah air kan?? Hmm... Tak tahu nak gambarkan apa yang Ika rasakan. Happy, of course. Tak lama lagi akan bersua dengan abang yang Ika cintai. Tapi... Dalam masa yang sama Ika takut. Bagaimana jika hati abang berubah selepas bertemu Ika, dan bagaimana penerimaan family abang pada Ika. Ika takut dan nak menangis memikirkan semua itu abang...

Zulaikha berhenti sejenak. Jemarinya tidak lagi laju dan lancar menaip. Entah kenapa, hatinya terasa sayu. Dalam tidak sabar menanti kepulangan Ryan untuk bertemu dengannya, dia juga sangat takut bagaimana nanti reaksi Ryan selepas bertemu dengannya. Apakah Ryan akan menerima dirinya dan mengotakan segala janjinya? Hatinya tiba-tiba menjadi sangsi. Keikhlasan Ryan dipersoalkan. Apakah selama ini lelaki itu benar-benar mencintainya? 

Jika benar, dia tahu saatnya makin tiba. Saat debaran bertemu buat pertama kali dengan insan yang dicinta. Debaran menanti ke mana hala tuju cinta ini. Debaran untuk berhadapan dengan kenyataan bagaimana penerimaan keluarga Ryan terhadap dirinya.

..........

Zulaikha kini di minggu-minggu terakhir pengajiannya. Dia bakal berhadapan dengan exam terakhirnya tidak lama lagi. Dia cuba fokus mengulangkaji pelajarannya. Dia sentiasa ingat pada pesanan Ryan yang sering menjadi pendorongnya agar lebih cemerlang dalam pelajaran. 

Dan kini juga, sudah 2 minggu dia tidak menerima sebarang khabar dari Ryan. Ryan sudah tamat exam di sana, namun Zulaikha masih tertanya-tanya bilakah Ryan akan pulang ke tanah air. Sudah dia tanyakan di emel terakhirnya, namun masih belum ada jawapan. Dalam cuba bersabar dan bertenang, hatinya tak lepas dari rasa gelisah. Dia sangat merindui Ryan. Tidak pernah emelnya tak berbalas sebegini lama. Mungkin Ryan tak mahu mengganggu dirinya yang sedang exam. Dia meneka sendiri, cuba sedapkan hati. Dia juga tidak mahu terlalu memikirkan. Dia perlu fokus mengulangkaji.

..........

2 minggu, 3 minggu, sebulan, 2 bulan, dan kini sudah 6 bulan berlalu. Alam universiti sudah Zulaikha tinggalkan. Tamat pengajian dengan keputusan yang sangat cemerlang. Kini menanti pula untuk menyambung pengajian di peringkat master atas restu dan dorongan ibunya yang telah banyak berkorban.

Namun, sehingga hari ini hatinya sepi dari khabar Ryan, kekasih hati yang dinantinya selama ini. Selepas final exam tempoh hari, segera dia menghantar emel kepada Ryan menyatakan kelegaan hatinya dan rasa tidak sabar menanti kepulangan Ryan. 

Selang sehari, dia menghantar emel lagi, dan lagi. Hingga akhirnya dia terasa sangat penat dan pedih. Emelnya, tiada satu pun yang berbalas. Allah saja yang tahu bagaimana sakit hatinya. Sakit menahan rindu. Sakit menanggung cinta yang tiada kepastian. Jika sebelum ini dia hanya bersangka baik, lama kelamaan dia rebah dalam tangisan. Tiada lagi sangka baik buat insan yang bernama Ryan.

Dia menangis semahunya. Terasa bodohnya diri selama ini. Terasa seperti dipermainkan. Terasa diri bertepuk sebelah tangan. Menaruh cinta dan harapan pada insan yang entah wujud, entahkan tidak. Kononnya student master di Cairo, kononnya anak orang ternama, menasihati itu dan ini, manis mengayat cinta dan memberi harapan...ALLAH... terasa seperti ada batu besar menghempap ke kepalanya. Setelah hanyut, kini baru nak sedar??

..........

Saban hari, air mata tumpah menanggung kesakitan hati dan keresahan jiwa. Zulaikha tak mampu berbuat apa. Hanya mampu mengadu pada Dia yang Maha Kuasa. Meskipun begitu, Zulaikha masih bijak menyembunyikan kesedihan hatinya dari pengetahuan ibunya. Sepertimana selama ini dia banyak berahsia dan tidak mengadu kesusahan yang dialaminya pada ibunya, begitu juga hal kesedihan hatinya ini. Dia tak akan membuatkan ibunya turut bersedih. Cukuplah kesengsaraan yang dilalui ibunya selama ini. 

Malahan dia merasa berdosa pada ibunya. Dan lebih berdosa pada Tuhan. Dia tak sepatutnya hanyut dengn cinta. Cinta manusia yang belum terikat dengan ikatan yang halal. Dia sedar selama ini hidupnya hanyut dengan khayalan dan fantasi indah yang hakikatnya hanya permainan syaitan yang mengaburi mata dan hatinya. Zulaikha malu pada Tuhan. Malu pada diri sendiri. Malah malu pada ibu dan teman-teman meski mereka tidak pernah tahu. 

Bagai sekelip mata, impian terasa sudah musnah. Impian untuk bahagia bersama yang tercinta. Kerana selama ini dia merasakan hidupnya kosong dan terlalu sunyi. Hanya ada ibu, tiada siapa yang pernah peduli. Hadirnya Ryan bersama cinta dan kata manis, benar-benar membuatkan harinya selepas itu berwarna indah. 

Dan kini kembali suram, malah terlalu sakit di jiwa. Amat mengambil masa untuk kembali pulih. Zulaikha bertaubat pada Allah menyedari dosanya selama ini. Dia sedar dia sudah melampaui batasan agama, dengan menjalin cinta dan hanyut dalam khayalan cinta. Tak jemu dia berdoa, agar hatinya terubat dan kembali tenang. Dia berdoa bersama tangisan yang panjang. Tanda penyesalan dan pengharapan.

Alhamdulillah, rasa kusut dan sengsara di hati beransur pergi. Perlahan-lahan dia dapat melupakan Ryan. 

..........

Seminggu lagi Zulaikha akan kembali ke alam kampus, menyambung pengajian dan terus mengejar cita-citanya. Kisah cinta semalam sudah dia lupakan. Hatinya kembali tenang beroleh kedamaian. Pengalaman lalu banyak mengajarnya erti sabar dan tabah. Usah terlalu berharap pada cinta manusia.

Sejak menamatkan pengajian di peringkat ijazah, dan sementara menanti pendaftaran masternya, Zulaikha banyak melibatkan diri sebagai sukarelawan, melakukan aktiviti amal di luar. Dia tidak mahu masanya berlalu tanpa berbuat apa. Malah dia juga bimbang, jika dia tidak sibukkan dirinya dengan aktiviti di luar, dia akan kembali memikirkan perkara yang memberi duka pada hatinya. Kerana dia memilih untuk melupakan, maka dia perlu berusaha untuk benar-benar melupakan. Hatinya juga lebih tenang dengan melakukan aktiviti kebajikan seperti ini.

Ini adalah penyertaan terakhirnya sebagai sukarelawan, kerana selepas ini dia akan disibukkan pula dengan urusan pengajian. 

Tugasan kali ini bertempat di rumah anak yatim. Para sukarelawan diminta bergotong-royong membersihkan seluruh kawasan rumah anak yatim dan menyediakan hidangan untuk anak-anak yatim di sini. Zulaikha diberi tugasan menjaga kaunter pendaftaran. Dia mengambil nama para sukarelawan yang terlibat dalam program yang dianjurkan. 

Agak ramai juga yang mendaftarkan diri sebagai sukarelawan kali ini. Kebanyakan mereka adalah pelajar  universiti yang sedang bercuti. Alhamdulillah, mereka memilih untuk terlibat dalam kerja amal. Bukan semua orang diberi kesedaran seperti mereka. Masih ramai yang memilih untuk menghabiskan masa di rumah sahaja. Ya, itu pilihan masing-masing yang dirasakan terbaik.

“Boleh beri saya ic?”
Zulaikha meminta dari pendaftar seterusnya. Lelaki itu menghulurkan padanya. Zulaikha memandang wajahnya sekilas. Lelaki itu juga.

Tanpa membuang masa, Zulaikha mencatat nama dan maklumat yang diperlukan. 

“Putera Rayyan bin Ahmad Nasaie”
Zulaikha membaca nama yang tertera ic. Hanya membaca di dalam hati. Selesai menulis maklumat yang diperlukan, dia menyerahkan kembali ic tersebut kepada tuannya. Lelaki itu memandang wajahnya, sekilas memberi senyuman. Zulaikha membalas acuh tak acuh. Hatinya sedikit bergetar, namun dia segera mengalih pandangan, tidak melayan getaran di hati yang pada anggapannya hanya mainan syaitan.

Lelaki itu beredar meninggalkan kaunter. Memberi giliran kepada sukarelawan yang lain pula untuk mendaftarkan diri. Zulaikha fokus pada tugasannya.

............................

Setiap sukarelawan menjalankan tugasan masing-masing sebagaimana yang telah ditetapkan. Zulaikha dari tadi banyak menolong kerja kebersihan di kawasan rumah anak yatim tersebut. Kini masa untuk mereka berehat dan mengisi perut yang sudah kelaparan. Mereka menjamu selera bersama anak-anak yatim di situ. 

Di satu sudut, Putera Rayyan yang pertama kali terlibat dalam aktiviti sukarelawan itu tidak lepas-lepas memandang dan memerhati tiap gerak dan langkah Zulaikha yang lincah membuat kerja. Terasa ingin mendekati gadis itu dan membisikkan sesuatu padanya.

Dia Putera Rayyan, atau pernah dikenali Zulaikha sebagai Ryan. Dia kekasih hati Zulaikha yang tidak pernah bersua muka dan tak pernah didengar suaranya. Dia yang dicintai Zulaikha sepenuh hati tanpa syarat. Rayyan menyedari hakikat itu. Dan hatinya diulit sayu dan rasa berdosa yang belum berkesudahan.

......................

Maklumat diri yang diberikan pada Zulaikha suatu ketika dulu semuanya benar belaka. Dia pelajar master tahun akhir di Cairo University, menunggu masa untuk tamatkan pengajian dan balik ke Malaysia. Yang tidak benar adalah tentang cintanya. Mana mungkin dia jatuh cinta pada gadis yang belum pernah dia jumpa dan kenal. Pada mulanya dia hanya mahu seronok bermain dan berkenalan. Seperti yang dia pernah lakukan sebelum ini dengan perempuan lain. 

Tapi lain jadinya dengan Zulaikha. Dia tak menyangka gadis itu benar-benar mencintainya. Hairannya, gadis itu menolak bila dia minta untuk bercakap melalui telefon. Enggan pula bertukar gambar. Tapi boleh pula meluahkan cinta pada insan yang tidak dikenali. Rayyan membalas seakan dia juga cinta. Dia membaca setiap coretan cerita dan luahan gadis itu dari bab belajar, keluarga, dan segala harapan dan cita-citanya. Dia dapat menduga bahawa gadis itu benar-benar kesunyian. Dia jatuh simpati. Dia ingin menjelaskan hal yang sebenar, tetapi makin lama makin tidak sampai hati. Bila menyedari gadis itu benar-benar mencintainya.

Rayyan bertekad untuk menyatakan hal sebenar selepas Zulaikha menamatkan exam akhirnya. Jika dijelaskan lebih awal, dia bimbang akan memberi kesan pada emosi Zulaikha yang akan berhdapan dengan exam pentingnya. Maka emel terakhirnya, dia hanya memberi semangat kepada Zulaikha untuk membuat yang terbaik dalam examnya. Ya, itulah yang terakhir. 

......................

Takdir Allah tiada siapa yang menduga. Ketika di dalam perjalanan ke airport, untuk penerbangan balik ke Malaysia, Rayyan terlibat dalam kemalangan jalan raya hingga menyebabkan dia koma selama 4 bulan. Maka dalam tempoh itu jugalah dia sepi dari sebarang khabar. Dalam tempoh itu juga Zulaikha menanti dalam kesakitan yang tiada ubatnya. Hingga akhirnya Zulaikha menyerah kalah, kembali ke alam nyata, bahawa dia tak perlukan cinta manusia yang padanya penuh tipu daya.

Sebaik terjaga dari tidur yang panjang, Rayyan hanya terbayangkan Zulaikha. Rasa berdosa yang menggunung, yang tak mampu dia luahkan. Air mata lelakinya mengalir. Betapa selama ini dia mempermainkan perasaan suci seorang gadis yang benar-benar mengharapkan kehadirannya. 

Sebaik pulang ke tanah air, dia cuba menjejak Zulaikha. Emel Zulaikha yang tersusun dibaca satu persatu. Hingga emel terakhir, di mana dia sedar bahawa Zulaikha telah berhenti berharap padanya, selepas penantian yang panjang. Sekali lagi Rayyan menangis. Hatinya kuat ingin mencari Zulaikha. Jika dapat memohon kemaafan, itu barangkali sudah cukup.

Atas pelbagai usaha, akhirnya dia dapat menjejak di mana Zulaikha. Dan akhirnya di rumah anak yatim ini mereka dipertemukan, tanpa pengetahuan Zulaikha bahawa dia adalah insan yang pernah diharapkan dan dicintai sepenuh hati.

............................

Kerlingan mata Rayyan tepat ke wajah suci Zulaikha. Hatinya berdebar lagi. Bagai dipanah cinta pandang pertama. Kata Zulaikha dia tidak cantik. Tetapi matanya kini seperti melihat bidadari yang sangat anggun dan tenang wajahnya. 

Rayyan tidak pasti bagaimana untuk mendekati. Tetapi dia tetap mahu mencuba. Rayyan tidak pasti, apakah Zulaikha kini sudah ada yang berpunya. Jika belum, dia harap dia tidak akan terlambat. Rayyan tidak pasti, apakah Zulaikha akan memaafkannya setelah mengharung derita hati yang perit. Dia berjanji akan melakukan apa saja, asal dapat menebus segala dosanya. 

...........................

Zulaikha termenung sebaik kerja terakhir tamat hari itu.  Dia dibuai perasaan tenang setenangnya. Selepas ini tidak pasti mungkinkah dia akan ada masa lagi untuk terlibat dalam kerja amal sebegini. Selepas ini akan sibuk dengan urusan belajar pula. Dia berharap agar keputusan yang dibuat ini tepat. Dia mahu meneruskan hidup ini dengan penuh keyakinan dan senyuman. Dia yakin bahagia akan hadir mengiringi hidupnya. Selepas menempuh kesedihan yang panjang satu ketika dulu.

No comments:

Post a Comment